SHARIFAH AINI BELUM TERGUGAT oleh Roslen Fadzil (Berita Minggu: Bi-Pop, 16 Julai 2006) |
Lihatlah keceriaan yang terpancar pada wajah ibu tunggal bersuara emas ini. Sekiranya ada yang menganggap Sharifah Aini sudah jatuh, merekalah orang-orang yang silap. Seri wajah serta keanggunan wajahnya menggambarkan beliau semakin tenang dan gembira mengharungi kehidupan ketika ini. Tohmahan, penganiayaan mahupun kata-kata cemuhan tidak pernah menjadi kudis kepada penyanyi Hapuslah Air Matamu ini. Beliau percaya manusia tidak perlu takut dengan apa yang tidak mereka lakukan.
"Kawan-kawan inilah yang sentiasa menangis dan ketawa bersama saya ketika susah mahupun senang. Mereka tidak pernah pun meninggalkan saya dalam apa jua keadaan dan kami saling mempercayai antara satu sama lain. Hubungan kami tulus, ikhlas dan bukan berpura-pura. Hari ini juga adalah hari yang sungguh bermakna kerana selain adanya kawan-kawan, saya ditemani anak saya, Aliff Omar. Inilah buah hati pengarang jantung saya," ujar Kak Pah selepas memotong kek hari jadinya.
Lucunya, pada malam itu, tetamu tidak puas-puas 'mendera' Kak Pah supaya menyanyikan lagunya sendiri seperti Penyakit Cinta, Di Malam Persandingan, Seiring Sejalan, Singgahlah Sayang, Irama Cintaku dan Tiada Maaf Bagimu. Jelas masing-masing terhibur kerana mendapat hadiah persembahan daripada artis pujaan mereka!
Apabila menyoal impian Sharifah Aini di hari jadinya, ada tetamu yang berseloroh bertanyakan mengenai calon suami. Maklumlah sudah lama dia hidup sendirian dengan membesarkan anak-anaknya, tidakkah Kak Pah inginkan pasangan hidup lagi untuk menemaninya ke akhir hayat? Dengan tidak berselindung, Kak Pah berkata: "Tentang jodoh, saya serahkan kepada Tuhan. Tapi kalau hendak kahwin lagi, kalau boleh, biarlah sampai cerai mati. Saya cukup mengambil serius terhadap institusi perkahwinan dan kekeluargaan. Saya tak mahu kahwin cerai, kahwin cerai. Bukan apa, nanti anak-anak juga yang bertempiaran!" Bagi Kak Pah, apa yang penting beliau inginkan seseorang yang sudi menerima diri beliau seadanya. "Okay, next question please ..." katanya sambil tertawa. Menceritakan pula mengenai kerjaya seni, Kak Pah berkata, tahun ini pihak EMI Malaysia akan menerbitkan semula koleksi lagu Melayu, tradisional dan Inggerisnya yang pernah dirakamkan dalam bentuk box set. Kesemua lagu itu sedang rancak dikumpulkan sebelum memasuki pasaran tidak lama lagi. "Saya juga akan merakamkan album baru selain mengadakan konsert lagi yang berkonsepkan pop dan asli pada tahun depan. Ketika ini perancangan sedang dibuat dengan pihak penaja supaya konsert itu benar-benar bermutu," ujarnya yang kembali sibuk dengan persembahan di sana-sini. |