"jangan 'hina' duit" – pesan datuk sharifah aini

Wow ... Bersama Huzz  (URTV Edisi 981, 01–31 Julai 2018)

Tahun ini, sudah lima tahun biduanita Negara Allahyarham Datuk Sharifah Aini meninggal dunia.  Lahir pada 2 Julai dan menghembuskan nafas terakhir, 5 Julai 2014 (kerana sakit paru-paru), ketika usianya, 61 tahun.  Beliau meninggalkan seorang anak kandung Aliff Omar dan dua orang anak angkat (Siti dan Nina) yang dah dewasa kini semua dah berkahwin.  Aliff punya seorang anak.

Walaupun sudah bertahun tiada lagi di dunia ini, peminat-peminat penyanyi yang hebat mengalunkan banyak irama lagu dari langgam, pop, asli sampaillah ke balada, setia meningingatinya dan mendoakannya.  Malah ramai, tak jemu-jemu mendengarkan lagu-lagunya.  Jangankan generasi terdahulu, bahkan yang muda sekarang tertarik bila mengikuti khazanah lagunya yang sering kedengaran di corong radio.  Ada mengatakan, kelunakan suaranya indah, sampai hari ini belum jumpa pengganti.  "Tak tahulah bila akan jumpa lagi penyanyi yang punya suara selunaknya!  Mungkinkah 50 tahun lagi?,” kata seorang peminat setianya, Abdul Jalil, di Kelantan.

Sharifah Aini yang Huzz berkawan baik lebih 30 tahun bukan sahaja insan pembersih, kemas, tak menyombong tetapi juga menghargai rezeki dan ‘hormat’ wang ringgit!.  Cerita bab dia dengan duit ini, pasti ramai peminat belum tahu.  "Jangan menghina duit.  Kalau nak simpan dalam beg, simpan elok-elok.  Susun cantik-cantik.  Usah suka perosok masuk dalam beg.  Kak Ani tak suka tengok orang yang memperlakukan duit begitu.  Kalau duit siling jatuh ke lantai, jangan dipijak atau tak diendahkan, kutip dan simpanlah di tempat sesuai untuknya.  Usah mencampak atau membuang duit sesuka hati.  Ini amalan tidak baik.  Duit itu rezeki anugerah Allah.  Bukan apa, takut kalau suka takbur, bimbang liat rezeki nak masuk.  Kita kena bersyukur dengan apa sahaja rezeki yang datang, jauhkanlah sifat riak,” pesannya.  

Dan dalam dompetnya penyanyi ini suka menyusun wang kertas dengan kemas dari sekecil RM5 sampai ke RM50 dan lain-lain.  Katanya, ini memudahkan urusan kalau nak menggunakannya.  Pernah suatu hari itu, ketika menjenguknya ke suit di sebuah hotel, selesai beliau menjayakan persembahan hiburan (di sebuah negeri), Huzz tengok belaiu sedang menyusun dan melipat baik-baik wang kertas yang dibayar penganjur.

"Dulu zaman 70an waktu sibuk ke sana sini memenuhi undangan fun fair, selain ada juga dibayar dengan duit siling, jenuhlah nak mengira,” katanya mengimbas waktu muda remaja jadi penyanyi.  Zaman itu Huzz masih sekolah lagi.  Pada era 80an pula, tak semua penganjur mula membayar dengan cek.  Ada yang terus selesa bayar secara tunai.

TAK LOKeK

Sharifah Aini tak pelokek orangnya.  Pernah bukan sekadar membayar pesakit di wad kamar Hospital Kuala Lumpur dan Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia tetapi sudi memberikan sumbangan makanan dan wang.  Yang diziarahi itu bukan saja kenalan rapat, bahkan kalau peminatnya sakit, dia tidak berat kaki melangkah. 

Beliau suka program amal jariah dan terkenal dengan sikap low profile.  Walaupun dirinya artis, Sharifah Aini sebenarnya suka berahsia dan tak semua tentangnya sesuka hati boleh ditulis!  Jadi Huzz kenalah memujuk, kalau nak menulis yang rahsia itu.  Bila dengar ada kematian, dia mahu awal datang ziarah.  Dan pastinya tidak kosong tangan, melawat keluarga si mati.  Selain itu, penyanyi ini sangat pemurah terhadap ibu dan keluarganya.  Dan dalam diam-diam penyanyi ini juga suka membantu anak-anak tahfiz.

Teringat pernah beliau berkongsi cerita dengan saya mengingatkan, "Tak miskin kalau kita suka bersedekah jariah, ingat … itu saham akhirat nanti,” pesannya.  Selain sumbangan wang pada yang susah, Sharifah Aini juga suka menghadiahkan keperluan di rumah Allah dengan membeli sejadah untuk suaru dan masjid.  Dan pembantunya, Hasanah, (juga sudah meninggal dunia) akan membantu membawa ke tempat hendak disedekahkan.  Malah ketika datang bulan puasa, Sharifah Aini suka menjamu tetamu masjid dengan buah-buah kurma sedap dan segar.  Mungkin dek kerana sifat pemurah, sewaktu hayatnya impian nak punya rumah cantik, besar, membeli apa disukai, tidak terhalang dengan izin Allah.

Penyanyi ini juga suka berdoa.  Salah satu contohnya, kalau nak keluar rumah untuk ke mana-mana, tak lupa berdoa dan kalau dah selamat tiba kembali ke rumah suka mengucapkan Alhamdulillah, selamat sampai.  Oleh itu, kepada semua peminat-peminat, Sharifah Aini, usah sekadar meminati nyanyiannya sahaja, kalau boleh jom lakukan amalan kesukaannya yang baik-baik.

HUZZ:  AL FATIHAH.  Semoga roh Allahyarham dan semua umat Islam yang telah meninggal dunia, dicucuri rahmat Allah.  AMIN.