PERKUKUH SILATURAHIM oleh Zaidi Mohamad (Berita Harian: Khamis, 6 Mei 2010) |
Hotel Palace of the Golden Horses jadi tempat sesi beramah mesra Datuk Sharifah Aini dan 20 peminat bertuah
Menariknya tiada peminat lelaki yang terbabit kerana semuanya wanita. Kesimpulannya acara santai yang diadakan di Hotel Palace Of The Golden Horses itu ibaratnya seperti sesi bertemu wanita saja atau Ladies Day Out. Kak Pah sendiri tak lekang senyuman melayan peminatnya. Kelihatan beliau rancak membuka topik yang membuatkan mereka yang hadir terpana. "Kak Pah sebenarnya sudah lama mempraktikkan aktiviti yang sama sejak dulu lagi. Kalau dulu, Kak Pah selain di Kuala Lumpur, di Johor Bahru pun pernah diadakan aktiviti sebegini. Insya-Allah, pada masa mendatang, Kak Pah akan buat lagi sekali pun tak dapat memuaskan hati semua peminat. Kalau dibikin dalam skala yang kecil, lebih intim sebenarnya." "Acara seumpama ini juga Kak Pah selalu buat di kalangan kawan-kawan demi merapatkan ukhuwah dan kebanyakan masa akan dilakukan di kediaman Kak Pah sendiri. Acara makan memang antara yang diisi selain berkongsi cerita. Kak Pah seronok sebenarnya melayan dan ada kalanya leka bercerita," ungkapnya sambil memberitahu pada 15 Oktober nanti beliau akan terbabit dengan persembahan makan malam amal bersempena sambutan Aidilfitri di Dewan Perdana Felda. Majlis ini dihadiri pelbagai lapisan umur dan ada di antaranya yang sebaya dengan Kak Pah serta sudah bergelar nenek. Bukan saja yang bergelar suri rumah, malah ada berkerjaya dalam bidang profesional seperti doktor, pensyarah dan ahli perniagaan. Turut menarik perhatian ialah peminat Kak Pah yang paling muda berusia 21 tahun.
Bagi Fadilah Mohd Tahir, 52, dia kini bukan saja meminati bakat Kak Pah, malah hubungannya dengan penyanyi itu sudah menjadi rapat sebagai kawan. Fadilah mula mengenali Kak Pah sejak kecil ketika zaman mereka sama-sama belajar di sekolah Agama di Johor Bahru. Kak Pah bergelar senior kepadanya. Bahkan, kakaknya juga berkawan baik dengan Kak Pah. "Ukhuwah kami terjalin kembali sejak 10 tahun lalu. Kami terpisah pun sebab masing-masing memilih kehidupan sendiri. Dulu waktu Kak Pah muda belia, dia berkawan dengan kakak saya. Kini, apabila sudah sama-sama dewasa, saya pula berpeluang menjadi kawannya. Sebagai kawan dia seorang yang sangat jujur dan beraspirasi tinggi terhadap apa yang ingin dicapainya. "Kak Pah ini memang orangnya garang dan suka berterus terang. Setiap percakapannya biarpun 'pedas', namun tetap ada kebenarannya. Dalam kekerasan bicaranya itu beliau masih lembut terutama dari segi perbuatan. Beliau sangat mengambil berat, penyayang. Beliau antara kawan yang paling gundah apabila kawan-kawannya sakit atau belum makan," kata Fadilah yang melihat Kak Pah sebagai penyanyi yang mempunyai intonasi yang jelas dalam nyanyian ditambah dengan dengung dan sengau lenggok bahasa Arab. Berlainan cerita dengan Arifa Shain, 54, yang mengenali Kak Pah sejak 2000. Air tangan Arifa menerusi menu masakannya yang dipanggil sebagai Asam Rebus sudah menjadi kesukaan Kak Pah. Katanya, jika Kak Pah teringin dan rindukan masakan yang turut popular di Johor Bahru itu, Arifa sudi memasakkannya. Kali pertama Arifa menonton persembahannya dengan suami ialah di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur. Kebetulan pula mereka duduk di barisan paling depan sekali. Daripada persembahan itu, merapat akrab seterusnya menjadi kawan. "Beliau juga tempat kami berkongsi dan mencurah perasaan. Pandangan dan sokongannya sebagai kawan sangat positif. Beliau seorang pendengar yang baik. Karakternya sebagai penyanyi juga amat disenangi. Personalitinya tidak seperti sesetengah artis zaman sekarang yang cepat melatah. Beliau sangat 'cool' terutama ketika berdepan dengan kontroversi. Beliau tidak suka memendam dan berdendam, sebaliknya melepaskan yang lalu itu tanpa perlu dikenang lagi," katanya. Mnakala Hamidah Othman, 52, pula sanggup datang dari Kota Tinggi, Johor Bahru semata-mata mahu menyertai acara ini. Hamidah datang ditemani keluarganya dan memilih Palace Of The Golden Horses sebagai tempat penginapan. Pengusaha perniagaan balak ini sebenarnya antara peminat fanatik kepada penyanyi lagu Seribu Mawar itu. "Saya tidak pernah ketinggalan menonton persembahannya setiap kali dianjurkan. Malah, saya akan memastikan untuk mengetahui sebarang perkembangan berkaitannya di TV, surat khabar mahupun menerusi hebahan kawan. Saya juga takkan terlepas membeli albumnya sejak dulu. Album terbarunya pun saya beli. Sebagai idola, saya rasa tak rugi menyokongnya. Beliau seorang wanita yang sederhana. Kita nampak kesusahannya sedari awal membabitkan diri dalam dunia seni sehingga berjaya ke tahap sekarang. Kerja kerasnya menampakkan petanda baik dan semuanya terbukti hingga beliau berjaya mencipta nama dalam legasi tersendiri," kata nenek kepada seorang cucu berusia tiga bulan ini. Akhir sekali yang sempat ditemubual ialah Rosni Arshad, 50. Ibu tunggal kepada dua orang anak lelaki ini sanggup melupakan kesakitan giginya kerana tidak mahu melepaskan peluang mendekati Kak Pah. Allahyarham suaminya, Syed Mohammad Al Jaffri juga berkawan baik dengan Kak Pah. "Detik dan momen ini menjadi yang paling bermakna dan bersejarah dalam hidup saya. Saya memang meminati Kak Pah sejak kecil dan turut berkesempatan menonton persembahannya kerana arwah suami saya turut berkongsi minat yang sama. Ternyata beliau memang sangat merendah diri dan tutur bicaranya sangat santun. Dua lagu dendangannya yang paling saya minati ialah Bunga Tanjung dan duet dengan Tan Sri SM Salim berjudul Hal Rumah Tangga. Yang jelas saya akan abadikan kenangan penuh berharga ini buat selama-lamanya. Malah, hingga kini, saya tidak menyangka mendapat panggilan daripada pihak Kak Pah untuk turut serta dalam acara ini," katanya. Majlis minum petang itu semakin lebih bermakna lagi bagi Biduanita Negara apabila anak angkatnya seorang doktor yang hanya dikenali sebagai Jasmin, mendendangkan sebuah lagu berjudul Lagenda, lalu semakin meleretlah senyuman Kak Pah kerana sesungguhnya beliau memang seorang 'living legend'. INFO
|