UMMIE SHARIFAH SERONOK MELAYAN KELETAH BINTANG AF

oleh Zubir Mohd Yunus (Berita Minggu: B*Pop – 13 November 2005)

Kemeriahan Syawal masih lagi terasa.  Peluang bertemu orang tersayang di hari lebaran mampu mengubati kerinduan.  Bagi Biduanita Negara, Datuk Sharifah Aini, Aidilfitri kali ini disambut tanpa anak kesayangannya, Aliff Omar yang jauh menuntut ilmu.  Pun begitu, kunjungan enam bintang Akademi Fantasia (AF) – Kefli, Anding, Yazer, Akma, Marsha dan Edlin – ke rumah Sharifah baru-baru ini, berjaya menceriakan suasana.  Sebaik melangkah masuk ke banglo mewah Sharifah Aini di Petaling Jaya, Selangor, keenam-enam bintang AF terus dipersilakan ke bilik bacaan yang terletak di tingkat bawah, sementara menunggu Sharifah bersama adik angkatnya, Rosman serta dua pembantu rumah menghidangkan juadah raya seperti lontong, kuah kacang, ayam masak merah dan nasi himpit.  Ikuti apa pandangan setiap bintang AF itu yang pertama kali bersua muka bersama Sharifah yang mereka panggil Ummie, sambil menikmati suasana selesa.

KEFLI AF3

"Ummie melayan kami dengan penuh mesra, macam anaknya sendiri.  Walaupun Ummie berkedudukan tinggi, dia amat merendah diri.  Saya bangga kerana Ummie adalah artis evergreen tempatan yang masih bertahan, seorang living legend.  Bayangkan selama 38 tahun Ummie bergelumang dalam dunia seni, dia berjaya menghasilkan lebih 90 album!  Ummie juga bersemangat kental.  Mendengar nasihatnya sebentar tadi, saya makin bersemangat untuk mengorak langkah.  Kalau Ummie tak keberatan, saya teringin sangat nak belajar menyanyi lagu asli, ghazal dan keroncong.  Hari ini saya berpeluang beraya dengan seorang diva.  Hai, rasa macam mimpi!".

ANDING AF2

"Saya sangat excited!  Ummie memang macam ibu saya.  Walaupun hanya sejam dua kami bersembang dengannya, Ummie sempat menurunkan pengalamannya kepada kami, Ummie memang tak lokek ilmu!  Saya rasa sungguh bertuah kerana banyak yang dapat dipelajari daripada Ummie.  Tak semua akan dapat peluang seperti kami yang datang beraya ke rumahnya hari ini.  Ummie nyata bekerja keras sehingga mampu mengecapi kejayaan.  Kejayaan Ummie menjadi sumber inspirasi saya."

EDLIN AF2

"Saya kagum dengan ketabahan Ummie Sharifah.  Walaupun dilanda kontroversi, beliau tetap 'cool'.  Mungkin Ummie sentiasa berdoa, suatu hari nanti kebenaran akan berpihak kepadanya.  Ummie juga sentiasa mengingatkan kami supaya terus belajar.  Ummie tak mahu kami jadi hipokrit.  Dengan kesempatan yang ada, mulai tahun depan, insya-Allah saya akan melanjutkan pelajaran di Royal Melbourne Institute of Technology (RMIT) untuk diploma lanjutan pengurusun hotel.  Ummie pesan, kalau nak jadi penyanyi mesti ada plan A dan B.  Kalau satu hari nanti kita dah tak jadi artis, kita boleh memilih plan B, membuka perniagaan misalnya, sebab itu mesti ada ilmu.  Saya bersyukur selain menyanyi, saya juga menjadi pengacara 'Seleksi 1' di RTM setiap Sabtu, jam 11.30 pagi."

MARHSA AF3

"Ummie sedia berkongsi pengalamannya selama hampir 40 tahun bergelar anak seni.  Cara Ummie melayan kami membuatkan saya terharu kerana dia seperti ibu saya.  Walaupun ibu saya jauh di Sabah, apabila Ummie memeluk saya, seolah-olah diri saya dipeluk oleh ibu sendiri.  Itulah istimewanya Ummi Sharifah!  Ummie juga terlalu merendah diri, sifat keibuannya terserlah.  Ummie marah kalau saya panggil dirinya Datuk.  Saya seperti bermimpi apabila hari ini berpeluang menjejak kaki di rumah Ummie untuk berhari raya.  Dulu Ummie pengkritik ketika saya masih di dalam AF3, tapi hari ini Ummie macam ibu saya."

AKMA AF3

"Sebelum jumpa Ummie, saya ingat dia seorang yang tegas, tapi rupa-rupanya sangat friendly.  Saya akan ingat pesanan Ummie sampai bila-bila.  Kata Ummie, apabila dapat duit show, jangan rancang masa depan untuk setahun dua, sebaliknya untuk 30 atau 40 tahun akan datang!  Selama 38 tahun Ummie berjuang dalam dunia seni, macam-macam kontroversi yang ditempuhinya, tapi tak pernah melatah.  Saya sendiri apabila dilanda kontroversi, terasa juga di hati ini.  Ummie kata dia seorang fighter!  Justeru, saya juga ingin menjadi sepertinya, tabah dan kuat menghadapi dugaan dan cabaran dunia seni.  Insya-Allah, tak lama lagi saya akan menyambung pengajian diploma seni muzik di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam kerana Ummie memberi peringatan, jangan lalai terhadap pelajaran."

YAZER AF3

"Saya lihat peminat tidak pernah berganjak daripada Ummie Sharifah.  Kepercayaan peminat terhadap beliau terlalu tinggi.  Komitment Ummie kepada industri seni membuatkan orang sekelilingnya lebih mempercayai kata-katanya dari mendengar khabar angin yang bertujuan menjatuhkannya.  Industri seni ada pasang surutnya.  Sebab itu Ummie minta kami bersedia dengan plan A dan B.  Menyanyi, kita glamor, tapi kalau tak berharta, tak ada gunanya.  Bagi Ummie, industri hiburan adakala bersikap kejam, justeru Ummie mahu kita sentiasa berwaspada, kalau ada tekanan, macam mana nak hadapi.  Ummie memang seorang fighter!"

"Tak sangka, artis generasi muda masih sudi beraya di rumah saya.  Saya terlalu gembira kerana kehadiran mereka seolah-olah macam anak saya, Aliff pulang berhari raya.  Lepas rindu saya kepada Aliff selepas melihat wajah Kefli, Anding, Yazer, Marsha, Akma dan Edlin.  Saya dah anggap mereka macam anak sendiri.  Dalam pada itu, alhmadulillah, album terbaru saya, Bukan Cinta Biasa, sudah pun berada di pasaran mulai 25 Oktober lalu.  Inilah rezeki anak-anak namanya.  Dalam kesempatan ini, saya ingin mengucapkan Selamat Hari Raya kepada semua peminat dan pembaca Bintang Popular." – Sharifah Aini