JANGAN JADI HANTU DUIT

Temubual oleh Izza Safinaz Ibrahim  (Berita Harian: Sembang Sabtu, 1 Mac 2003)

Bukan mudah untuk mengekalkan kedudukan sebagai penyanyi sepanjang zaman.  Jiwa seni biduanita Sharifah Aini tidak pernah pudar sejak mula bergelar penyanyi dulu.  Sudah melalui beberapa era, sebagai penyanyi berpengalaman beliau yang lebih mesra dipanggil Kak Pah ini menyaksikan pelbagai perubahan berlaku dalam perkembangan dunia seni.  Ikuti temubual IZZA SAFINAZ IBRAHIM dengan penyanyi lagu Seri Dewi Malam ini berkongsi pengalamannya dan mencurahkan pandangan mengenai dunia seorang penyanyi.

Persada Seni:  Sebagai seorang penyanyi sepanjang zaman, Kak Pah berjaya mengekalkan kedudukan sejak tahun 70an lagi.  Jika penyanyi seperjuangan lain lebih berminat untuk bersara atau menumpukan perhatian ke bidang lain, bagaimana Kak Pah masih boleh merakam album dan aktif dalam dunia hiburan?

Sharifah Aini:  Saya telah menyertai dunia seni selama 35 tahun dan selama itulah saya tetap bersama syarikat EMI.  Saya terlalu cintakan dunia seni dan begitu gembira dengan apa yang saya lakukan.  Saya juga banyak menerima undangan persembahan eksklusif yang datang dari luar dan dalam negara.  Soal untuk bersara memang ada tetapi terlalu banyak yang saya perlu lakukan dalam tiga tahun lagi.  Insya-Allah masa yang ada saya berikan sepenuhnya untuk mengucapkan selamat tinggal kepada dunia seni.  Saya mahu merancang sebuah konsert selamat tinggal kepada semua peminat dan kemungkinan merakam album dalam beberapa genre lagi.  Ramai tahu saya kini aktif menjalankan perniagaan bersama dua lagi sahabat karib, Rosman dan Jason mengendalikan syarikat Pods & Petal Sdn Bhd.  Kami begitu sibuk membina perniagaan ini dan ia menambahkan lagi tanggungjawab saya dalam kehidupan sehari-hari bukan saja sebagai artis tapi urusan perniagaan.

Persada Seni:  Apakah perbezaan ketara dunia nyanyian dulu dan kini?

Sharifah Aini:  Perbezaan yang amat ketara sekarang kalau boleh saya katakan adalah peluang dan pelbagai pertandingan.  Dunia seni sekarang amat mudah kerana kini semuanya ada tajaan.  Dari segi pendapatan, walaupun artis baru, mereka dapat meraih pendapatan yang amat lumayan tapi ini rezeki artis baru, rezeki industri muzik itu sendiri serta perubahan zaman.  Saya dan artis dulu bermula dan merangkak dari bawah tapi saya tidak pernah kesal malah saya boleh menoleh ke belakang dan tertawa pada hari ini apabila terkenangkan kesusuahan yang kami lalui.  Saya dan artis dulu kaya dengan pelbagai pengalaman dan ini menjadikan saya lebih gembira dan banyak kenangan yang telah saya lalui.  Saya puas dan pasrah!

Persada Seni:  Selain menyanyi apakah kewajipan seorang penyanyi rakaman?

Sharifah Aini:  Seorang artis perlu disiplin diri yang kukuh, menghormati masa dan perlu menjaga kualiti persembahan.  Artis juga perlu mempunyai ilmu komunikasi dan public relations.  Artis perlu banyak belajar kalau mahu berjaya menjadi penghibur yang berilmu kerana penghibur yang berilmu akan dihormati dan dijadikan contoh untuk generasi akan datang.  Saya terus belajar untuk mencapai ke tahap itu dan masih terlalu banyak perkara yang perlu saya pelajari lagi.  Saya juga harus peka dengan keadaan semasa, bukan saja apa yang berlaku dalam dunia hiburan, tetapi peka mengenai pergolakan negara saya sendiri dan dunia.

Persada Seni:  Sukarkah masyarakat untuk menerima penyanyi senior terutama penyanyi wanita sedangkan di luar negara, Diana Ross, Cher, Aretha Franklin dan ramai lagu masih merakamkan album dan aktif?

Sharifah Aini:  Itu memang menjadi realiti di dunia Barat, tapi bukan di negara kita dan masyarakat kita.  Bagaikan ada 'mental block' dalam masyarakat kita apabila umur meningkat cara kehidupan harus berubah, cara kita berpakaian harus berubah.  Ini adalah tuntutan sebilangan masyarkat yang begitu 'judgemental' terhadap golongan artis.  Merakamkan lagu tidak menjadi masalah besar apabila umur meningkat, tetapi personaliti mesti berubah.  Saya kurang pasti mengenai dunia rakaman itu sendiri kerana yang banyak berlaku pada artis rakaman di mana-mana pun, mereka yang berumur lebih 40an, teknik pernafasan tidak sebegitu baik, 'pitching' yang meruncing dan suara tidak kesampaian.  Saya percaya ini banyak sekali berkaitan dengan stamina atau pun fizikal penyanyi itu sendiri.  Kurang berlatih, kurang menjaga kesihatan dan mudah penat.

Persada Seni:  Mengikut pengalaman Kak Pah masihkah ada ruang untuk penyanyi senior bersaing dengan penyanyi baru?

Sharifah Aini:  Kehadiran saya yang masih lagi di sini bukan untuk bersaing atau berlawan dengan penyanyi baru.  Saya sudah terlalu lama di sini.  Saya punya peminat dan pengikut saya yang tersendiri.  Saya tidak berminat untuk bersaing dengan penyanyi baru.  Bagaimanapun saya terlalu gembira melihat kedatangan ramai artis baru yang begitu berbakat.  Saya mahu melihat dunia seni di tanahair kita akan terus dipenuhi dengan ramai artis yang benar-benar berbakat.  Mimpi saya ingin melihat dunia seni dipenuhi dengan artis yang komited dan bermaruah demi memartabatkan dunia seni itu sendiri.  Jangan, jadikan duit sebagai punca untuk menjadi anak seni.  Siapa yang tak mahu kesenangan dan duit, tapi biarlah berpada-pada dan jangan pula menjadi hantu duit.

Persada Seni:  Bagaimana pula dengan formula gandingan penyanyi lama dan baru dalam sesebuah lagu atau album?

Sharifah Aini:  Saya rasa ia satu idea yang hebat tetapi akan mengundang banyak implikasi.  Antaranya ramai yang akan menjadikan ia sebagai padang untuk perlawanan.  Saya berikan contoh.  Tiga tahun dulu saya pernah menulis surat dan mengundang artis baru untuk muncul dalam album saya, jawapan yang saya terima sangat mengecewakan kerana alasan artis lama menumpang populariti dan kedudukan artis senior yang tidak setaraf.  Ada juga artis dari seberang yang berminat untuk berduet dengan saya tetapi pengalaman lalu membuatkan saya mahu melupakan saja idea itu.  "No hard feelings."  Ini semua 'attitude' dan masalah artis kita sendiri.

Persada Seni:  Apakah nasihat Kak Pah untuk bakat baru atau penyanyi sedia ada untuk bertahan lama dalam bidang nyanyian?

Sharifah Aini:  Saya bukan orang yang arif untuk memberi sesiapa nasihat.  Tetapi kejujuran mesti ada dalam jiwa artis itu sendiri.  Jangan ada sifat angkuh dan jangan hanya memikirkan diri sendiri.  Fahami apa makna terima kasih dan yang penting belajar demi membawa diri ke tahap yang lebih tinggi.  Sebagai orang lama, saya marah dan tersinggung kalau ada orang yang memperkecilkan kalangan artis dan memanggil mereka sebagai golongan lembap pemikiran dan tidak cerdik, harap cantik saja.  Kadang-kadang orang pun keterlaluan.  Tetapi semuanya terpulang kepada artis itu sendiri.  Paling penting, apakah perancangan mereka sendiri untuk menjadi artis contoh.  Mereka perlu kuat semangat supaya disegani dan tidak boleh diperkotak-katikkan.