SELAMAT TINGGAL GEORGE MICHAEL

Kosmo, 27 December 2016

Menyebut sepotong nama George Michael, dia merupakan legenda penyanyi terhebat Inggeris dengan jualan album melebihi 100 juta unit sepanjang penglibatannya dalam cabang muzik.  Siapa mampu menidakkan kemaraan lagu Careless Whisper.  Lebih tiga dekad berlalu, ia masih menjadi pilihan halwa telinga khalayak umum.

Sambutan Hari Natal kali ini diselubungi kedukaan apabila bintang kesayangan ramai itu meninggal dunia secara aman di kediamannya di Goring, Oxfordshire, England dipercayai akibat kegagalan jantung.  Pemergian mengejut Michael bukan sahaja diratapi peminat-peminatnya seluruh dunia bahkan rakan-rakan seperjuangan yang amat menyanjungi dirinya seperti Elton John dan Madonna.

Michael atau nama sebenarnya Georgios Kyriacos Panayiotou dilihat lebih daripada seorang penyanyi mahupun pemuzik.  Dia yang dilahirkan di Bushey, Hertfordshire, England.  Lelaki berketurunan Inggeris-Greek itu merupakan individu berjiwa kental yang tidak pernah gagal menurut gejolak jiwanya.  Dia berjuang habis-habisan bukan sahaja untuk dirinya malah untuk kepentingan masyarakat sejagat.

“Anda tidak akan pernah kenal erti kedamaian jika anda tidak dengar kata hati anda.  Saya terlalu obses dengan minat dalam muzik hingga kadangkala terlupa banyak perkara yang perlu saya perjuangkan dalam hidup,” katanya dalam satu temubual bersama BBCWorldwide.

 Sakit 

Pada Oktober 2011, pelantun lagu Freedom! ‘90 itu membatalkan persembahannya di Royal Albert Hall London disebabkan jangkitan penyakit misteri.  Sebulan selepas itu, dia dimasukkan ke sebuah hospital di Vienna, Austria akibat masalah sesak nafas, dua jam sebelum membuat persembahan.

“Saya sakit tetapi berasa sangat gembira dengan keadaan saya.  Apabila jatuh sakit, ia adalah pengalaman paling buruk dalam hidup tetapi bersyukur kerana ramai yang mengambil berat berhubung diri saya,” ujar Michael dalam satu temubual selepas dibenarkan keluar daripada hospital.

Hujung tahun 2011, Michael mendedahkan kepada khalayak dia menderita penyakit pneumonia dan sedang berjuang untuk sembuh daripada penyakit tersebut.

“Semangat saya sangat kuat dan ia juga disebabkan sokongan daripada orang ramai terutama keluarga dan peminat.  Saya tersentuh dengan sokongan daripada orang ramai.  Disebabkan saya jatuh sakit, saya telah mengecewakan hati ramai orang.

“Keadaan saya semakin baik namun memerlukan rehat yang mencukupi.  Saya tidak lagi lincah seperti dahulu tetapi yakin mampu sembuh semula.  Saya terhutang budi dengan peminat-peminat yang tidak henti meminati karya muzik saya,” bicaranya dalam keadaan termengah-mengah usai dibenarkan keluar dari sebuah hospital.

Seperti penyanyi ternama lain, Michael juga mempunyai masalah ketagihan dadah.  Sejak tahun 2006, dia mula ditangkap akibat masalah penggunaan dadah jenis ganja sehingga dibicarakan di mahkamah beberapa kali.

Michael pernah menjalinkan hubungan dengan seorang pereka fesyen bernama Anselmo Feleppa sekitar tahun 1991.  Tiga bulan berkenalan, penyanyi tersebut dikejutkan dengan berita bahawa kekasihnya itu menghidap penyakit Human Immunodeficiency Virus (HIV).

“Ia berita yang amat menakutkan.  Saya ingatkan saya juga menghidap penyakit sama, tetapi tidak.  Saya buntu bagaimana untuk menghadapinya kerana keluarga saya juga tidak tahu tentang hubungan saya dan dia (Feleppa),” ujar Michael yang kehilangan kekasihnya pada tahun 1993 disebabkan penyakit terbabit.

 Pencapaian 

Menyingkap pencapaian membanggakan Michael sebagai seorang penyanyi, dia memulakan kerjaya seninya bersama kumpulan duo popular iaitu Wham! bersama Andrew Ridgeley sekitar tahun 1981.  Bersama Wham!, dia sempat menghasilkan dua buah album iaitu Fantastic dan Make It Big yang mencipta fenomena tersendiri bukan sahaja di Britain malah di Amerika Syarikat (AS). 

Melalui dua album tersebut, banyak lagu popular yang meletakkan nama Wham! sebagai kumpulan duo paling popular ketika itu seperti Young Guns, Wham Rap dan Club Tropicana.  Album kedua menyaksikan lagu Wake Me Up Before You Go-Go mencatat rekod apabila mendaki tempat pertama di London dan AS.

Peluang Michael sebagai penyanyi solo bersinar apabila lagu berjudul Careless Whisper menyergah garang di corong-corong radio.  Menjadi lagu yang merentasi zaman, ia juga dijadikan salah sebuah runut bunyi filem adi wira Deadpool yang diterbitkan tahun ini.

Album solo perdananya, Faith pada tahun 1987 terjual lebih 20 juta salinan di seluruh dunia.  Bukan itu sahaja, Michael memperoleh tujuh buah lagu yang memegang takhta nombor satu di Britain dan lapan buah lagu merajai carta Billboard Hot 100 di AS.  Album terakhirnya merupakan Symphonica yang menemui peminat pada 2014.

Tiada lagi di muka bumi, dia adalah bintang yang mempunyai pegangan hidup yang cukup utuh.  Tanggal 25 Disember yang juga merupakan hari sambutan perayaan terbesar dunia iaitu Hari Natal akan terpahat di minda peminat bahawa hilangnya sebutir permata dunia muzik yang amat berharga.

Pastinya sayu apabila mengenangkan kata-kata penuh signifikan lahir dari bibir legenda ini, antaranya: “Saya percaya bahawa muzik adalah salah satu hadiah daripada Tuhan yang diberikan kepada manusia.”  Semoga bersemadi dalam damai.