NALURI SEORANG IBU

oleh Serimah Mohd Sallehuddin  (Berita Harian: Isnin, 8 Ogos 2011)

Tiada lain yang menggembirakan hati seorang ibu, selain melihat anak kandung yang selama ini tinggal di perantauan, kini berada di depan mata.  Setiap kali Ramadan, kegembiraan pasti bertandang di hati biduanita, Datuk Sharifah Aini, apabila anak bujangnya yang menetap di Madinah kembali meraikan Ramadan dan Syawal di sisinya.  Aliff nama yang tak pernah lekang di bibir wanita ini pulang ke tanah air pada penghujung Jun lalu bagi meraikan Ramadan bersama ibu tercinta.  Bagaimanapun, kepulangan si bujang yang kni berusia 29 tahun itu kali ini tidak lama apabila dia kembali ke pusat pengajiannya di Arab Saudi pada Hari Raya kelima.

Kata Sharifah Aini yang juga mesra disapa Kak Pah, hanya mereka yang bergelar ibu saja memahami perasaan seorang ibu.  "Alhamdulillah, setakat ini setiap kali bulan puasa Kak Pah pasti gembira kerana Aliff akan pulang menyambut puasa dan seterusnya beraya di sini.  Selalunya setiap kali Aliff balik ke sini, Kak Pah akan memasak apa saja yang diminta oleh Aliff.  Beberapa hari lepas, Aliff teringin makan gulai lemak siput sedut.  Kak Pah pun masakkan untuknya, sebelum itu Kak Pah ada memasak masakan Barat untuk Aliff.  Kak Pah memang seronok sangat seiapkali Aliff balik ke sini.  Bagaimanapun, sebaik dia pulang ke sana, mulalah Kak Pah akan bersedih dan kembali berasa sunyi.  Kak Pah masih ingat ketika kali pertama Aliff ke Madinah pada 2002, berbulan-bulan juga Kak Pah menangis kerana terpaksa berpisah dengan dia.  Memang susah hendak Kak Pah jelaskan macam mana perasaan Kak Pah ketika itu," katanya.

Sekalipun kepulangan Aliff singkat, Kak Pah tidak suka mengongkong pergerakan anak bujangnya semata-mata kerana dia ingin menghabiskan waktu berkualiti bersama anaknya.  Contohnya sepanjang Ramadan ini, dia tidak memaksa Aliff untuk menunaikan solat sunat Tarwaih bersamanya sebaliknya memberi kebebasan kepada anaknya itu untuk pergi bersama teman-temannya.  Malah dia sendiri sudah menjadi rutin menziarah dari satu masjid ke satu masjid bersama teman baiknya untuk menunaikan solat Tarawih.  Lokasi yang dipilih, ujar penyanyi bersuara merdu ini, berbeza setiap malam kerana ingin merasai pengalaman bersolat di tempat berbeza.

"Kak Pah tidak mahu ganggu apa yang ingin Aliff lakukan sebab dia pun ada kawan-kawan.  Setakat ini kami belum pernah lagi menunaikan solat Tarawih bersama-sama.  Biasanya Aliff akan pergi dengan rakan-rakan dia, Kak Pah pun begitu juga.  Memang menjadi aktiviti wajib Kak Pah bersama rakan pergi ke masjid yang berbeza setiap malam.  Seperti masjid Wilayah, Negara dan kami pernah ke Putrajaya." katanya yang masih belum membuat sebarang persiapan bagi menyambut kehadiran Syawal.  Sudah menjadi kelaziman, persiapan untuk dirinya biasanya yang terakhir dilakukan kerana keutamaan itu lebih diberikan kepada Aliff dan pembantu rumahnya.  Tahun ini, dia bercadang membelikan anak bujangnya tiga pasang baju Melayu.

Mungkin ramai tidak tahu, penyanyi yang dibesarkan di Johor ini memiliki kebolehan menjahit.  Malah sebelum ini, baju kurung Johor yang sering digayakan ke sebarang majlis adalah hasil tangannya sendiri.  Mengimbau kenangan silam meraikan Syawal ketika kecil, Kak Pah berkata, tidak berganti baju raya adalah biasa buatnya.  Dia tidak pernah mempersoalkan nenek yang membesarkannya kenapa baju rayanya tidak berganti bertahun-tahun.  Katanya,melihat kepelbagaian kuih raya hasil air tangan neneknya terhidang di meja sudah cukup membuatkan hati kecilnya gembira.  "Melihat kuih samperit, dahlia dan macam-macam lagi terhidang di atas meja sudah cukup buat Kak Pah seonok.  Dapat kumpul duit raya juga adalah satu lagi kegembiraan buat Kak Pah.  Masa dulu kalau dapat kumpul RM20 sudah dikira sangat banyak, duit itu biasanya saya akan serahkan kepada nenek.  Cuma kalau teringin nak membli barang, barulah saya akan minta sikit," katanya.

SHIHA ANAK YANG BAIK

Biarpun program realiti Mentor yang menyaksikan Shiha dan Sharifah Aini menggondol tempat kedua sudah berakhir tiga bulan lalu, hubungan dengan protegenya tidak berakhir.  Mereka masih lagi sering bertanya khabar, namun peluang untuk bertemu mungkin sedikit sukar memandangkan masing-masing mempunyai jadual berbeza.

Bakat yang dimiliki anak didiknya itu nampaknya turut diintai peminat Kak Pah apabila ada permintaan daripada pihak yang ingin melihat mereka membuat persembahan bersama-sama.  "Kami memang sentiasa berhubung kerana Kak Pah sudah menganggap Shiha macam anak sendiri.  Shiha seorang pelajar dan anak yang baik, ibunya memang bertuah kerana mempunyai anak yang baik seperti Shiha.  Setakat ini kami belum pernah membuat persembahan bersama-sama, memang ada permintaan daripada syarikat korporat yang mahu kami menyanyi bersama menerusi syarikat penguran saya.  Bagaimanapun buat masa ini permintaan itu tidak dapat dipenuhi kerana syarikat rakaman Shiha mempunyai rencana mereka yang tersendiri," katanya.