KAK PAH TERIMA LAMARAN EDRY oleh Farihad Shalla Mahmud (Berita Harian: Jumaat, 10 Februari 2012) |
"Perbincangan untuk projek kerjasama ini sudah lama berlangsung, iaitu sewaktu kami sama-sama dalam program Mentor lagi. Tak sangka pula selepas itu Edry menyusul dengan tawaran rasmi. Sejujurnya, Kak Pah memang mengagumi hasil kerja Edry. Memandangkan Kak Pah kini bebas, jadi Kak Pah bersetuju untuk bernaung di bawah syarikat rakaman mereka. Walaupun kesemua lagu dalam album ini hasil ciptaan Edry, tapi beliau memberi kebebasan untuk Kak Pah merakamkan dua lagu saduran kegemaran Kak Pah," katanya yang menandatangani kontrak selama dua tahun bersama label itu, dengan tahun ketiga sebagai pilihan. Sesuatu yang mengejutkan apabila Kak Pah mengumumkan untuk bekerjasama dengan Edry memandangkan genre muzik komposer itu jauh berbeza dengan aliran irama penyanyi malar segar ini. "Untuk album ini, Kak Pah ada meminta Edry menghasilkan lagu yang melodinya seperti 'Sedetik Lebih'. Kak Pah amat menggemari lagu itu. Bagaimanapun,ada juga lagu rancak yang bakal dimuatkan dalam mini album ini. Setakat ini, dua lagu sudah pun siap dan Kak Pah akan masuk ke studio merakamkan lagu itu dalam masa terdekat," ujar penyanyi yang cukup popular dengan lagu Seri Dewi Malam. Ditanya mengenai projek album ke 99 dan 100 yang pernah diumumkannya sebelum ini, Kak Pah berkata, dua album terbabit terpaksa ditangguhkan sementelah beliau terbabit dengan projek bersama KRU Records. Sementara itu, beliau juga bakal menganjurkan program amal sempena Hari Ibu yang bakal diadakan di The Royal Chulan Kuala Lumpur, 12 Mac ini. "Tahun 2012 ini Kak Pah sifatkan tahun paling sibuk kerana selain malam persembahan amal itu, Kak Pah juga akan muncul dengan sebuah konsert yang diiringi oleh 70 pemuzik orkestra. Konsert yang bakal diadakan pada 1 April itu akan dilangsungkan di Auditorium P Ramlee, Angkasapuri," katanya dalam nada teruja.
INFO
Artikel lain yang berkaitan:
|