SHARIFAH AINI PENUHI HASRAT RAKAN DI RTM

oleh Rozdan Mazalan  (Berita Harian: Isnin, 25 Februari 2008)

Setelah beberapa bulan kita tidak mendengar koleksi lagu Biduanita Negara Datuk Sharifah Aini berkumandang di stesen radio RTM yang kononnya bertindak menggam lagunya tiba-tiba kelibat penyanyi bersuara merdu ini kelihatan di rakaman program Zoom In@RTM Goyang-Goyang Dangdut yang diadakan baru-baru ini.

Kehadiran penyanyi yang masih kelihatan anggun dan jelita itu bagaimanapun tidak merungkaikan persoalan sama ada pihak RTM sudah 'memaafkan' Sharifah Aini atas kesalahan yang juga tidak diketahui puncanya atau masih lagi terus menafikan lagunya di stesen radio itu.  Bagaimanapun sehingga ke hari ini lagu Sharifah Aini masih tidak atau kurang kedengaran di stesen radio itu.  Tetapi Sharifah Aini yang mesra dengan panggilan Kak Pah tetap hadir di rakaman program itu bagi memenuhi permintaan sesetengah sahabatnya di RTM dan selepas program itu kelihatan beramah mesra dengan penonton yang juga peminatnya.

Kak Pah yang dihubungi selepas majlis itu berkata beliau masih tidak faham dengan tindakan pihak RTM mengenai masalah itu kerana sehingga kini dia masih belum menerima sebarang surat yang mengatakan bahawa lagunya digam.  "Saya tiada masalah dengan perkara itu sekiranya apa yang mereka lakukan itu benar namun keluarkan surat sebagai rujukan saya.  Kita juga perlu ingat kuasa yang diberikan itu bukanlah kekal selamanya kerana ia akan hilang juga setelah sampai masanya.  Hanya Allah saja yang mempunyai kuasa selamanya," katanya.  Menurut Kak Pah, dirinya dipanggil untuk menghadiri rakaman program itu adalah atas desakan sahabat lama seperti Ifa Raziah dan rakan dari RTM sendiri.

"Saya hadir pada rakaman program itu pun disebabkan ingin menyampaikan hajat rakan dari RTM yang mahu saya sendiri hadir mendengar kembali lagu saya dimainkan.  Lagi pun saya juga hampir 10 tahun tidak hadir ke RTM.  Saya sebenarnya tidak mahu dianggap masyarakat sebagai seorang yang meletakkan diri terlalu tinggi dan eksklusif untuk menghadiri apa-apa majlis yang dianjurkan," katanya.

Lagunya Nantilah Daku yang popular pada era 70-an adalah antara lagu yang diperdengarkan dalam program itu yang akan disiarkan pada April ini.  Program yang diterbitkan khas untuk membangkitkan semula muzik dangdut yang amat popular di Malaysia suatu masa dulu diadakan sebagai pembuka tirai dangdut tahun 2008.

Penerbitnya Nur Hafizoh Idris berkata, program itu bertujuan untuk mengembalikan kegemilangan muzik dangdut yang semakin menyepi.  Untuk itu, beberapa penyanyi lagu dangdut era 70-an dan 80-an diundang ke Auditorium Perdana untuk mengembalikan nostalgia irama dangdut, juga sebagai tanda sokongan.  "Sejak kebangkitan program realiti semakin meluas, RTM mengambil inisiatif ini untuk mengembalikan kembali kegemilangan irama dangdut yang semakin dilupakan dan RTM adalah landasan terbaik mengangkat kembali irama ini agar terus dijadikan khazanah muzik tanah air.  Jika dulu ramai yang menganggap dangdut adalah sinonim dengan irama untuk orang tua yang gatal mendengarnya, namun sebenarnya persepsi itu adalah salah," katanya.

Selain kak Pah, tetamu lain yang hadir adalah Datuk Yusni Hamid, Herman Tino, Mas Omar, Ayati Tasrip, Halil Chik, Norhaida, Khairil Khamis, Chef Liza, Shahril Shaari (Dior), Bienda, Liena Hangat, Zehra Zamri, Harith Othman, Nas Adila, kumpulan dangdut terkenal Eva dan tidak ketinggalan penyanyi irama lagu dangdut dari Singapura yang popular dengan lagu Dari Hati Ke Hati, R Ismail.

Artikel lain yang berkaitan:

  Jangan Buat Begini, Dah 40 Tahun Saya Jadi Penyanyi (Berita Minggu: Bi-Pop – 30 September 2007)

  Saya Tak Marah, Cuma Rasa Terhina (Berita Harian – Khamis, 27 September 2007)