MALAM SEMARAK KASIH INDAH

oleh Sani Salleh  (Harian Metro: Isnin, 26 Jun 2000)

Seperti namanya Malam Semarak Kasih, majlis amal dan penganugerahan anjuran Persatuan Pemuzik, Penyanyi dan Penulis Lagu Tanahair (PAPITA), malam kelmarin, menyemarak dan mempertemukan karyawan muzik muda dan veteran.  Grand Ballroom Hotel Hilton Kuala Lumpur, sesak dengan kehadiran karyawan serta tetamu yang membuat tempahan meja.  Majlis itu juga diserikan dengan persembahan secara langsung oleh beberapa artis popular.  Biarpun ia tidak dipancarkan secara langsung menerusi televisyen, penganjur tampak memberi penekanan terhadap kelancaran majlis berkenaan termasuk persembahan selingan atau penyampaian anugerah Kecapi.

Lebih memberikan prestij kepada Malam Semarak Kasih ialah kehadiran Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, Timbalan Menteri Penerangan Datuk Khalid Yunus dan Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Zainal Abidin Zain.  Bekas Menteri Penerangan Tan Sri Mohamed Rahmat, turut meluangkan masa hadir ke majlis berkenaan.  Malam Semarak Kasih, yang berlangsung kira-kira dua jam itu dikendalikan pasangan penyanyi Nurul dan Farouk Hussein sebagai pengacara.  Agenda malam kelmarin dimulakan dengan laungan selawat nabi oleh kumpulan Kawan, menyambut ketibaan Abdullah serta kenamaan lain. 

Sekumpulan penari kanak-kanak dengan kostum berwarna-warni muncul selepas itu dengan persembahan tarian gemalai diiringi lagu latar 'Bunga Semarak', nyanyian Yusni Hamid.  Pendatang baru, Fauziah Idris, bergabung dengan kumpulan pemuzik ghazal ketika hadirin menikmati makan malam.  Dia menyanyikan empat lagu tradisional termasuk lagu popularnya, 'Zapin Rindu Rinduan'.  Zubir Ali sebagai Pengerusi penganjur memberikan ucapan alu-aluan selepas itu.  Zubir juga adalah Naib Presiden Papita.  Presiden Papita, A Rahman Hassan turut berucap. 

Abdullah selaku penaung Malam Semarak Kasih, juga diberi peluang menyampaikan amanatnya kepada karyawan muzik tanahair, termasuk mengesyorkan karyawan muzik menjadikan Papita sebagai wahana di antara golongan artis dan kerajaan.  Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri, merasmikan majlis itu.  Kumpulan Cecupak kemudian naik ke pentas dengan persembahan ringkas sebelum Ahmad Jais, mengimbau nostalgia dengan lagu 'Di Ambang Sore'.  Suara emas milik Ahmad Jais masih lunak dan kental seperti zaman kegemilangannya pada era 60-an.  Penyanyi remaja, Intan Sarafina turut menghiburkan hadirin dengan lagu 'Kembali'. 

Majlis penganugerahan dimulakan bagi kategori Kewartawanan Papita (media massa/elektronik).  Ia dimenangi wartawan hiburan Berita Harian, Akmal Abdullah.  Program Melodi, terbitan TV3 pula, memenangi anugerah bagi kategori elekronik.  Tidak banyak kejutan dalam semua kategori yang dipertandingkan kerana kebanyakannya mudah diramal pemenangnya berdasarkan kredibiliti dan kelebihan tiga calon akhir bagi setiap kategori.  Anugerah Khas dimenangi syarikat rakaman tempatan Suria Records Sdn Bhd, kerana sumbangannya memartabatkan muzik irama Malaysia secara konsisten.

Bagi kategori Anugerah Penulisan Lagu Terbaik, dibahagikan kepada tiga genre iaitu rock, pop dan irama Malaysia.  Genre rock dimenangi M Nasir, Pop (Adnan Abu Hassan) dan Irama Malaysia (Pak Ngah Suhaimi).  Biduanita Sharifah Aini, pula menerima Anugerah Pencapaian Seni Terbaik.  M Nasir dan Raihan berada dalam senarai calon akhir kategori ini.  Bagi Anugerah Personaliti Terbaik, Siti Nurhaliza mengenepikan saingan Ziana Zain dan Sheila Majid.  Bagaimanapun, tiada pemenang bagi Anugerah Sudirman kerana tidak ada calon berkelayakan.  Anugerah Aktivis Industri Muzik diraih Mike Bernie, mengatasi Ali Bakar dan Tony Fernandez.  Anugerah Artis Sepanjang Zaman dipecahkan kepada empat kategori iaitu penulis lirik, pemuzik, pencipta dan penyanyi.  Anugerah bagi kategori penulis lirik dimenangi Habsah Hassan, pemuzik (Fadzil Ahmad), pencipta (Ahmad Nawab) dan penyanyi (Ahmad Jais).  Semua penerima anugerah menerima trofi Kecapi, yang pertama kali diperkenalkan Papita sebagai menghargai karyawan muzik tanahair. 

Artis yang mengadakan persembahan selingan ketika majlis penganugerahan berlangsung ialah M Nasir, mendendangkan lagu 'Boria Untuk Umi', Siti Nurhalkiza (Balqis), Datuk M Daud Kilau, Syafinaz dan Search (medley 'Gadisku', 'Rozana' dan 'Bukakan Jendela Asmara').  Search turut menyanyikan lagu ciptaan Ahmad Nawab, 'Kasih' sebagai penghargaan kepada komposer ternama itu.  Malam Semarak Kasih mewujudkan segmen khas untuk Ahmad Nawab kerana sumbangannya yang besar dalam industri muzik tanahair.  Ia dimulakan dengan Siti Nurhaliza, menyanyikan lagu 'Hapuslah Airmatamu', duet Anis Surata & Hairie KOOL (Seiring Jalan).  Siti, Anis dan Hairie kemudian tampil secara trio menyanyikan lagu 'Tiada Maaf Bagimu' dan 'Sabar Menanti'.  Fauziah dan Intan menyertai trio itu, bergandingan menyanyikan lagu 'Yang Ditunggu Tak Tiba', 'Apa Khabarmu Di Sana', dan 'Kau Lupa Janji'. 

Kemunculan Ahmad Nawab bersama seksofon ke pentas selepas itu diiringi tepukan gemuruh.  Beliau memperdengarkan irama 'Kau Kunci Cintaku Di Dalam Hatimu', diiringi petikan keyboard Ramli MS.  Semua artis terbabit kembali bergabung suara di pentas menyanyikan lagu 'Bila Rindu Kusebut Namamu', nyanyian asal Siti Fairuz diiringi tiupan seksofon Ahmad Nawab.  Persembahan itu menutup tirai Malam Semarak kasih.