BARAT 'd' TIMUR 2: Setangkai Tak Sebau [Koleksi Lagu Inggeris (versi original) vs Versi Melayu] (Pertama kali diperdengarkan 6 Mei 2017) |
|
Playlist BARAT 'd' TIMUR 2: Setangkai Tak Sebau mendedikasikan muzik retro kepada penggemarnya. Seleksi lagu yang dipilih adalah lagu-lagu Melayu yang pernah popular pada dekad 70an dan awal 80an yang asalnya adalah lagu-lagu Barat yang popular tetapi diterima oleh pendengar tempatan. Tidak tahu mengapa syarikat rakaman ketika itu mengambil 'jalan mudah', menyelitkan lagu-lagu saduran (cover version) ke dalam album artis tempatan walhal perkembangan muzik tempatan ketika itu agak pesat. Malah ada EP yang diterbitkan kesemua trek lagunya adalah lagu saduran atau rakaman semula lagu-lagu lama tempatan. Ia berlaku bukan untuk artis-artis baru tetapi juga artis ternama seperti Anita Sarawak, Rahimah Rahim, Sarena Hashim, Ismail Haron dan ramai lagi. (Era 70an, piringhitam diterbitkan dalam format EP (mengandungi 4 lagu, kadang-kadang 3 lagu) manakala LP (sekurang-kurangnya 12 buah lagu.) Tetapi jika dikira dari sudut positif ternyata ia juga memberi 'warna' terhadap perkembangan muzik ketika itu. Selain lagu-lagu ciptaan tempatan, irama lagu-lagu Melayu menjadi pelbagai kerana bukan hanya lagu Inggeris telah di'Melayu'kan tetapi juga lagu-lagu Jepun, Hindi, Arab, Latin. Playlist BARAT 'd' TIMUR 2: Setangkai Tak Sebau menghimpunkan 15 buah lagi lagu Inggeris versi asal vs versi tempatan. Berbanding dengan irama Jepun, pengaruh irama Barat memang tidak asing bagi penggemar muzik tempatan apatah lagi ia dipopularkan dan dinyanyikan oleh penyanyi tempatan yang ternama. |
|