![]() |
|
Penggiat seni industri hiburan masa kini begitu beruntung kerana banyak sekali pihak tertentu menganjurkan majlis-majlis penganugerahan. Jika keadaan ini berlaku di era tahun 70an saya amat yakin Sharifah Aini merupakan penyanyi yang paling banyak menghimpun koleksi pelbagai anugerah. Populariti yang dikecapi cukup membanggakan kerana sehingga kini (hampir 40 tahun bergiat dalam bidang senisuara) beliau masih lagi diberi pelbagai anugerah dan penghargaan. Di awal pembabitannya, sebagai artis pringhitam (ketika itu, EMI Singapura) dan artis pendatang baru Sharifah menerima sambutan yang sederhana sahaja tetapi terus meningkat dari masa ke semasa sehingga zaman kemuncaknya sekitar tahun 1975-1979. Rakan-rakan seperjuangannya (sekadar menyebut nama, Rafeah Buang, Sanisah Huri, Kartina Dahari, Sarena Hashim, Uji Rashid) satu demi satu meninggalkan dunia seni, pendatang-pendatang baru (sekadar menyebut nama yang agak menonjol ketika itu - Rose Iskandar, Rosemaria, Gaya Zakry) yang dikatakan bakal mengambil tempatnya silih berganti datang dan pergi, namun Sharifah Aini terus bertahan sehingga kini. Sekitar tahun 70an dan 80an, cetak rompak merupakan gejala yang tidak langsung diberi perhatian seperti hari ini. Namun keunggulan, kehebatan dan populariti beliau tetap menjadikan beliau satu-satunya penyanyi yang paling banyak menerima anugerah 'Gold Disc' (penjualan album melebihi 25,000) manakala 'Silver Disc' (penjualan melebihi 15,000) merupakan sasaran biasa bagi album-albumnya. Pencapaian sebegini begitu sukar diraih oleh penyanyi-penyanyi lain terutama penyanyi solo di era tersebut. Cuba anda bayangkan jika majlis anugerah-anugerah hari ini menjadi agenda tahunan ketika itu, siapakah penyanyi yang akan menguasainya? Tanpa pendidikan formal bahasa Inggeris beliau juga berjaya melahirkan album Inggeris pertamanya 'Forever and Ever'. Populariti dan kehebatan beliau telah membuatkan album tersebut begitu laris dan menjadi kepercayaan syarikat EMI untuk terus memberi laluan kepadanya untuk melahirkan album Inggeris seterusnya. 'Woman in Love' merupakan album Inggeris yang mencapai penjualan terbaik. Album Inggeris beliau begitu berjaya di pasaran malah mengatasi penjualan album-album Inggeris penyanyi-penyanyi tempatan yang berpeluang merakamkan album Inggeris ketika itu seperti Anita Sarawak, D J Dave, Khadijah Ibrahim dan juga Sudirman. Kejayaan ini mungkin disebabkan keunikan suara beliau yang 'bernyanyi untuk menjadi dirinya sendiri' dan bukan terpengaruh atau meniru vokal penyanyi Barat. Bagaimanapun sekitar penghujung 80an dan awal 90an kegiatan seninya bergerak perlahan kerana menghadapi pelbagai masalah termasuk kes samannya ke atas sebuah akhbar dan kes perisytiharan muflis ke atas dirinya. Ketika ini juga trend muzik mula bervariasi - Irama rock menjadi kegilaan, jazz mula mendapat tempat dan melandanya demam dangdut. Ketika ini nama-nama penyanyi-penyanyi solo seperti Francesca Peters, Ramlah Ram, Siti Fairuz, Sheila Majid dan Amelina mula menguasai industri muzik era baru. Bagaimanapun namanya kembali bersinar apabila konsertnya bersama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (1995, tiga malam berturut-turut) mendapat sambutan luar biasa dan album khas sempena konsert tersebut juga diterbit dan dipasarkan pada penghujung tahun itu juga. Tanpa diduga album tersebut mendapat sambutan hebat malah telah terjual melebihi 100,000 units (anugerah platinum) kerana salah satu lagu yang digubah semula oleh S Atan (nyanyian asal kumpulan Ukay's) iaitu 'Seksa' diterima pendengar kerana lontaran hebat vokal Sharifah Aini menjadikan lagu tersebut menjadi bertambah indah. Di bidang lakonan pula beliau hanya berlakon menerusi tiga buah filem, 'Hapuslah Airmatamu', 'Sumber Ilhamku' dan 'Bintang Pujaan'. Secara jujur saya lebih meminati beliau sebagai penyanyi dan mungkin tawaran filem yang diterima hanya sebagai percubaan meneroka dunia seni lakonan atau kehendak semasa memandangkan namanya yang begitu besar ketika itu. Tiada anugerah besar yang diterimanya menerusi filem-filem tersebut walaupun Festival Filem Malaysia telahpun wujud ketika itu. Bagaimanapun agak memeranjatkan apabila beliau telah dianuegarah sebagai Pelakon Harapan Terbaik menerusi filem sulungnya 'Hapuslah Airmatamu' di Festival Filem Asia di Korea Selatan. |
Untuk membaca artikel-artikel berkenaan lain-lain Anugerah dan Penghargaan untuk Sharifah Aini sila klik tajuk berikut
|
|||||||||||||||||||||||||
|
|