SHARIFAH AINI YANG DIKENALI
oleh Ahmad Daud (telah bergelar
Datuk dan telah meninggal dunia – Al Fatihah untuk Allahyarham) |
Pertama kali saya mendengar Sharifah menyampaikan lagu KEHILANGAN MUSTIKA yang dipopularkan oleh Biduan Sam Saimun, saya berbisik dalam diri saya sendiri, 'seorang bintang harapan telah dilahirkan'. Tempat ketiga yang diperolehi dalam pertandingan itu mendekatkan Sharifah kepada cita-citanya untuk menjadi penyanyi. Ada sesuatu yang cukup istimewa pada suara Sharifah. Sebagai orang yang telah lama berkecimpung dalam bidang seni suara, saya kagum betul pada patah lagu dan lenggok suara Sharifah yang asli. Bagi saya, tidak ramai penyanyi-penyanyi kita yang mempunyai kebolehan seperti itu. Di waktu itu, saya telah mempunyai keyakinan terhadap masa depan yang cemerlang untuk Sharifah sebagai penyanyi. Kebetulan orang yang bertanggungjawab menerbitkan rekod berbentuk EP Sharifah yang pertama ialah teman karib saya sendiri, saudara Kassim Masdor. Seperti saya, Kassim juga mempunyai pandangan yang sama. Sebagai penerbit rekod sulung nyanyian Sharifah, secara tidak langsung, Kassim merupakan orang yang pertama dalam lapangan piringhitam, memberi galakan dan tunjuk ajar pada Sharifah. Kerja ini, bagi Kassim bukanlah sesuatu yang sukar memandangkan Sharifah memang telah ada didalam dirinya, bakat yang sungguh besar dan istimewa. Saya masih ingat, sebagai penyanyi baru, sambutan yang diterima oleh Sharifah waktu itu hanya sederhana saja. Maklumlah, bukan senang mengalahkan penyanyi-penyanyi veteran dan penyanyi-penyanyi pop yang telahpun mempunyai pengikut dan peminat mereka yang setia. Sungguhpun begitu, EMI berpuashati dengan penjualan rekod sulung Sharifah dan terus memberikan peluang demi peluang kepadanya sehinggalah hari ini, nama Sharifah menjadi sebutan setiap orang yang meminati senimuzik tanahair. Dalam tahun 1979, bersama-sama beberapa orang teman-teman, kami menubuhkan sebuah Persatuan untuk penyanyi tanahair yang singkatnya disebut PAPITA. Aktiviti besar yang pertama kami laksanakan ialah menganjurkan MALAM ANUGERAH PENYANYI-PENYANYI TERKENAL bagi tahun 50-an, 60-an dan 70an. Pemilihan dibuat oleh orang ramai melalui borang khas yang dikeluarkan di sebuah majalah hiburan. Sambutan cukup menyeronokkan sekali. Apabila pengiraan undi dibuat, kami mengambil masa hingga 5 hari mencari penerima anugerah bagi tahun 70-an. Setiap borang yang dibuka mengemukakan nama Sharifah. Terlalu banyak undian yang diberikan oleh peminat senisuara kepada Sharifah sehingga jawatankuasa penganjur mengambil keputusan sebulat suara memutuskan undi yang diterima Sharifah sebagai 'Countless' – tidak terkira banyaknya. Saya terkenang pada saat itu ke malam Telentime RTS 1969 dan apa yang saya bisikkan di dalam hati kecil saya tentang Sharifah. Memang benar ... dialah bintang yang terang menghias dunia seni muzik tanahair kita. Sharifah Aini mempunyai keistimewaannya yang tersendiri. Tidak keterlaluan kalau saya katakan bagi saya, Sharifah berdiri separas dengan penyanyi-penyanyi kita yang terkenal yang telah pergi mendahului kita. Sharifah masih mampu mengawal kemerduan suaranya hingga ke hari ini. Sharifah Aini seorang gadis pemalu suatu ketika dahulu, hari ini telah bertukar menjadi seorang wanita yang matang dalam bidangnya. Satu perkara yang tidak berubah, ialah budi bahasa dan tutur katanya yang lembut dan sopan. Sebagai 'orang lama' yang boleh disebut 'peminat' Sharifah, saya mengharapkan kejayaan seterusnya dari Sharifah dan akan mendoakannya selalu. |