UMMIE TAK SANGGUP AINI DIPERLAKUKAN BEGITU ! oleh Zubir Mohd Yunus (Berita Minggu: Bi-Pop, 25 Oktober 2004) |
Sepanjang minggu
lalu industri hiburan dikejutkan dengan cerita hitam apabila biduanita
negara, Datuk Sharifah Aini Syed Jaafar mendakwa diserang dua lelaki
bermotosikal berhampiran Sri Pentas, TV3, Bandar Utama. Benarkah Sharifah
mempunyai musuh yang sanggup membunuhnya? Timbul juga cerita kononnya apa
yang berlaku adalah sandiwara
"Apa yang berlaku malam itu, Ummie tak tahu sebab Aini (Sharifah) tak beritahu kerana dia sedia maklum Ummie ada penyakit. Ummie hanya tahu apabila baca dalam surat khabar Singapura. Ummie memang terperanjat besar! Kenapa sampai jadi begitu ...? Ummie sedih sebab Aini anak kandung Ummie sendiri. Ummie hanya mengadu dengan Allah. Bapa tiri Aini pun turut bersedih. Sama-samalah kita berdoa supaya Allah melindungi Aini. Apa yang Ummie tahu, Aini tak pernah ada hasad dengki dengan orang, tak suka mengkhianati orang, tapi kenapa boleh jadi begitu? Ummie sendiri jadi pelik. Ummie selalu bertanya pada diri sendiri, apa dah berlaku pada diri Aini ni? Ummie juga baca dalam surat khabar, apa yang berlaku itu kononnya adalah lakonan Aini semata-mata dan rancangannya sendiri. Setahu Ummie, orang yang tak waras pun rasa sakit kalau dia nak tumbuk diri sendiri. Apatah lagi Aini yang waras, takkan dia nak buat macam tu. Tak baguslah macam tu, kitakan orang Islam. Islam mendidik umatnya supaya menyambung silatulrahim, bermaaf-maafan. Ummie hairan macam mana orang boleh kata Aini pukul diri dia sendiri. Tak masuk akal langsung! Maaf cakaplah ya, orang yang dalam keadaan mabuk pun, tahu mana longkang dan dia takkan duduk kat longkang. Apa lagi orang seperti Aini, seorang yang waras dan warak ... takkan dia sengaja nak tidur tepi longkang! Semua ni cerita yang tak munasabah. Justeru, apabila Ummie tidak berkesempatan bersama Aini pada malam kejadian, Tuhan saja yang tahu perasaan Ummie. Manusia tak boleh baca hati Ummie, kecuali Tuhan. Kalau Ummie terangkan dengan manusia, nanti orang kata Ummie berlakon pula. Yang keluar air mata adalah Ummie, yang menangis Ummie seorang. Kalau boleh kita minta dengan Tuhan, biarlah kita yang pergi dulu, biar anak tu panjang umur, hidup lama-lama. Kalau bolehlahkan ...
Apa yang Ummie mohon pada Allah, anak Ummie sihat, anak Ummie selamat, anak Ummie bahagia, cucu Ummie bahagia, itu yang Ummie minta pada Allah siang malam untuk kesejahteraan Aini dan Alif (anak sulung Sharifah Aini). Ummie juga tak pernah terfikir Aini boleh terbabit dengan isu e-mel layang. Aini tak pernah sekali iri hati dengan mana-mana penyanyi yang tengah naik. Nak mencaci atau menghina jauh sekali. Kadang-kadang Aini ada cakap, adanya penyanyi-penyanyi muda baguslah, dia pun dah semakin berumur. Tapi, kalau orang dah jatuhkan maruah Aini, dah menuduh bukan-bukan, dia wajar mengambil tindakan undang-undang. Tapi, bagi Ummie, Ummie tak pernah marah Aini walaupun sebelum ini kami pernah bertemu di mahkamah, namun selepas dia minta maaf, Ummie terima Aini dengan hati penuh ikhlas. Anaklah katakan ... Yang Ummie tahu, Aini ni seorang yang terlalu murah hati, cepat kasihan, menabur wang ringgit menolong orang macam tak ada esok semata-mata nak buat baik, tapi, inikah balasan yang dia terima? Walaupun Aini ni artis, Ummie tahu Aini khatam al-Quran tiap-tiap bulan. Dia insan yang takutkan Allah. Aini mempunyai didikan agama yang tinggi, mustahil untuk dia berdengki dengan orang. Sampai hati orang yang pernah Aini tolong dan bantu, akhirnya menjadi gunting dalam lipatan. Mereka memfitnah dan menghina Aini. Ummie tak sanggup Aini diperlakukan begitu ..." |