Kak Pah Selayaknya Masuk IB Lagi

'Gebang' dikendalikan Roslen Fadzil  (Berita Minggu: Bi Pop, 27 Mei 2007)

 

 

Dua jam sebelum Datuk Sharifah Aini bertolak ke Dewan Perdana Felda untuk membuat persembahan pada 18 Mei lalu, saya sempat menghubunginya dari hotel The Beverly Hilton, di Wilshire Boulevard, California bagi mengucapkan 'All The Best' dan 'Good Luck'.  Itulah saja yang mampu saya lakukan kerana tidak berpeluang menonton persembahannya sempena Hari Ibu tahun ini dek jadual tugas yang bertembung.

Dalam perbualan selama beberapa minit itu, Kak Pah yang saya panggil Kak Ani, benar-benar terharu dengan peluang yang diberikan kepadanya untuk menghiburkan kaum ibu.  Sungguh ceria nada suaranya pada petang itu dan saya sudah dapat rasakan bahawa Kak Pah memang berada pada tahap paling bersedia untuk menyanyi di depan peminatnya pada malam itu.  "Kak Ani, you're still the best!  Walaupun I tak dapat tengok persembahan you kali ini, I tetap doakan kejayaan you dari jauh, insyaAllah.  Jangan lupa tau Que Sera Sera," kata saya pada Kak Pah.

Esoknya, saya terus mendapat Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) daripada rakan-rakan dari di Kuala Lumpur yang memaklumkan persembahan Kak Pah itu sungguh berjaya dan mendapat sambutan hangat sehingga peminat tidak mahu berganjak pulang.  Sampai ke Malaysia, saya ikuti semua laporan media dan semuanya memberikan ulasan positif.  Bukan saja vokal Kak Pah mendapat pujian ramai, luahan hati dan kenakalan beliau pun berkesan di hati penonton.

Saya tidak terkejut kerana bagi saya kehebatan Sharifah Aini tidak pernah berubah.  Masih terngiang-ngiang di telinga ini kehebatan konsert Kak Pah di Istana Budaya (IB) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), beberapa tahun lalu.  Bagi saya walaupun Kak Pah jarang-jarang muncul dalam konsert biasa, impak persembahannya itu biasanya akan kekal lama dalam ingatan kita.

Menilai kepada pencapaian beliau dalam dunia seni, rasanya sudah sampai masanya Kak Pah kembali lagi ke IB atau Dewan Filharmonik Petronas.  Mungkin Kerajaan Johor boleh membantu Kak Pah menganjurkan lagi konsert besar-besaran bagi meraikan ulang tahun ke-40 perjuangan Kak Pah dalam dunia seni.  Kalau kita menganggap Kak Pah sebagai sebutir berlian yang dilahirkan negara, inilah masanya kita menghargai segala jasa-jasanya.  Jumpa lagi!