KAK PAH BOLEH HIDUP TANPA SUAMI

oleh Azian Adnan  (Berita Minggu: Bi-Pop, 19 September 1999)

Selama 30 tahun dalam dunia seni, tiada siapa pernah dibenar menyingkap kehidupannya di rumah.  Baginya kebendaan bukan ukuran untuk menonjolkan diri kepada khalayak umum.  Begitulah Sharifah Aini, biduanita yang meletakkan kehidupannya di rumah sebagai satu nilai peribadi yang tidak boleh dikongsi sesiapa.  Kini buat kali pertama, wartawan Bi-Pop, Azian Adnan dan jurugambar Zaharin Abdul Hayon menyingkap kehidupan Sharifah Aini atau lebih mesra dipanggil Kak Pah di rumahnya, di Petaling Jaya, Selangor.

Kali pertama menjejakkan kaki di pintu rumahnya, sudah menampakkan keperibadian Kak Pah yang bukan saja seorang yang teliti tetapi mengutamakan kesempurnaan dalam semua perkara.  Malah daripada wajahnya yang tidak lokek dengan senyuman itu sudah cukup untuk menyakinkan saya yang perancangan lebih dua bulan untuk melihat sendiri kehidupan Kak Pah di rumah memang berbaloi.

Tidak dinafikan, Kak Pah memang teliti, nampak jelas keperibadiannya itu.  Dia adalah wanita yang mahu rumah menjadi syurga.  "Saya memang teliti.  Bagi saya ketelitian membuat kehidupan seseorang lebih tersusun.  Memang itu yang saya pegang sejak dulu.  Mungkin saya dididik begini," katanya.  Kehidupannya memang tersusun.  Masakan tidak, dalam pejabatnya saja (yang terletak dalam rumahnya) disusun fail sama ada mengenai dirinya atau kariernya sebagai penyanyi dengan rapi.  Di situ ada pelbagai fail termasuk fail persembahan, senarai album yang dimiliki sehinggalah fail perbelanjaan anak-anaknya.  Semua direkod.

Nampak lebih menyerlah kehidupan Kak Pah yang tersusun adalah tempat dia menyimpan pita kaset rakaman dan cakera padat muziknya yang lebih 7,000 unit.  Lebih menyakinkan semuanya diletakkan label yang memudahkan dia membuat rujukan.  "Bagi saya pejabat ini bukanlah tempat saya membuat kerja semata-mata tetapi juga perpustakaan," katanya sambil menyemak mesin faksimili yang sedang menerima jemputan menyanyi untuk majlis makan malam.

Kak Pah kadang-kadang menghabiskan masa berjam-jam dalam pejabat peribadinya.  Ada satu set komputer yang dilengkapi kemudahan Internet.  Di sinilah Kak Pah banyak menghabiskan masa melayari Internet untuk menambah ilmu.  Pejabatnya juga menjadi tempat untuk mendapatkan ketenangan.  "Saya suka membaca.  Dalam simpanan saya, ada lebih 2,000 buku termasuk bahan bacaan agama dan pengetahuan am termasuk bahasa.  Ini semua kerana keyakinan saya kepada ilmu.  Saya percaya ilmu adalah teman sehingga mati.  Mungkin ini menyebabkan saya dianggap ulat buku.  Memang pada hakikatnya seorang penyanyi hanyalah bersandarkan kepada bakatnya tetapi tidak ada erti jika tidak berilmu.  Sewaktu mula menjejakkan kaki di Kuala Lumpur, saya tidak tahu langsung berbahasa Inggeris.  Lalu saya ambil kursus bahasa Inggeris di Universiti Malaya (UM) selama lima tahun," katanya sambil menyikat rambutnya ke belakang.

Sharifah Aini banyak menghabiskan masa di dalam pejabat peribadinyaDi rumah, Kak Pah bukan seorang penyanyi.  Biarpun sudah menghasilkan 69 album sejak 30 tahun lalu, dan ke 70 pada hujung bulan ini.  Sebenarnya dia lebih dari itu – seorang ibu yang tidak pernah kenal erti penat mendidik anak.  "Dari segi itu memang saya agak tegas.  Setiap kali tiba waktu solat, saya pasti akan menjenguk setiap bilik untuk memastikan mereka sembahyang.  Bahkan setiap hari saya akan bersama mereka melihat kerja sekolah.  Saya akan pastikan semuanya dibuat dan akan membantu mereka dalam membuat kerja rumah itu." katanya.

Dalam satu tahun, ada satu bulan yang Kak Pah rasa rumahnya benar-benar bahagia.  "Masa itu bulan puasa.  Sepanjang bulan itu, saya dan anak-anak akan bersama.  Kami akan sembahyang bersama, Qiamulail dan mengaji bersama sepanjang Ramadhan.  Bila tiba waktu itu, perasaan saya gembira, sebak dan terharu.  Saya berasakan itulah ganjaran dunia bagi seorang ibu seperti saya," katanya.

Kak Pah ada lima anak dan dua lagi anak angkat yang kini mengikuti pengajian dalam bidang perundangan Islam di sebuah universiti di Madinah dan Jordan.  Anak-anaknya Aliff Omar (18), Nina Freeda (13), Siti Naquiah (12), Imen (7) dan dua lagi anak angkatnya yang berusia 18 dan 21 tahun tidak diberikan nama.  Bagi Kak Pah, anak adalah perkara yang paling penting dalam hidup.  Kegagalan dua kali dalam perkahwinan tidak bererti dia tidak mahu berkahwin lagi.  "Saya percaya hidup berkeluarga.  Mana tahu, suatu hari nanti saya bertemu jodoh sekali lagi.  Saya boleh hidup tanpa suami tetapi saya tidak boleh hidup tanpa anak-anak!," katanya mengakhiri pertemuan.