YANG PERGI TETAP DIKENANG

oleh Ridzuan Abdul Rahman  (Harian Metro: RAP – Isnin, 28 Julai 2014)

empat selebriti ziarah pusara allahyarham azean irdawaty dan datuk sharifah aini di bukit kiara, kuala lumpur

Cuaca panas yang sesekali berangin pada 10 Ramadan terakhir di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara, Kuala Lumpur menyambut mesra kehadiran empat artis, Aliff Razali, Amaris, Shiha dan Nas Adila.  Di sebalik rimbunan pepohon hijau, di sinilah bersemadinya jasad dua insan seni tersohor iaitu Allahyarham Azean Irdawaty dan Datuk Sharifah Aini yang tiada galang gantinya dalam industri seni tanahair.

Azean yang bergelar primadona filem Melayu meninggal dunia akibat penyakit tumor dan lymphedema pada usia 63 tahun pada 17 Disember 2013 manakala Sharifah Aini yang bergelar Biduanita Negara pula meninggal dunia akibat komplikasi paru-paru atau fibrosis pada usia 61 tahun pada 5 Julai lalu.

Sememangnya kehebatan dua anak seni ini tidak dinafikan lagi.  Sukar untuk melupakan lakonan cemerlang Azean atau Kak Yan menerusi filem Langit Petang, Esok Masih Ada dan Perjanjian Syaitan sementara Sharifah Aini atau lebih mesra dengan panggilan Kak Pah memukau peminat dengan kemerduan suaranya menerusi lagu Bunga Tanjung, Terbang Helang, Seri Dewi Malam dan banyak lagi.

Sesungguhnya mereka insan seni hebat, namun tiada apa yang perlu diratapi kerana jodoh pertemuan dan ketentuan ajal sememangnya di tangan Allah SWT.  Apapun jasa dan sumbangan mereka membangunkan industri seni tanahair tidak boleh dilupakan begitu saja.

Aliff yang pernah bergelar ahli jawatankuasa dalam persatuan Seniman mengakui sering bertemu artis veteran antaranya Azean, Kuswadinata dan ramai lagi.  Baginya, mereka insan yang berkarisma dan perlu dijadikan idola oleh artis generasi baru.  “Saya pernah berlakon dengan Allahyarham Pak Kus dalam filem Hantu Raya Tok Chai pada tahun lalu dan banyak ilmu yang ditimba sepanjang bekerja dengannya.  Sementara Allahyarham Kak Yan, Datuk Aziz Sattar dan Datuk Yahya Sulong memang pernah bersua muka dalam majlis tertentu.

"Sama ada mereka masih hidup ataupun sudah meninggalkan kita, mereka wajar dikenang oleh masyarakat.  Perwatakan mereka sangat mesra dan merendah diri biarpun bergelar legenda.  Berkenaan Kak Yan pula, saya memang tertarik hati dengan lakonannya menerusi drama Orang Gaji hingga boleh halaf dialognya.  Saya memang kagum pada arwah kerana tabah melawan penyakitnya sehingga akhir hayat.  Barah bukanlah satu penyakit ringan.  Sedangkan demam pun kita sudah terasa sakit, apalagi penderitaan yang ditanggung oleh arwah,”  katanya yang akan pulang ke Pulau Pinang untuk menyambut raya.

Amaris atau Amran Ismail pula pernah bertemu dengan artis veteran dan senior seperti Azean di majlis tertentu.  Akhirnya, mereka sangat mesra dan mudah bercerita kisah lampau apabila diajak berbual.  "Azean seorang pelakon legenda dan tak dinafikan saya menghormatinya dalam setiap segi.  Allahyarham boleh bawa pelbagai karakter dan kita boleh merasai lakonanya.  Beliau seorang pelakon yang sangat berbakat dan sukar dicari ganti. 

"Sepanjang karier saya hanya berpeluang berlakon dengan Allahyarham Pak Ajis.  Bayangkan sejak kecil; saya memujanya, tiba-tiba dapat berlakon bersamanya dan ia bagaikan sebuah mimpi.  Ini pengalaman yang sukar dilupakan kerana selepas itu beliau pergi meninggalkan kita.  Kita kehilangan nama hebat iaitu Tan Sri P Ramlee, Puan Sri Saloma, Azean dan ramai lagi.  Jikalau ada pelapis pun sukar nak tandingi kehebatan mereka," katanya yang akan pulang ke Ulu Tiram, Johor untuk menyambut raya.

Kak Pah Hadiahkan Baju

Bagi Shiha yang pernah bergelar protégé kepada Sharifah Aini dalam Mentor 5, pengalaman mendekati penyanyi hebat yang dipanggil ummi ini sukar dilupakan sehingga akhir hayatnya.  "Kali terakhir saya berjumpanya ialah dua bulan lalu.  Saya memang kerap pergi rumah ummi dan ketika itu pun keadaannya kurang sihat.  Dia hadiahkan saya baju kurung berkonsep kelawar yang sangat cantik.  Selepas itu kami kerap berhubung menerusi telefon.

"Ketika ummi sakit, saya tunggu giliran untuk bertemunya namun tak kesampaian kerana dia terlebih dulu meninggalkan kita.  Ummi minta saya belikan alat mekap dan kari ikan nasi kandar buatnya, tapi saya ralat kerana tak sempat berbuat demikian.  Memang diakui saya sedih kerana ummi seorang yang sangat ‘caring’.  Saya memang kerap dapatkan nasihatnya dalam setiap perkara.  Kalau boleh saya naik ikut kejayaan ummi yang berjaya mencipta nama dan mengumpul wang.  Saya pernah mengadu kepadanya mengenai karier yang agak malap, tapi ummi nasihatkan saya agar jangan menangis dan menyerah kalah.

"Sebenranya saya ada impian nak berduet dengannya dalam lagu raya, tapi impian ini juga tak kesampaian.  Apapun saya bangga dapat rapat dengannya." katanya yang akan pulang menyambut raya di Pulau Pinang.

Nas Adila mengakui jarang berjumpa Kak Pah, namun mengakui dirinya tertarik dengan kemampuan biduanita ini membawa dirinya serta mencipta nama dalam industri seni tanahair.  "Saya memang serba serbi kagum dengan arwah.  Paling berkesan apabila Kak Pah rajin buat kerja kebajikan serta meninggalkan amanat terakhir buat peminat.  Dia juga bijak mengimbangi tuntutan dunia dan akhirat.  Saya meminati lagu raya nyanyian arwah iaitu Nostalgia Aidilfitri, Hari Yang Mulia dan Suasana Hari Raya.  Memang bertuah Shiha kerana dapat beguru dengan insan hebat seperti arwah,” katanya. 

Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh mereka.