DEE, KAK PAH ULANGI DETIK MANIS

oleh Zul Husni Abdul Hamid  (Berita Harian: Rabu, 7 Mei 2008)

Bergabung lagi buat persembahan istimewa sempena Hari Ibu, 11 Mei

Empat tahun lalu mereka pernah bersatu di atas pentas yang sama menjayakan persembahan sempena sambutan Hari Ibu.  Keseronokan bekerjasama untuk majlis itu tidak pernah terhakis daripada sudut ingatan pengacara dan pelakon terkenal, Dee.  Seakan ingin mengulangi semula detik manis itu, doa Dee bagaikan termakbul apabila mereka kembali dipertemukan untuk sebuah lagi majlis penuh bermakna.   Minum Petang Eksklusif Hari Bonda Bersama Datuk Sharifah Aini menampilkan Dee yang akan berlangsung di Hotel Legend Kuala Lumpur, 11 Mei ini menemukan semula Dee dengan penghibur kegemarannya itu.

"Tawaran itu bagaikan bulan jatuh ke riba dan jujurnya saya sendiri sudah tidak sabar untuk kembali beraksi bersamanya,” kata Dee mengenai kerjasama dengan Sharifah Aini yang mesra dengan panggilan Kak Pah.  Akui Dee, ketika mula dipertemukan dulu, dia diburu debaran yang hebat.  Namun pada masa sama, tidak dapat menyembunyikan perasaan bangga kerana dapat berkongsi pentas dengan penyanyi malar hijau itu.  “Saya harus memberikan persembahan yang terbaik dan setaraf dengan nama besar yang dimilikinya.  Itu bukan sesuatu yang mudah tetapi saya bersyukur kerana dia seorang yang mudah untuk bekerjasama,” kata Dee. 

Masih dalam proses perbincangan mengenai konsep yang bakal mereka ketengahkan pada petang penuh bersejarah itu, Dee berkata, dia berterima kasih kepada penyanyi Seri Dewi Malam itu yang banyak memberi tunjuk ajar.  Tidak lokek mengetengahkan idea, mereka saling berhubung malah akan berbincang untuk memastikan segala perancangan yang dibuat berjalan lancar.  Akui Dee, pengalaman Sharifah Aini yang sudah 40 tahun melayari hidup sebagai anak seni membuatkan penghibur itu merancang penuh teliti perjalanan acara sebelum menaiki pentas.

“Beliau seorang yang teliti dan terperinci membuatkan saya juga bersemangat untuk memberikan yang terbaik supaya semua tetamu berpuas hati dengan apa yang diberikan.  Selalunya kami akan berbincang kerana kejayaan sesebuah persembahan bukan hanya terletak kepada individu.  Sebaliknya ia membabitkan kerjasama pelbagai pihak dan itu yang kami terapkan apabila diundang menjayakan persembahan bersama,” kata Dee.  Tanpa berselindung Dee berkata, dia pernah menyuarakan kerinduan untuk bekerjasama dengan Sharifah Aini ketika mereka bertemu pada satu majlis tidak lama dulu.

Tanpa disangka peluang itu datang lagi apabila dilamar Seri Dewi Productions Sdn Bhd yang bekerjasama dengan Hush Entertainment Sdn Bhd menganjurkan acara istimewa itu.  “Umpama mimpi menjadi kenyataan dan tawaran yang diberikan membuatkan saya tidak mampu menolak apatah lagi untuk hari istimewa bagi menghargai insan paling bermakna dalam kehidupan insan iaitu ibu,” katanya.  Walaupun tidak dapat membawa ibu kesayangan yang kini menetap di Perlis bersama kerana masalah kesihatan, Dee berkata, dia tidak pernah lupa untuk menghubungi ibunya pada hari itu.

Biar jauh di mata, ingatan terhadap insan yang berkorban nyawa membesarkan dirinya hingga menjadi manusia berguna seperti hari ini membuatkan Dee sebak.  Malah sewaktu berbicara mengenainya, getar suara Dee kedengaran di hujung talian terutama apabila menyentuh mengenai pengorbanan seorang ibu.   “Jasa ibu tidak terbalas dengan harta benda.  Kasih sayang mereka tulus tanpa sempadan membuatkan saya hairan kenapa ada yang sanggup menghancurkan hati ibu sendiri.  Saya cuma mampu membahagiakan ibu, mencurahkan perhatian dan kasih sayang tidak berbalas selagi hayatnya masih dikandung badan.  Hanya Tuhan yang dapat membalas pengorbanan seorang ibu dan sebagai anak, saya tidak pernah putus mendoakan kesejahteraan hidupnya,” kata Dee yang gemar menghadiahkan barangan kemas pada hari itu.