SERIBU MAWAR

Di Pintu Ampun ... Menjelang Syawal

Hapuskanlah Airmatamu
(Kenangan Istimewa)

Alunan Sukma

Seri Dewi Malam
(A Love Story)

Woman In Love

Syahdu

Anugerah

Syawal 1424

Koleksi Memori

Memori Sentimental Hit

Bukan Cinta Biasa

Emas Selamanya

Melayu Klasik

... In Down Memory Lane

Memori Hit
Seiring Sejalan

ARTIKEL DAN ULASAN ALBUM

SHARIFAH AINI LUAH KISAH HIDUP PADA LAGU

oleh Fauziah Arof (Utusan Malaysia - Khamis, 7 September 2000)

Album terbaru Sharifah Aini Seribu Mawar lebih memaparkan kisah hidup sebenar biduanita itu. Penyanyi yang berusia 43 tahun itu, menyifatkan album itu mengandungi lagu-lagu yang mempunyai kaitan dalam hidupnya - bagaimana dia dikecewakan oleh pasangannya dan berjaya mengatasi luka di hatinya setelah mendapat rahmat melaluinya.

Bercakap kepada sebuah akhbar harian Singapura, di Hotel Orchard Parade, setelah menjayakan 'Konsert Warisan Seni 2000' di republik itu minggu lalu, Sharifah berkata, walaupun luka di hati masih dirasai, dia tidak membiarkan ia menjejaskan bidang nyanyiannya. Malah, semangat ibu kepada tujuh orang anak itu (seorang anak kandung, yang lainnya anak angkat) terus bersemarak tinggi.

Seribu Mawar turut dipaparkan untuk rakaman video klip yang telah dijalankan di Bukit Fraser dan lebuh raya Damansara dan Rawang. "Pukul 2 pagi saya sudah bangun, mula bersolek jam 3 pagi dan sejam kemudian sudah bertolak ke Bukit Fraser untuk mendapatkan gambaran keadaan berkabus dan cahaya matahari terbit. Kemudian, saya terpaksa memandu kereta (Mercedes Sport dua pintu dengan plat 1000 Mawar) di lebuh raya sampai 30 kali. Kami gunakan helikopter untuk penggambaran itu. Lima minit sebelum 12 tengah malam, barulah selesai segala penggambaran. Penat betul," katanya.

Sharifah memberitahu, klip video itu turut diberi sentuhan istimewa dengan kemunculan pelakon-pelakon handalan Erma Fatima dan Rosyam Noor, sebagai pasangan kekasih romantis. Katanya, dia sendiri memilih Erma dan Rosyam kerana mereka merupakan pelakon yang bagus dan amat diminatinya. "Dalam klip itu, saya berlakon sebagai penyanyi yang membawa diri untuk mengubati hati yang kecewa ke pusat peranginan itu," katanya.

Selain lagu Seribu Mawar, album berkonsep variasi itu turut dimuatkan dengan tiga lagu Arab - Nour El Ain (Cahaya Mataku), Ishar (Jangan Lena Kekasihku) dan Nary Ya Habeba (Api Cinta). Menurutnya, idea menyelitkan lagu-lagu berunsur rentak timur tengah itu adalah permintaan daripada peminatnya di Amerika Syarikat yang menghantar sebuah cekera padat mengandungi lagu-lagu Arab.

"Saya tidak mahu berbual mengenai sesuatu yang agak mustahil, seperti membuat rakaman lagu Inggeris di negara-negara Barat, saya akan rasa seolah-olah saya memulakan kerjaya nyanyian semula. Sebaliknya, dengan masa, saya rasa dapat mencapai taraf pentas antarabangsa dengan menyanyikan lagu-lagu Arab," ujar penyanyi yang berdarah Arab itu. Sharifah berharap, album yang ke-72 dan mengandungi 10 lagu itu dapat memenuhi cita rasa pendengar yang lebih muda selain peminat-peminat setianya.

 

 

SHARIFAH DEDAH RAHSIA

oleh Faizal Harun (Pentas Dunia, 25 Ogos - 1 September 2000)

Biduanita II Negara, Sharifah Aini dikatakan merajuk berpanjangan sehinggakan tak ingin menoleh ke belakang lagi. Kali ini Ani benar-benar merajuk, tak ingin menoleh ke belakang lagi," katanya apabila ditanya apakah maksud lagu Seribu Mawar yang terkandung dalam album terbarunya. Tapi pada siapa Ani merajuk?

Kemunculan album ke 72, Biduanita Negara Sharifah Aini Seribu Mawar sememangnya ditunggu-tunggu oleh peminat seni tanahair. Keaktifan Sharifah Aini di dalam duania seni selama 31 tahun adalah sesuatu yang tidak pernah dijangkau oleh artis lain selama ini. Ianya sesuatu kejayaan yang paling gemilang dan tiada tolok bandingnya kepada seorang Biduanita Negara. Hasilnya, lahirlah sebuah lagi album terbaru darinya berjudul Seribu Mawar. Sharifah Aini ibarat sekuntum mawar di antara seribu mawar di dunia seni ini.

Album Seribu Mawar menggotakan segala-galanya. Album yang menggabungkan beberapa komposer popular seperti LY, Azmeer dan Ramli MS menampilkan keunikan yang tidak pernah terdapat dalam album Sharifah Aini sebelum ini. Gubahan tiga lagu Arab dengan elemen klasik dan pop menambahkan keistimewaan album Seribu Mawar ini. Lagu Ishar (Jangan Lena Kekasihku), Nour El Ain (Cahayamataku) dan Nary, Ya Habeba (Api Cinta) telah digubah dengan begitu indah oleh Ramli MS. Album yang mengenengahkan konsep etnik pop, kontemporari dan buat julung kalinya pop Arab benar-benar istimewa dan unik sebagai hadiah kepada peminat-peminat yang menanti kelahiran album terbaru Sharifah Aini yang lebih segar dan mantap. Kehebatan Sharifah Aini di persada seni tanahair tidak dapat disangkal lagi. Beliau adalah idola, artis yang lama bertahan dan kekal aktif. Atas dasar inilah, banyak penaja tertarik dengan personalitinya. Namun ada sesuatu yang istimewa pada dirinya dan kini Sharifah ingin berkongsi bersama ...

Kekuatan dan jati diri Sharifah Aini tidak hanya lahir dari diri dia sendiri malah untuk dikongsi bersama. Sesegar 'Evening Primerose Oil', begitu jugalah Sharifah Aini dalam melayari dunia seni tanahair. Sharifah Aini akhirnya bersetuju mendedahkan rahsia kesegaran dirinya untuk dikongsi peminat. Segala-galanya terbukti dengan Evening Primerose Oil. Atas dasar keprihatinan inilah Sharifah Aini ingin berkongsi rahsia kesihatan serta kesegaran fizikal dengan peminat-peminatnya. Justeru itu Sharifah Aini telah mendapat persetujuan daripada 'Upha Pharmaceutical' untuk memberikan secara percuma sekotak 'Evening Primerose Oil' yang berharga RM18.90 kepada semua peminat-peminat Sharifah Aini yang membeli album terbaru Seribu Mawar.

Walau bagaimanapun, peminat Sharifah Aini haruslah merebut kesempatan ini secepat mungkin kerana ianya adalah terhad. Ini adalah kesempatan yang paling istimewa kepada peminat-peminat setia Biduanita Negara kerana di samping memperoleh album Seribu Mawar ini, mereka juga berpeluang mendapat percuma sekotak Evening Primerose Oil yang berharga RM18.90 ini. Strategi pemasaran ini secara tidak langsung bertepatan dengan keistimewaan Sharifah Aini sendiri sebagai artis evergreen yang masih kekal, segar dan aktif di persada muzik tanahair. Di samping itu, sebagaimana Sharifah Aini, peminat juga dapat merasakan bahawa mereka dekat dengan artis kesayangan mereka - Sharifah Aini.

 

 

SERIBU MAWAR SHARIFAH

oleh Saniboey Mohd Ismail (Harian Metro - Isnin, 31 Julai 2000)

Jika ada wacana yang merencanakan sejarah dalam industri muzik, sudah tentu biduanita, Sharifah Aini, akan menjadi antara nama yang mendahuluinya kerana pembabitannya yang sekian lama tidak pernah bernoktah. Namanya yang mula bermain di pinggir bibir peminat muzik 31 tahun lalu sehingga hari ini masih utuh, malah dia sedikitpun tidak menunjukkan tanda-tanda mahu berundur.

Juangnya dalam muzik begitu sejati. Sharifah menongkah arus bak srikandi dengan menjadikan segala pengalaman sebagai bekalan serta terus gah berjuang dengan semangat yang tinggi. Seribu Mawar hadir sebagai pembuka tirai tahun 2000 untuk Sharifah. Album berkenaan seolah-olah menjadi jantung baru baginya untuk terus melangkah deras bersama waktu.

Album Seribu Mawar menjadi album studio Sharifah ke 72 bersama syarikat rakaman EMI Malaysia dan ia dikatakan membawa beberapa pembaharuan supaya sejajar dengan senario muzik dunia. Kata Sharifah, tiga nama besar dalam dunia muzik tanahair terbabit dalam penerbitan Seribu Mawar iaitu Ramli MS, LY serta Azmeer dan dia begitu berpuashati dengan hasilnya. "Saya difahamkan ini adalah kali pertama LY mencipta lima lagu untuk mana-mana artis manakala dia bereksperimentasi apabila julungkali juga menciptakan sebuah lagu genre Melayu Pop Etnik untuk saya iaitu Resah Bersalam katanya.

Dalam Seribu Mawar, Sharifah bukanlah mendendangkan lagu tradisional sahaja, sebaliknya pengalaman dan semangat jitu membuatkannya berani Diva ... Sharifah kembali menemui peminatnya dengan 'Seribu Mawar'berdendang lagu beberapa genre termasuk pop etnik pop, pop, kontemporari dan pop tradisional serta balada. Keunikan Seribu Mawar pula ialah apabila Sharifah buat pertama kali mendendangkan lagu Arab dengan gabungan muzik klasik moden serta gabungan penggunaan lirik bahasa Arab dan Melayu. "Lagu Ishar (Jangan Lena Kekasihku) misalnya menampilan muzik Arab Klasik manakala muzik Arab Moden boleh didengar menerusi lagu Nour El Ain (Cahaya Mataku) dan Nary Ya Habeba (Api Cinta). Ketiga-tiga lagu itu disusun semula dengan indah sekali oleh Ramli MS dan saya amat berbesar hati di atas sumbangannya itu," katanya. 

Azmeer yang menyumbangkan lagu Sampaikan Impianku untuk Sharifah berkata, dia menerapkan elemen muzik Hindi, fussion, Timur Tengah dengan elemen etnik Melayu dan Sharifah nyata memberikan nyawa kepada lagu berkenaan. "Ibarat sebuah impian yang jadi kenyataan kerana diberi peluang bekerja dengan Sharifah. Suaranya unggul yang tiada taranya," kata Azmeer ketika dihubungi. LY pula mengakui bahawa pembabitannya menciptakan lima lagu untuk Seribu Mawar adalah pengalaman berharga kerana baginya nama Sharifah begitu besar dalam dunia seni tanahair. "Saya menganggap pengalaman dengan Sharifah seperti membaca buku kerana lebih lama saya membaca, lebih banyak ilmu yang diperolehi," katanya.

SERIBU MAWAR sudah pun berada di pasaran sejak 20 Julai lalu dan di antara lain ia memuatkan lagu Seribu Mawar (LY/Baiduri), Resah Bersalam (LY/Baiduri), Sampaikan Impianku (Azmeer), Ishar (Mohamed Abdel Wahab/Rahbani Brothers), Siapakah Milikku (LY/Baiduri), Korban Percintaan (LY/Baiduri), Aku Sayang Padamu (LY/Baiduri) dan Hati Yang Terluka (A Riyanto).

 

 

 

SHARIFAH GELEK DI LEMBAH NIL

oleh Roslen Fadzil (Bi-Pop: Berita Minggu, 30 Julai 2000)

Inilah antara album yang ditunggu peminat, khususnya yang mengagumi vokal emas Sharifah Aini. Album ini istimewa kerana ia album studio sepenuhnya dengan konsep pop sejak album Selamanya diterbitkan pada 1996. Sementara menantikan kehadiran album Seribu Mawar ini, biduanita serba boleh ini sempat merakamkan lagu seperti 'Rindu Serindu Rindunya', tetapi hanya untuk album kompilasi saja.

Untuk album ini, tiga lagu Arab menjadi pilihannya iaitu Nour El Ain (Cahayamataku), Ishar (Jangan Lena Kekasihku) dan Nary Ya Habeba (Api Cinta). Kesemuanya ciptaan asal komposer Arab. Bagi saya, ketiga-tiga lagu itu terutama Nour El Ain akan mudah diterima pendengar kerana penghayatan dan vokal Sharifah begitu baik dan bersahaja. Apatah lagi kedudukan irama Arab sendiri yang menjadi World Music, pastilah nyanyian Sharifah itu mempunyai kelebihan, ditambah latar belakang dirinya yang pandai mengaji dan bersalasilah keluarga Arab!

Saya tercari-cari juga lagu Datuk Ahmad Nawab kerana sebelum ini ada ura-ura mengatakan bekas sifu Sharifah itu memberikan lagu untuk album ini, namun bayangnya tidak nampak pula. Hanya Sharifah dan EMI saja yang tahu. Sebaliknya, album ini membuka ruang kerjasama baru di antara Sharifah, LY dan Baiduri kerana lima lagu komposer serta penulis lirik itu terpilih iaitu Aku Sayang Padamu, Korban Percintaan, Siapakah Milikku, Resah Bersalam dan Seribu Mawar. Saya paling menyukai lagu Resah Bersalam yang berentak pop tradisional dan melodi sentimental, Seribu Mawar. Lagu Aku Sayang Padamu pula berentak moderate dan ceria, lebih kurang lagu LY sebelum ini, Aku Cinta Padamu. Yang jelas, lagu LY gemar sekali menyelitkan suara latar yang bersahut-shutan dan saya harap perkara ini tidak akan dibuat selalu. Bukan apa, bimbang pula ia menjadi karya klise kerana LY seharusnya lebih versatile.

Lagu lain Sampaikan Impianku (Azmeer) dan Hati Yang Terluka mempamerkan kehebatan Sharifah selepas ia berjaya didendangkan dengan mantap oleh teman seperjuangannya, Broery Marantika. Susunan muzik dalam album ini turut dibantu Ramli MS dan jelas permainan akordiannya menerbitkan bunyi-bunyian mengasyikkan dalam mengiringi kelunakan sebuah suara yang bagi saya ... terus segar sepanjang zaman.

 

 

 

DEMAM LAGU ARAB KERANA ALBUM BARU SHARIFAH AINI

oleh Huzz (Pancaindera: Mingguan Malaysia, 30 Julai 2000)

Aduh ... aduh ... duh ... dah dengar ke album terbaru biduanita Sharifah Aini! Album tu dah dijual di pasaran pada minggu sudah. Penyanyi bersuara lemak merdu ini dah pun muncul dengan album terbaru. Bukan album kompilasi lagu lama ... semuanya dah dirakamkan baru. Segar lagunya, melodinya dan muziknya. Tahniah kepada Ramli M.S, LY dan Azmeer selaku penerbit yang bekerja untuk album ini. Jangan tak tahu inilah album ke-72 Sharifah Aini. Huzz sudah pun dengarkan album berjudul Seribu Mawar ini. Tak dinafikan kebanyakan lagu dalam album ini lemak merdu you! Hmm tercari jugak mana pi lagu Kurma Di Padang Pasir ciptaan M. Nasir? Rupanya EMI Malaysia simpan untuk album akan datang sebab M. Nasir terlambat hantar ya?

Kalau rakan-rakan wartawan hiburan seperti Saharudin Musthafa, Saniboey dan Siti Fatimah Mawar ialah antara orang yang memperkatakan kesedapan lagu Seribu Mawar dan Resah Bersalam (ciptaan Ly), Huzz pula tengah sukakan lagu Arab yang terdapat dalam album Sharifah Aini ini. Huzz rasa insya-Allah peminat-peminat setia Kak Aini akan sukakan lagu yang Huzz ramal akan menjadi hits dan disukai ramai. Bukannya lagu-lagu pop kali ini tak best, memang best tapi persembahan Sharifah Aini dalam lagu Arab begitu menyentuh kalbu. Ada tiga lagu arab dalam album ini, dua daripadanya berirama rancak atau moden di mana seni kata dalam dwibahasa - Melayu dan Arab. Tapi Huzz cukup sukakan lagu berjudul Ishar yang melodinya memang indah - ada irama padang pasir dan kacukan Sepanyol dan Rusia. Pencipta lagu ini orang Arab jugak namanya iaitu Mohamed Abdel Wahab dan senikata oleh Rahbani Brothers (nama nak sama dengan kumpulan nasyid kita).

Uhh putar sepuluh kali pun Huzz masih tak jemu. Lagunya mengisahkan cinta dua insan, kekasihnya menyebut "Ishar... Ishar... Ishar" maksudnya "jangan tidur, jangan lena!" Lagu itu memang mendodoi perasaan. Pandai Kak Pah Aini membawa lagu itu dengan lenggang-lenggok sebutan Arab. Sebutannya bunyi basah-basah manja. Namapun yang menyanyi tu ialah Sharifah Aini, bakat dianugerah Allah padanya digilap-gilap menjadikan dia masih bertahan sebagai penyanyi selepas 31 tahun menyanyi.

Jangan lupa dia pernah digelar Ummi Kalthum Malaysia waktu buat persembahan di Mesir tak lama dulu. Orang Arab pun akui Kak Pah Aini penyanyi yang bersuara lemak merdu macam penyanyi terkenal mereka dulu Fairuz dan Ummi Kalthum. "Bukan senang nak menyanyikan lagu Arab you!" demikian pengakuan Sharifah Aini semasa Huzz bertandang ke rumahnya petang Ahad lalu. Masa tu dia baru balik menziarahi orang meninggal dunia iaitu isteri peminat setianya - Rizal. Takziah Huzz buat Rizal. Tidak Huzz nafikan sibuk macam manapun Sharifah Aini, dia akan menziarahi sesiapa yang dikenalinya terutama waktu sakit dan meninggal dunia.

Kata Kak Aini yang berpendidikan sekolah Arab: "Kalau Huzz nak tahu Kak Aini memang minat lagu itu masa kecil lagi. Masa tu kalau ke sekolah Kak Aini akan melalui rumah orang yang suka memutarkan lagu Ishar ni. Siapa sangka, 31 tahun kemudian Kak Aini dah mendendangkan lagu ini dalam album terbaru. Macam mimpi dapat menyanyikan lagu Arab dalam album. Dulu Kak Aini tahu Huzz memang pernah menulis meminta saya menyanyikan lagu Arab (tahun 1985) tapi ada pihak rakaman tak beri saya peluang. Nah sekarang saya berpeluang menyanyikannya. Tengoklah kalau sambutannya bagus, insya-Allah Kak Aini akan merakamkan sebuah album dengan kesemuanya lagu Arab."

Petang itu juga ketika dia masih sedih kerana baru pulang dari pusara, dia menerima panggilan telefon kawan-kawan yang dah membeli albumnya dan kebanyakan sukakan lagu 'Ishar'. Lagu yang bertaraf antarabangsa itu akan dimuatkan dalam koleksi lagu bulan ini di dalam pesawat Penerbangan Malaysia keluar negara! Huzz juga haraplah radio-radio tempatan terutama abang dan akak-akak DJ kita jangan lupa memutarkan lagu Arab ni. Terutama Radio Era ... kalau lagu Hindustan ... bagai nak rak diputarkan ... lagu Arab janganlah dibuang ke tepi apalagi penyanyinya ialah orang kita anak Malaysia yang serba boleh dalam menyanyi!

Sharifah Aini juga akan muncul dalam satu konsert yang diterbitkan oleh RTM pada 10 Ogos depan. Kalau peminat-peminat mahukan tiket percuma yang akan dikeluarkan oleh RTM mereka boleh dapatkan daripada pihak RTM. Khabarnya pihak RTM juga akan mengagih-agihkan tiket percuma itu kepada pihak Quality Hotel (nama baru Hotel Holiday Inn Shah Alam) kerana konsert itu akan diadakan di Auditorium MPSA (depan hotel itu) kerana Auditorium RTM masih dalam usaha baik pulih selepas terbakar beberapa minggu lalu.

"Kak Aini akan mendendangkan lagu-lagu daripada album terbaru Kak Aini selain lagu-lagu lama dalam album Kak Aini dulu-dulu," katanya. Sharifah Aini juga akan muncul di Genting Highlands pada 6 Ogos depan dengan program Radio Era (pada sebelah tengah hari) dan akan muncul di majlis Nona Roguy Malaysia di Hotel Pan Pacific sebelah petang (pukul 4 petang). Hmm... Huzz dengar biduanita ini akan menerima anugerah daripada sebuah syarikat jamu terkenal di Malaysia ini. Iya ke? Bukan anugerah jual jamu. Tunggulah anugerah apakah itu. Wartawan dijemput hadir ke majlis ini! Seperkara lagi yang beruntungnya ialah bank terkenal - Arab Malaysian pulak sudi nak menaja promosi album Kak Pah. Sesuailah tu untuk wanita berdarah kacukan Melayu-Arab ni kan? OKlah Kak Pah... yang pasti kalau pi mana-mana show jangan lupa bawak lagu Ishar tu!

 

 

 

NYANYIAN JIWA SHARIFAH AINI

oleh Saniboey Mohd Ismail (Harian Metro - Jumaat, 7 April 2000)

Penuh perasaan ... Sharifah mendendangkan tiga lagu ciptaan LY untuk album soloIbarat dihayun di atas buai sambil dilagukan dodoi indah. Mata dipejam, dan halwa teliga terasa sejuk memujuk mata untuk beradu lalu diulit mimpi yang paling indah. Gambaran itulah paling sesuai untuk melambangkan perasaan jiawa apabila mendengar lagu dendangan Sharifah Aini, Resah Bersalam, ciptaan LY dengan lirik karya Baiduri. Gemersik suara Sharifah semacam panah menikam kalbu dan ketika berkunjung di 'Nada Studio', Kelana Jaya, Selangor, jam 10 malam, Selasa lalu, Harian Metro menjadi saksi kepada penciptaan sebuah sejarah.

Sharifah mencipta sejarahnya sendiri. Sudah 31 tahun dia berbakti dalam muzk dan sengatnya masih berbisa namun biduanita itu tetap merendah diri, sekaligus melambangkan keperibadiannya yang luhur. "Bagi saya Sharifah seorang artis yang amat berdisplin. Idea-ideanya ketika menjalani rakaman juga bernas dan memudahkan tugas saya sebagai penerbit," kata LY memulakan bicara.

Resah Bersalam juga diterbitkan oleh LY dan ketika Nada Studio dikunjungi, proses rakaman berkenaan berada ditahap paling kritikal iaitu memasukkan vokal Sharifah. Rakaman vokal dimulakan jam 10.45 malam dan Sharifah kelihatan segar, seolah-olah bersedia ke medan juang kerana proses rakaman itu bukan perkara enteng, sebaliknya memerlukan konsentrasi yang jitu.

Mula serasi ... LY dan Sharifah memberikan pose istimewa ketika di Nada Studio, Kelana JayaKetika jarum jam berputar deras kepada jam 11.30 malam, bait pertama lagu berkenaan masih belum selesai. Baik LY atau Sharifah sendiri, masing-masing mahukan kesempurnaan. Resah Bersalam dengan lirik begitu puitis lalu berulangkali didengar sehingga mereka yang baru berkunjung pun boleh menghafalnya dan terpengaruh dengan melodi tradisional itu.

LY nyata bergerak ke satu dimensi baru dengan Resah Bersalam kerana irama tradisionalnya hebat terutama kerana mempunyai melodi yang bagus, sekaligus menaikkan semangat pendengar. Mungkin lebih manis bagi LY apabila lagunya itu diserahkan kepada diva tanahair seperti Sharifah Aini yang dikenali dengan karisma serta profesionalismenya. Kata Sharifah lagi, album solo terbarunya itu dijangka berada di pasaran Mei ini dan selain Resah Bersalam, LY turut menyumbangkan dua lagu lagi iaitu, Seribu Malam Seribu Mawar dan Siapa Milikku

"Bekas penyanyi Rausyanfikir, Art Fazil, menciptakan lagu Ikatan Rindu untuk saya manakala M Nasir pula menyumbangkan tiga lagu untuk album ini. Namun ia masih belum bertajuk lagi. Seterusnya, saya akan mendendangkan sebuah lagu ciptaan Eddie Hamid dan Datuk Ahmad Nawab. Saya juga akan mendendangkan sebuah lagu Arab dalam bahasa Melayu dan bahasa Arab yang muziknya disusun oleh Ramli MS." katanya.

Sharifah nyata kelihatan begitu seronok bercerita mengenai produksi album terbarunya itu. Ulangtahun ke 31nya dalam bidang nyanyian itu tidak akan disia-siakannya begitu sahaja, sebaliknya bersedia untuk memahat sejarah buat diri sendiri. "Masa memang berlalu dengan pantas dan saya sudah 31 tahun berada di arena ini, satu masa yang begitu lama rasanya," kata Sharifah.

Penulis bersama jurugambar meninggalkan Nada Studio kira-kira jam 1.37 pagi. Sedang kami mengatur langkah menuju ke kereta, sayup-sayup kedengaran lagi suara Sharifah berdendang. Indah sekali sampaikan sehingga hari ini ia masih terngiang-ngiang.