Suka Tengok Imej Baru Kak Pah

'Dengarnya ...' oleh 'Normah Becok'  (Berita Harian: Rabu, 2 Februari 2011)

 

 

Sejak kembali daripada menunaikan ibadat haji pada 26 Disember lalu, penyanyi bersuara lemak merdu Datuk Sharifah Aini muncul dengan penampilan baru.  Kemunculannya menghiburkan penonton pada malam Anugerah Juara Lagu (AJL) ke- 25, 9 Januari lalu dengan persalinan merah menyala memang memukau ramai.

Pada mulanya, Cik Normah fikirkan penampilan Kak Pah yang bertudung hanyalah untuk sementara waktu, maklumlah baru saja pulang daripada Tanah Suci Makkah.  Namun setelah beberapa kali muncul di pelbagai majlis atau acara, Kak Pah dilihat masih lagi dengan imej yang sama.

Terus terang Cik Normah suka dengan penampilan terbaru Kak Pah.  Sebelum ini memang Kak Pah pernah menyatakan yang dia tidak pasti lagi sama ada mahu berhijrah atau tidak.  Bagaimanapun sekembalinya dari Tanah Suci, hati Kak Pah terus terdetik untuk mengenakan tudung.

Teman Cik Normah yang bertemunya baru-baru ini sempat bertanya dari mana dia mendapat inspirasi untuk berimej begitu sebab Kak Pah nampak berlainan dan cantik dengan gaya sedemikian.

Kata penyanyi itu, idea itu adalah ideanya sendiri, bukan datang daripada siapa-siapa.  Dia mendapat idea itu setelah berjam-jam membelek tudung depan cermin.  Tak sia-sia Kak Pah duduk lama depan cermin kerana hasilnya memang mempesonakan.  Tambahan pula Kak Pah berani bermain dengan warna yang terang menyerlah seperti hijau, merah, dan banyak lagi.  Lebih menyerlah lagilah penampilannya.

Nampaknya selepas ini akan adalah yang akan bergaya seperti Kak Pah.  Jika sebelum ini peminat pernah meniru gaya Waheeda, Wardina, Datuk Siti Nurhaliza dan ramai lagi, Cik Normah percaya ramai pula yang akan tampil dengan penampilan seperti Kak Pah.