Klik IMEJ untuk info Diskografi EP Sharifah Aini (1970-1977)

 

Di awal 70an, sudah menjadi kebiasaan syarikat piringhitam menerbitkan EP (Extended Player, mengandungi 4 buah lagu) untuk penyanyi-penyanyi rakaman termasuklah Sharifah Aini.  Sebagaimana kita ketahui, Sharifah Aini mencipta nama hasil pertandingan nyanyian anjuran RTS (Radio Televisyen Singapura, 1969).  Walaupun hanya menduduki tempat ketiga tetapi kerana bakat semulajadi dan keunikan suaranya beliau telah dilamar oleh EMI Singapura pada tahun berikutnya.  Hasilnya lahirlah EP SERI DEWI MALAM terbitan Kassim Masdor.  Meraih populariti secara perlahan tetapi bakatnya cukup menyakinkan dan tidak hairanlah apabila syarikat EMI Singapura bersedia melahirkan 3 EP Sharifah Aini dalam setahun sehebat dengan penyanyi-penyanyi ternama naungan EMI ketika itu Rafeah Buang dan Sanisah Huri.  Kehebatan Sharifah Aini mungkin juga disebabkan keversatilannya yang cukup terserlah.  Sharifah Aini bukan saja boleh menyanyikan lagu langgam atau pop tetapi di usia seawal 16 tahun itu beliau juga mampu menyampaikan lagu-lagu Melayu asli pelbagai rentak dengan begitu baik.  Dengarkanlah lagu-lagu seperti Sejak Berpisah, Kenang Daku Dalam Doamu, Halimun Malam, Patah Hati, Kasihnya Ibu ternyata Sharifah bukan saja bernyanyi tetapi turut menjiwai lagu-lagu tersebut.  Versi lagu tersebut juga ramai dinyanyikan oleh penyanyi lain tetapi ternyata versi Sharifah Aini tetap unggul dan menjadi malar segar sehingga kini.

Klik IMEJ untuk info Diskografi LP Sharifah Aini (1972-1979)

 

Sepanjang era 70an Sharifah Aini merupakan artis yang begitu produktif melahirkan album-album baru sehingga digelar 'Anak Emas EMI'.  Beliau merupakan artis yang mempunyai rekod penjualan album yang baik kerana album boleh terjual melebihi 15,000 unit (ketika itu dianugerahkan 'Silver Disc') atau 25,000 units (Gold Disc'), sesuatu yang sukar dicapai oleh artis rakaman ketika itu kerana masalah cetak rompak yang tidak pernah dibendung atau penguatkuasaan undang-undang seperti hari ini.  Pertengahan 70an merupakan kemuncak kariernya sebagai penyanyi atau menjadi fenomena apabila album triloginya 'Inilah Laguku' mendapat sambutan terutamanya album INILAH LAGUKU dan INILAH LAGUKU II' yang melahirkan lagu-lagu hebat dan evergreen seperti Tiada Maaf Bagimu, Hatiku Dicuri Lagi, Kau Tinggi Di Awan Biru mahupun lagu klasik lama Bunga Tanjung dan Burung Pungguk yang sebenarnya begitu sukar untuk dinyanyian tetapi dapat disampaikan dengan begitu menarik dengan sulaman merdu suara Sharifah Aini.  Bunga Tanjung kini menjadi lagu trademark Sharifah Aini ketika membuat persembahan pentas atau majlis korporat.  Begitu juga percubaan pertama EMI memberi peluang Sharifah Aini merakamkan album Inggeris FOREVER AND EVER dapat diterima oleh penggemar industri muzik ketika itu sehinggalah Sharifah Aini mampu melahirkan enam album Inggeris studio yang kesemuanya mendapat sambutan baik terutamanya album WOMAN IN LOVE (1978). Populariti beliau juga menjadikan beliau artis pop pertama yang berpeluang melahirkan album asli penuh LELA MANJA (1979) bergabung dengan Hamzah Dolmat.

Klik IMEJ untuk info Diskografi Sharifah Aini (1980-1989)

 

 

Tahun-tahun 80an menyaksikan kesinambungan perjuangan Sharifah Aini.  Ketika ini album-album masih diedarkan dalam bentuk LP dan kaset.  Ramai yang beranggapan kemungkinan populariti Sharifah Aini akan berakhir setelah berkahwin dengan Ali Bakar (Julai 1981).  Ternyata anggapan tersebut silap,  malah beliau terus gah dengan kedudukanya apabila membuat kejutan menerusi album CAHAYAKU (1983) yang menampilkan konsep 'new wave' (sesuatu yang baru ketika itu) dan antara lagu popular dalam album ini ialah Keresahan dan Cahayaku Cahayamu.  Malah lagu Keresahan berjaya menduduki carta hits lagu-lagu popular di Singapura untuk 8 minggu berturut-turut.  Album ini juga dianugerahkan 'Gold Disc' kerana penjualan melebihi 25,000 units.  Namanya yang 'established' menyebabkan syarikat EMI tidak ragu-ragu untuk mengundang penggubah dan penerbit terkemuka Indonesia, A Riyanto (mendiang) untuk menerbitkan dua lagu baru untuk album KAU YANG BERNAMA (1986) iaitu lagu Kau Racun Hidupku dan Hatiku Melekat Di Hatimu dan sebuah lagu cover version Yang Sangat Ku Sayang.  Hasilnya lagu Kau Racun Hidupku begitu digemari dan kini menjadi sebuah lagi lagu koleksi malar segar Sharifah Aini.  Di penghujung 80an, Sharifah Aini buat pertama kalinya menggunakan khidmat M Nasir sebagai penerbit untuk album KASIH (1987).  Secara keseluruhannya, album KASIH merupakan album terbaik beliau tetapi mendapat sambutan sederhana sahaja (mungkin disebabkan demam lagu-lagu rock yang telah melanda industri hiburan tanahair ketika itu).  Lagu-lagu yang menonjol dalam album ini ialah Sabarlah Sayang (menampilkan M Nasir) dan Mengharap Cintamu.  Bagaimanapun setelah melahirkan album yang menggunakan namanya sahaja (1988), terbitan dua penerbit hebat ketika itu Manan Ngah & A Ali, kegiatan seninya agak terbatas.  Agak 'malang' juga apabila sebuah lagu yang menarik dalam album ini Yang Tak Kesampaian (karya A Ali & Habsah Hassan) tidak melepasi 'piawaian' pihak RTM tetapi di Singapura ia menjadi sebuah lagu yang popular.

Klik IMEJ untuk info Diskografi Sharifah Aini (1990-1999)

 

 

 

Era 90an memperlihatkan Sharifah Aini terus bertahan walaupun ketika ini disaingi ramai artis wanita berbakat mahupun artis 'trendsetter'.  Di awal era 90an, Sharifah hanya muncul melalui beberapa album kompilasi (KENANGAN MANIS vol 1, buat pertama kalinya diterbitkan dalam bentuk CD oleh syarikat EMI) dan hanya muncul dengan album studio penuh (1994) yang mengandungi lagu hits Rindu Menghiasi Kamar Cinta. Bagaimanapun album ini mendapat sambutan sederhana saja sehinggalah apabila album 'live'nya SERAUT WAJAH SEMERDU SUARA (1995) yang dirakamkan sempena kejayaan konsert tiga malam berturut-turut bersama Orkestra Dewan Bandaraya Kuala Lumpur mendapat sambutan hebat.  Album ini sebagai isyarat Sharifah Aini masih mempunyai aura tersendiri dan buktinya album ini laris dan mendapat anugerah platinum kerana diedarkan melebihi 100,000 unit dengan menampilkan lagu hit Seksa (rakaman studio) dendangan asal kumpulan Ukay's.  Beliau juga telah melahirkan album solo hari raya pertamanya PILIHAN KLASIK AIDILFITRI (1996) yang mendapat sambutan hebat dengan menampilkan lagu Nostalgia Aidiliftri (lagu ciptaan pertama Pak Ngah yang dirakamkan) yang kini menjadi sajian 'wajib' setiap kali musim hari raya Aidilfitri.  Di penghujung 90an pula Sharifah Aini diraikan oleh EMI dengan pelbagai projek album sempena 'Ulangtahun ke 30 Sharifah Aini bersama EMI'.  Tetapi hanya 3 album dapat direalisasikan menerusi projek khas ini iaitu album kompilasi TAKKAN MELAYU HILANG DI DUNIA (himpunan lagu-lagu klasik dan pop etnik), SERI DEWI (himpunan lagu-lagu pop) dan DARI JAUH KUPOHON MAAF (lagu-lagu raya).  Agak terkilan juga apabila projek khas album duet untuk menyatukan Sharifah Aini dengan penyanyi terkini ketika itu dan album menampilkan lagu era 60an hingga 90an dalam satu album tidak terlaksana.

Klik IMEJ untuk info Diskografi Sharifah Aini (2000-2009)

 

Awal Millennium (2000-2006) Sharifah Aini hanya melahirkan 2 album studio penuh dan yang lain-lainnya hanyalah album kompilasi.  Bagaimanapun menerusi album BUKAN CINTA BIASA (2005), walaupun ia merupakan album kompilasi dan hanya memuatkan dua lagu baru tetapi sesuatu yang istimewa telah disajikan oleh Sharifah Aini apabila buat pertama kali beliau telah melontarkan suara merdunya menerusi beberapa petikan surah al-Quran.  Sebelum ini kelahiran album SERIBU MAWAR (2000) memperlihatkan Sharifah Aini masih 'berbisa' dan berjaya membina kelompok peminat genarasi baru apabila lagu Seribu Mawar mendapat tempat dan beliau diraikan begitu hebat oleh syarikat rakamannya dengan mengundang peminat dan wartawan belayar dengan kapal persiaran mewah SuperStar Virgo ke Singapura. Melalui album ini juga buat pertama kalinya Sharifah Aini mendendangkan lagu Arab sepenuhnya Ishar, manakala lagu dwibahasa Nour El Ain menjadi popular kerana iramanya yang 'catchy' dan secara tidak langsung turut memperkenalkan nama Amr Diab, penyanyi asal lagu ini dikenali di Malaysia.

Klik IMEJ untuk info Diskografi Sharifah Aini (2010-2019)

Selepas sedekad Millennium, nampaknya album projek khas Biduanita ini yang telah dirancangkan sejak tahun 2008  Warisan Melayu dan Irama Terindah Malaysia masih belum dapat direalisasikan.  Bagaiamanpun peminat setia Biduanita ini tetap bersabar dan amat berbesar hati apabila EMI / Warner Music terus menerbitkan / mengeluarkan album kompilasi beliau termasuk yang dikira terbaik BIDUANITA NEGARA (5 CD) yang diedarkan dalam dua edisi.  Pada penghujung tahun 2011, beliau dikatakan akan mula masuk studio untuk rakaman album mini dengan sebuah syarikat rakaman gergasi tempatan!!!  Kita nantikanlah perkembangan selanjutnya.

 

 

Klik IMEJ untuk info Diskografi Pelbagai Album (Projek Khas)

Sharifah Aini juga terlibat bersama-sama artis lain menerusi pelbagai projek khas syarikat rakamannya antaranya melahirkan album runut bunyi (OST) - kebanyakannya untuk filem lakonannya sendiri), album penghargaan ke atas allahyarham Tan Sri P Ramlee, album Hari Raya dan album Melayu Deli.  Untuk album runut bunyi, ternyata album petikan filem HAPUSLAH AIRMATAMU merupakan album yang paling berjaya.  Ternyata kolaborasi Ahmad Nawab, Sharifah Aini dan Broery Marantika menjadikan album ini album sepanjang zaman kerana ia terus dicetak dan diedarkan dengan pelbagai siri 'edaran semula'.  Hampir kesemua lagu dalam album ini menjadi lagu popular dan malar segar.  Siapa boleh melupakan lagu Seiring Jalan, Sabar Menanti, Hapuslah Airmatamu ataupun Perasaan Hati.  Begitu juga album Melayu Deli I & II turut mendapat perhatian.  Gabungan Sharifah Aini bersama allahyarham Sudirman, Herman Tino dan Zaleha Hamid menjadikan album ini agak unik dibandingkan dengan himpunan lagu-lagu Deli yang lain. 

Klik IMEJ untuk info Diskografi Album Edaran Semula Sharifah Aini

Memandangkan Biduanita ini mula menjadi artis rakaman sejak awal 70an, pelbagai zaman teknologi rakaman telah beliau lalui dari format piringhitam (EP & LP), katrij, kaset dan kini boleh didengar dalam bentuk yang lebih berkualiti menerusi CD.  Di awal era perkenalan CD (penghujung 80an), antara album edaran semula beliau yang telah diterbitkan ialah LELA MANJA dan ALBUM MELAYU DELI vol 1 & 2.  Kemudian banyak lagi album edaran semula Sharifah Aini diterbitkan melalui siri MAT JIMAT dan MURAH HATI.  Begitu juga sempena ulangtahun ke 25, album OST Hapuslah Airmatamu dan ulangtahun ke 10 album Nostalgia Aidilfitri telah diedarkan semula dengan pakej yang lebih menarik  Terbaharu apabila EMI dan Warner bergabung dalam urusan pengedaran, beberapa album studio Sharifah Aini awal 80an yang tidak pernah diterbitkan dalam bentuk CD mula menjengah dipasaran.  Sesuatu yang amat dinanti-nantikan oleh peminat beliau.  Terima kasih EMI dan Warner !!!