SHARIFAH AINI TEGUH BERDIRI oleh Roslen Fadzil (Harian Metro: Selasa, 18 April 2000) |
Sebagai membuktikan kata-katanya itu,
penyanyi lagu Burung Pungguk ini mengakui sedang berunding dengan EMI
Malaysia untuk memperbaharui kontraknya selepas 31 tahun menyanyi dengan 72
album Melayu dan Inggeris. Dengan reputasi serta pencapaian itu, jelas
Sharifah melorek sejarah dalam dunia rakaman Melayu kerana belum pernah
seseorang artis begitu setia dengan sesebuah syarikat rakaman dan lebih
penting, dia masih aktif menyanyi.
Kegembiraan dan rasa bersyukur jelas tergambar pada raut wajahnya yang awet
muda itu apabila melangkah ke pentas menerima trofi berprestij. Lebih
membanggakan, semua penonton di dalam Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia
Putra (PWTC) berdiri memberi hormat (standing ovation). "Dengan tidak
semena-mena, saya menggigil sebelum menyanyikan lagu Rindu
Serindu-Rindunya.' Entahlah saya pun tidak tahu kenapa - mungkin kerana
semua penyanyi lain hebat-hebat malam itu. Namun bila mendengar tepukan
penonton, semangat saya bangkit semula," katanya yang terharu diiringi
sebuah orkestra pimpinan penerima Anugerah Sri Wirama tahun lalu, Johari
Salleh.
Hakikatnya, Sharifah masih teguh berdiri dalam industri hiburan di rantau
ini selama tiga dekad sekalipun banyak penyanyi lain datang dan pergi. Daripada zaman pring hitam hingga cakera padat mini (mini disc) semangat
perjuangannya itu tidak pernah luntur. Masih terbayang lagi di fikiran
Sharifah bagaimana dia mula mengenal dunia nyanyian. "Lagu pertama yang saya
nyanyi di khalayak ramai ialah Selamat Pengantin Baru. Ketika itu
umur saya baru tujuh tahun dan belum mendapat duit. Saya cuma dapat makan
nasi minyak percuma sahaja," katanya.
Berbekalkan
minat serta kesungguhan, bekas juara tilawah al-Quran dan pemidato agama
peringkat sekolah di Johor ini terus mengasah bakat dan memanfaatkan
suaranya ke arah kebaikan iaitu menghibur masyarakat. Antara kumpulan muzik
terawal yang disertainya ialah The Families dan D'Acrobat. Tanpa berkira
sangat soal bayaran, Sharifah semakin seronok menyanyi malah sanggup
menerima upah sate sebagai ganti bayaran persembahan.
Sesudah menyertai satu pertandingan nayanyian anjuran Radio Televisyen
Singapura (RTS) pada 1967, Sharifah terus dilamar komposer Kassim Masdor
untuk menyertai EMI Singapura. Maka lahirlah EPnya yang pertama
Seri Dewi Malam yang hingga kini menjadi salah sebuah lagu
trademarknya. Hingga lewat 1960an pun, Sharifah masih lagi menjadi artis
pembuka tirai kepada persembahan penyanyi terkenal lain seperti Rafeah Buang,
Ahmad Jais, A Ramlie, Sanisah Huri dan Jefrydin.
Kesannya, apabila selalu muncul di pentas dan radio, nama Sharifah semakin
hebat diperkatakan. Lenggok suaranya yang begitu mendayu seperti dalam lagu
Seri Dewi Malam, Dekatlah Padaku, Kini Hatiku Telah
Tertawan
dan Kekasih Pujaan' membuatkan jutaan pendengar mula jatuh hati. Pada pertengahan 1970an, Sharifah berhijrah ke EMI Malaysia. Seterusnya
munculnya lagu-lagu hitnya seperti
Bunga Tanjung, Burung Pungguk, Terbang Helang, Tiada
Maaf Bagimu dan
Surat Dari Seberang'.
Sekalipun hidupnya pernah dicubit pelbagai kontroversi, Sharifah tidak
pernah menganggap ia tembok penghalang untuk terus menghibur. Baginya,
cerita-cerita di balik tabir menjadi rahsia peribadi dan apabila berada di
depan peminat, dia adalah Sharifah Aini – seorang penghibur. "Saya sudah
menempuh perjalanan yang jauh. Menjadi artis bukanlah selalunya indah kerana
selain menerima pujian, saya juga terpaksa menelan cacian. Ia sudah adat
tetapi saya tidak pernah menyesal dengan jalan yang sudah saya tempuhi,"
ujarnya. Artikel lain yang berkaitan:
|