RATU HATI ANITA, SHARIFAH AINI

oleh Khairull Azleyana Ishak  (Berita Harian: Sabtu, 8 Mei 2004)

"SELAMAT HARI IBU ...!"  Mungkin ini ucapan paling popular sepanjang minggu ini.  Namun walau sejuta kali diucapkan apakah kata-kata ini dapat menandingi kasih sayang yang disemai insan bergelar ibu, sejak saat kelahiran kita hingga ke saat ini?  Wajarkah rungutan dan herdikan dijadikan balasan buat insan yang 'menyimpan' syurga buat kita di bawah telapak kakinya?  Persada Seni berjaya mendapatkan dua diva negara, Anita Sarawak dan Datuk Sharifah Aini untuk mencari jawapan sebenar isi hati insan bergelar ibu.

Sempena Hari Ibu esok, adakah anda mempunyai sebarang agenda atau undangan untuk menyambut hari itu?  Apakah ketibaan hari ini memang dinantikan?

Sharifah Aini:  Saya juga seperti ibu lain, punya komitmen dan tanggungjawab yang perlu saya lakukan.  Memang kedatangan hari ibu saya nantikan.  Walaupun saya membuat persembahan sempena Hari Ibu di Singapura tahun ini, tapi saya tahu, anak-anak saya akan memberi saya kad ucapan dan hadiah.  Saya juga pasti menerima SMS dari Aliff sekembalinya saya dari Singapura nanti.  Nina dan Siti pula sudah berjanji membawa saya keluar makan malam tetapi di mana saya belum tahu.

Anita Sarawak:  Ibu adalah insan utama dalam hidup kami adik beradik.  Kak Nita sendiri rasa bertuah kerana dikurniakan dua orang ibu dalam hidup Kak Nita.  Arwah Ibu (Siput Sarawak) dan 'Mummy' (Datin Umi Kalsom) adalah dua tokoh yang sentiasa Kak Nita banggakan dalam hidup Kak Nita.  Pastinya Hari Ibu akan disambut dengan persiapan makan-makan bersama semua ahli keluarga.  Selalunya berbentuk 'suprise'.  Walaupun Kak Nita tidak ada anak sendiri, Kak Nita ada anak-anak saudara yang sentiasa membahagiakan Kak Nita.  Begitu juga anak tunggal Abang Mahathir, iaitu Matthew, dia juga tidak lupa mengirimkan sesuatu kepada Kak Nita setiap kali menjelang Hari Ibu.

Boleh anda huraikan sedikit apakah definisi kasih ibu bagi diri anda dan apakah kesannya pada diri dan keluarga anda sekarang?

Sharifah Aini:  Pada saya ia bagi mengingati ibu, pengorbanan kasih sayang orang yang bernama ibu dalam kehidupan anak-anak, selain itu saya melihatnya sebagai hari untuk ibu diraikan dan merapatkan lagi tali silaturahim.  Kasih ibu memang memberi kesan dalam hidup saya terutama dalam mendidik anak-anak.  Sekali pun anak-anak saya melakukan kesalahan besar, saya tidak akan membiarkan mereka berlalu begitu saja tanpa membayar harga sebuah kesalahan, mereka perlu bertanggung jawab diatas setiap kesalahan yang telah dilakukan , sebagai ibu I will be there to support them dan membantu mereka memperbaiki kesalahan mereka tapi bukan pusing belakang membiarkan mereka begitu saja dan merasa tidak dilindungi.

Anita Sarawak:  Sebagai anak, kita kena kenang kasih dan jasa ibu hingga ke akhir hayat.  Apabila arwah sudah tiada kata-katanya yang menjadi pendorong dan pegangan Kak Nita dalam hidup ini.  Arwah ibu seorang yang sangat tegas dan disiplin inilah yang membentuk diri Kak Nita. 'Mummy' pula sentiasa memanjakan Kak Nita dan ini menjadikan hidup Kak Nita sempurna.  Cuma Kak Nita nak ingatkan kepada remaja di luar sana, agar sentiasa menghargai ibu.  Jangan sampai ibu telungkupkan tangan dan mendoakan sesuatu yang tidak baik kepada diri kita.

Apakah perbezaan ibu zaman dulu dengan ibu zaman moden ini jika dibandingkan dari segi sikap, keprihatinan dan kasih sayang yang dicurahkan kepada anak-anak?

Sharifah Aini:  Saya bukan arif memberi tafsiran dan membuat perbezaan antara dulu dan kini, apa yang boleh saya beritahu berdasarkan pengalaman saya sendiri sebagai ibu.  Ibu zaman sekarang boleh saya katakan, lebih bersikap terbuka, bertolak ansur, anak-anak dilihat juga sebagai teman rapat.  Sebagai ibu pula kita kena mengambil sikap lebih terbuka saling percaya dan mempercayai, memberi dan menerima kepercayaan, dan tidak ada sekatan tirai di antara anak dan ibu, jangan membuat mereka merasa takut dan teragak-agak untuk berterus terang dengan kita (ibu).

Anita Sarawak:  Kita tak boleh bandingkan.  Ibu kak Nita dulu juga ibu yang berkerjaya, namun dia tidak pernah lupakan tanggungjawabnya kepada anak-anak.  Kak Nita rasa kasih sayang, sikap dan keprihatinan insan bergelar ibu tidak pernah berubah dalam mencurahkan kasih sayang.  Biarpun zaman berubah, ibu tetap ibu.

Sebagai seorang ibu, apakah yang anda harapkan dari anak-anak?  Adakah pemberian hadiah sempena hari ibu cukup menunjukkan mereka menghargai seorang ibu?

Sharifah Aini:  Saya tidak pernah mengharapkan sebarang bentuk hadiah dari anak-anak saya, tetapi apa pun tanda mata yang diberikan ia tanda ingatan yang saya simpan sampai akhir hayat saya.  Sebagai ibu saya mengharapkan yang terbaik untuk anak-anak berjaya dalam pelajaran, mereka menjadi orang yang berani menghadapi pelbagai bentuk permainan hidup, gelombang dan masalah akan bermula untuk mereka, saya ingin melihat mereka berdikari dan yakin dalam merancang masa depan mereka dengan baik dan teratur, jauhkan diri dari masalah, bergaul dengan kawan-kawan yang menjadikan mereka manusia yang lebih baik.

Anita Sarawak:  Seorang ibu hanya memberikan kasih sayang sepenuhnya kepada anak dan tiada balasan yang setimpal untuknya selain kasih sayang sejati dari anak itu sendiri.  Jadi kasih sayang dalam hubungan ibu dan anak-anak adalah penting.  Anak-anak saudara saya juga selalu datang ke rumah dan membelikan cendera mata seperti teddy bear dan t-shirt.  Tak perlu mahal tetapi yang penting adalah ingatan mereka.  Matthew pula dia selalu menghubungi Kak Nita sekiranya dia punya sebarang masalah.  Begitu juga ibu kandung Matthew.  Kami sentiasa berbincang mengenai masa depan Matthew.

Sebagai seorang ibu, mungkin anda boleh kongsi bersama pembaca Persada Seni, apakah yang ada dalam jiwa dan diri seorang ibu itu sebenarnya?

Sharifah Aini:  Kebimbangan... jauhkan mereka dari sebarang penyakit yang merbahaya, perasaan sentiasa ingin melindungi mereka.  Tidak mahu perasaan anak-anak kita dilukai, kita bagaikan singa yang sentiasa mahu menjaga kebajikan anak-anak kita, tidak mahu anak-anak kita diperlakukan orang perkara yang tidak tentu, maka sebagai ibu saya akan bangkit tanpa sedikit pun perasaan takut dan sanggup mati kerana anak-anak, itulah sifat mulia naluri setiap ibu.  Sekalipun kalau saya perlu bertukar nyawa untuk membantu anak-anak saya meneruskan kehidupan mereka, saya tidak ragu-ragu dan akan melakukan.

Anita Sarawak:  Dalam jiwa ibu yang terlintas hanyalah doa yang sentiasa mengharapkan kebaikan untuk anak-anaknya.  Seorang ibu itu tidak akan terlepas dari cengkaman rasa risau mengenai keselamatan anak-anaknya.  Matthew contohnya. Sebagai remaja dia kadang kala tidak mahu dikongkong.  Kadang kala apabila dia lewat pulang ke rumah, ibunya akan menghubungi Kak Nita dan mengadu mengenai masalah Matthew.  Kak Nita juga ibu kepada Matthew dan rasa risau itu juga akan berada dalam hati ini.  Jadi sebagai anak janganlah kita membuat sesuatu yang akan membimbangkan ibu kerana itu adalah seksaan sebenarnya.

Isu penderaan anak dan wanita sering menjadi tajuk utama akhbar, sebagai wanita apakah reaksi anda melihat kanak-kanak yang didera ibu dan bapanya serta isteri merangkap ibu yang didera suaminya sendiri?  Sejauh manakah nasib mereka ini terbela?

Sharifah Aini:  Saya benci dan penat melihat perkara begini masih berlaku dalam dunia yang serba moden dan maju, di mana manusia sudah hidup dalam zaman yang berbeza, sekurang-kurangnya kini masalah begini sudah diambil kira dan saya hanya mengharap akan ada undang-undang yang lebih tegas dan masyarakat sekeliling pun kena mengambil sikap ambil tahu dan punya sikap ingin membantu, laporkan kepada pihak atasan dan kalau anda melihat ini berlaku, terus membantu mereka. Ini adalah tugas kita sebagai masyarakat yang bertanggungjawab.

Anita Sarawak:  Tidak masuk akal!  Mendera anak sendiri adalah sesuatu yang tidak berperikemanusiaan.  Orang yang tidak ada anak setiap hari berdoa agar dikurniakan anak.  Mereka yang senang dapat anak ni pula mendera dan ada yang membuang saja macam buang sampah.  Memang tidak masuk akal!  Kalau betul tidak sayangkan budak tu hantarlah ke pusat kebajikan atau rumah saudara.  Jangan jadi generasi yang tidak bermoral.  Satu lagi Kak Nita tak boleh terima isu rogol dan bunuh wanita dan kanak-kanak.  Dosa mereka ini tidak boleh diampunkan.

Sering kali dipaparkan di media massa kanak-kanak yang malang dan tidak bernasib baik sama ada sakit atau yang ditinggalkan.  Sebagai insan seni apakah sumbangan yang pernah anda salurkan untuk membantu mereka ini?

Sharifah Aini:  Kalaulah saya orang yang sangat berkemampuan dan kaya, saya akan melakukan apa saja untuk membantu mereka.  Tapi ini cuma mimpi saja, saya tetap ingin melakukan apa saja di mana kemampuan saya mengizinkan dan terdaya membantu golongan yang memerlukan.  Saya juga ingin menjadi masyarakat yang bertanggungjawab dalam melaksanakan tugas saya sesama insan.  Saya tidak mahu duit ringgit menjadikan saya orang yang hina dan tidak mahu melakukan kebaikan, menghulurkan tangan membantu, kerana akhirnya, duit dan kekayaan tetap tinggal dan hanya akan dinikmati pula oleh orang yang hidup.  Biarlah kita tanamkan sifat sentiasa ingin membantu kepada anak-anak kita.  Sensitif kepada keadaan, jangan tamak dengan duit ringgit yang mereka ada, semoga mereka akan teruskan sikap yang penuh tanggung jawab, tidak menjadi bakhil dan pentingkan diri sendiri, saya sebagai ibu gembira dapat memberi ilmu hidup kepada anak-anak supaya menjadi manusia yang bernilai tinggi dan mulia hati budi mereka, Insya-Allah.  Untuk anak-anak saya, kini dan melalui warna hidup seterusnya, jadilah manusia yang mulia dan jangan hidup dengan perasaan penuh syak wasangka dan ingatan jahat kepada orang lain.  Prasangka jahat menjadikan kita manusia yang hina.

Anita Sarawak:  Kak Nita memang banyak buat kerja kebajikan dan sebagai manusia Kak Nita bangga dengan apa yang Kak Nita dan Abang Mahathir lakukan.  Program talkshow Kak Nita juga banyak membantu mengetengahkan masalah wanita, ibu tunggal dan keluarga malang yang perlukan bantuan.  Sekarang pun Kak Nita banyak memberikan ceramah motivasi di Kem Khidmat Negara.  Kak Nita mahu generasi kita tahu bahawa kasih sayang itu penting dalam hidup mereka.  Kak Nita dan KRU juga akan menjayakan Karnival Amal Hari Penyayang 2004 Kedah anjuran Yayasan Sultanah Bahiyah di Stadium Darul Aman, Alor Star Kedah semalam dan hari ini (7 dan 8 Mei).