ARTIKEL DAN ULASAN ALBUM

YAYADAN (1998)

SHARIFAH AINI GIAT PROMOSI

(Utusan Malaysia - Isnin, 12 Oktober 1998)

Buat pertama kalinya sejak penglibatan lebih 30 tahun dalam bidang seni, Sharifah Aini menerima pelawaan untuk mengadakan persembahan di pusat membeli-belah untuk mempromosikan albumnya.  Perkara ini mungkin biasa bagi penyanyi remaja angkatan baru tetapi bagi penyanyi veteran ini program tersebut adalah sesuatu yang baru meskipun penglibatannya dalam bidang seni sudah melebihi dekad.

"Ini adalah strategi yang telah diaturkan oleh syarikat.  Saya akan buat apa sahaja sekiranya dapat membantu untuk mempromosikan album YAYADAN yang saya anggap cukup istimewa ini," jelas Sharifah Aini.  Menurutnya, YAYADAN menjadi album istimewa bagi dirinya dan peminat kerana melalui album ini hasratnya untuk menghasilkan album pop berkonsep ketuhanan tercapai.  Atas alasan itu, dia sanggup untuk terlibat dengan segala aktiviti yang telah dan akan dibuat oleh syarikat rakaman EMI demi kejayaan album ini.

Sharifah Aini telah memulakan promosinya dipusat membeli-belah di Seremban Centre Point dalam program 'Satu Jam Bersama Peminat' pada 10 Oktober lalu.  Pada petang itu untuk tempoh satu jam, album YAYADAN dijual dengan harga istimewa.  Mereka yang memiliki album juga berpeluang mendapatkan poster eksklusif yang bertandatangan penyanyi ini.

Semalam Sharifah Aini berada di Kompleks Angsana, Johor Bharu.  Sebelum ini Sharifah Aini bersama-sama kumpulan Rabbani dan Harakat Madani telah mengadakan promosi mereka bertempat di Universiti Kebangsaan Malaysia dan Institut Teknologi Mara.  Selain bertujuan untuk menghiburkan pelajar dengan lagu-lagu dakwah daripada album mereka, sesi dialog dengan penyanyi ini juga turut diadakan.

 

 

 

ALBUM 'YAYADAN' MEMIKAT PENDENGAR SHARIFAH AINI

oleh Shima Shaudin (Mingguan Wanita, Ogos 1998)

Dialah artis versatile yang masih kukuh di persada seni tanahair hari ini.  Meski hari terus berlalu, nama Sharifah Aini tidak luntur mahupun pudar ditelan peredaran zaman.  Suara lunaknya masih digilai peminat.  Kak Pah yang kini muncul dengan album baru khabarnya semakin hangat mendapat tempat di hati peminat dengan lagu-lagu baru menerusi album YAYADAN.  Album yang diterbitkan oleh empat penerbit iaitu S Atan, Eddie Marzuki, Pak Ngah dan Ramli MS ini menampilkan kelainan daripada Sharifah Aini baik daripada susunan muzik mahupun pemilihan lagu.

"Album ini merupakan sebuah album yang berkonsepkan Ethnik Ketuhanan dan Kemanusiaan.  Buat pertama kali saya merakamkan sebuah album yang mana sepenuhnya menampilkan lagu-lagu dan liriknya adalah berlandas dan bercirikan ketuhanan dan kemanusiaan."  Selama 30 tahun bergelumang dengan bidang seni, Sharifah Aini adalah artis versatile yang tidak pernah mengecewakan peminatnya daripada segi vokal.  Kebolehannya menyampaikan kesemua bentuk lagu dan irama yang diberikan baik daripada segi lagu asli, keroncong, pop dan nasyid.  Nama Sharifah Aini mampu mekar sebaris dengan artis baru yang hadir bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan.

"Mengapa Sharifah Aini memilih konsep ketuhanan pula kali ini?  Apakah yang tersembunyi disebaliknya?"

"Dalam hidup ini kita perlukan lebih banyak perubahan untuk terus hidup segar.  Kalau di situ juga kita berada dan dalam keadaan yang sama tanpa sebarang perubahan kita akan terasa hidup ini lebih hambar daripada biasa.  Saya hanya menukar selera sesuai dengan kehendak peminat hari ini.  Apa yang saya lihat kebelakangan ini negara kita dibanjiri lagu-lagu dakwah dan saya sendiri rasa gembira kerana diberi peluang oleh EMI untuk turut menyumbang lagu dakwah berupa sebuah album untuk halwa dengar peminat seni."

Kemunculan artis baru tidak sedikit pun mengentarkan Sharifah Aini malah dengan berani dia sanggup bersaing dengan artis-artis baru yang tidak perlu dipertikaikan bakat mereka.  "Saya tidak mahu bersaing dengan sesiapa pun sebaliknya saya lebih senang kalau dikatakan kehadiran saya ini adalah untuk turut memeriahkan dunia seni suara tanahair.  Sebagai artis yang telah lama, saya gembira kerana masih ada peminat.  Dunia seni adalah dunia saya.  Macam mana terluka saya dengan dunia seni, saya masih di sini" akuinya.

 

 

 

SHARIFAH AINI NYANYI LAGU NASYID

(YES!, Ogos 1998)

"Apa yang ada
jarang disyukuri
Apa yang tiada
sering dirisaukan
Nikmat yang dikecap
baru kan terasa
bila hilang
Apa yang diburu
timbul rasa jemu
bila sudah
di dalam genggaman"

Demikian bait-bait ungkapan menusuk jiwa dan lirik lagu Antara Dua Cinta dendangan Sharifah Aini dalam album terbarunya, YAYADAN - Doa Dalam Lagu.  Berbeza daripada album-albumnya sebelum ini, album YAYADAN menampilkan lagu-lagu yang liriknya berlandaskan ciri-ciri ketuhanan dan keinsanan.

"Selain mendapat banyak permintaan daripada kawan-kawan saya juga terpanggil untuk menunaikan tanggungjawab sebagai seorang penghibur menyampaikan lagu-lagu yang mempunyai mesej ketuhanan dan sesuai dengan keadaannya seperti sekarang," jelas Sharifah Aini di majlis pradengar album YAYADAN baru-baru ini.  "Sebenarnya sebelum ini ramai yang meminta saya menyanyikan lagu-lagu Arab, namun setelah memikirkan tidak semua orang boleh memahami bahasa Arab, jadi saya lebih suka menyampaikan lagu yang orang senang faham dan boleh dihayati dengan mudah," tambah Sharifah Aini.

Album YAYADAN - Doa Dalam Lagu ini diterbitkan oleh empat orang penerbit iaitu S Atan, Eddie Marzuki, Pak Ngah dan Ramli MS.  Lagu-lagu yang terkandung di dalam album ini ialah Yayadan, Permaidani, Fitrah Insani, Kepulangan Dalam Iman, Antara Dua Cinta, Syukur, Sketsa Kehidupan, Tiada Yang Kekal, Sebuah Renungan dan Selimut Putih/Keagungan Tuhan.  Lagu Antara Dua Cinta dan Sketsa Kehidupan merupakan dua buah lagu yang diambil dari album kumpulan nasyid The Zikr.

Rakaman album ini telah dimulakan sejak bulan Disember tahun lalu dan mengambil masa empat bulan untuk disiapkan sepenuhnya.  Seperti yang diketahui umum, Sharifah Aini memanglah seorang yang sangat teliti mengenai mutu nyanyian dan suara di dalam setiap lagu yang dipersembahkannya, kerana itu sepanjang rakaman ini dijalankan dia akan terus mendengarnya berulangkali sehingga berasa cukup puas dengan apa yang telah dihasilkan.

"Kesungguhan dan usaha yang gigih itu sangat penting untuk dilaksanakan sebaik mungkin dalam apa juga bidang termasuklah bidang nyanyian.  Dengan itu tentunya setiap orang yang terlibat akan berasa puas apabila segala penat lelah yang tercurah 'dibayar' dengan kejayaan di kemudian hari" tegas Sharifah Aini menjawab satu soalan YES!.

Walaupun lirik-liriknya menekankan mesej ketuhanan dan keIslaman, namun ianya tidak dianggap sebagai sebuah album nasyid kerana muziknya yang lebih kepada etnik serta mengekalkan ciri-ciri muzik yang mempunyai sentuhan kemelayuan dengan pelbagai rentak seperti Rumba, Dangdut, Zapin, Qasidah dan Asli Pop, kecuali lagu Antara Dua Cinta dan Sketsa Kehidupan yang menggunakan percussion.  Lihatlah indahnya lirik lagu Sketsa Kehidupan yang senikatanya adalah nukilan Pahrol Mohd Joui dan lagunya oleh Nazrey Johani:

"Tuhan,
dosaku menggunung tinggi
tapi rahmat-Mu
melangit luas
Harga selautan syukurku
hanyalah setitis
nikmat-Mu di bumi"

 

 

 

SHARIFAH AINI YAKIN KEHANDALAN 'YAYADAN'

oleh Huzz (Pancaindera: Mingguan Malaysia, 12 Julai 1998)

"Bagaimanapun saya hanya menantikan perbincangan mengenai projek album saya yang akan dirakamkan di sana selesai dibuat.  Bukannya saya yang melengah-lengah masa untuk album itu, kerana adalah tidak wajar kalau tawaran itu dibuat kepada saya.  Sebab saya masih ada kontrak selama lima tahun lagi dengan syarikat EMI Malaysia," katanya yang sudah 30 tahun bernaung di bawah syarikat ini.  "Jadi saya mahu pihak di Mesir atau sesiapa yang menguruskan album ini untuk saya membuat perbincangan dengan pihak EMI.  Saya memang berminat menyanyikan lagu-lagu berirama Arab itu," kata Sharifah Aini.

Sebelum ini Sharifah Aini pernah digelar sebagai Umi Kalthoum ketika dia membuat persembahan di Mesir beberapa tahun lalu.  Memiliki suara yang lunak dan boleh menyampaikan lagu dalam bahasa Arab dengan baik menjadikan seorang komposer di Mesir berminat untuk menyunting Sharifah Aini.  "Setakat ini saya hanya diberitahu mengenai hasrat komposer itu.  Kalau perbincangan sudah dijalankan dengan pihak EMI saya akan duduk berbincang mengenainya," tambah Sharifah Aini lagi.

Permintaan agar dia menyegerakan pembikinan album berbahasa Arab diluahkan bukan saja oleh peminat-peminatnya malah di kalangan beberapa orang pelajar universiti yang hadir ke sidang akhbarnya pada 7 Julai lalu yang diadakan di Hotel Imperial Kuala Lumpur.  Sidang akhbar Sharifah Aini kali ini agak istimewa kerana mengundang para siswa dan siswi dari beberapa universiti tempatan dan Universiti Islam Antarabangsa untuk memperkatakan tentang album dakwah berirama pop etniknya berjudul YAYADAN.

"Tentang album dakwah ini, saya sebenarnya ingin mengatakan saya tidak mahu dikatakan saja nak menyibuk buat album dakwah di kala album dakwah sudah mendapat tempat.  Saya kira tanggapan begitu tidak adil.  Dulu ketika saya memenuhi rakaman album-album bermesejkan lagu cinta dan kemanusiaan saya juga ada merakamkan lagu-lagu berunsur dakwah.  Dan sekarang saya ingin memiliki sebuah album yang penuh dengan lagu dakwah.  Alhamdulillah album ini sudah di pasaran sekarang dan mendapat perhatian peminat," katanya.

Terdapat sebuah judul lagu dalam album terbaru Sharifah Aini YAYADAN dari tulisan vokalis Raihan iaitu Nazri. Judulnya ialah Sketsa Kehidupan (lagu dakwah bermuzik pop etnik).  Semasa ke sidang akhbar Sharifah Aini itu juga beberapa pelajar universiti tempatan diundang membuat komen dan ulasan mengenai album terbarunya.  Amboi ... masing-masing bersedia dengan pelbagai komen.  Ada yang datang dari Universiti Islam Antarabangsa juga.  Kebanyakan pelajar memuji album ini dan lagu ciptaan Nazri ini yang dikatakan amat menyentuh perasaan.

"Saya mengucapkan ribuan terima kasih pada Nazri kerana sudi menulis lagu untuk album ini.  Terima kasih kerana menyokong dan bekerjasama memperjuangkan lagu dakwah".  Selain lagu ciptaan Nazri itu terdapat beberapa buah lagu lain yang mewarnai album ini. Yayadan (ciptaan Pak Ngah), Permaidani (ciptaan Imanzali), Fitrah Insani (ciptaan A. Ali) antara yang sedang diputarkan di corong radio.  Sementara lagu lama yang pernah dirakamkannya sebelum ini diberi nafas baru dalam album ini berjudul Tiada Yang Kekal Melainkan Allah (ciptaan S. Atan), Selimut Putih (dari album El Suraya) dan Keagungan Tuhan (dari album D'Lloyd) ternyata menjadikan album YAYADAN Sharifah Aini mantap.

Menurut jurucakap syarikat rakaman EMI, pelbagai rancangan promosi telah diatur untuk album ini termasuk membawa Sharifah Aini meninjau siswa-siswi ke beberapa buah universiti untuk sessi berbincang dan membuat persembahan lagu dakwah.  "Kami juga yakin album ini akan mengatasi jualan album Konsert Istimewa Sharifah Aini 'Seraut Wajah Semerdu Suara' yang terjual lebih 100,000 unit," kata jurucakap EMI.

 

 

 

SHARIFAH AINI BAWA MESEJ KEPADA MASYARAKAT

oleh Rosli Manah (Utusan Malaysia - Jumaat, 10 Julai 1998)

Sharifah Aini penyanyi yang telah tiga dekad dalam nyanyian dan pernah melalui zaman gemilang pada dekad 70-an masih memperlihatkan karisma dengan album terbaru ini.  Negara ini tidak banyak mempunyai penyanyi seperti yang diperlihatkan oleh Sharifah Aini sepanjang kariernya.  Dia terus bertahan dan kali ini dianggap memberi saingan kepada penyanyi generasi baru yang jauh lebih muda daripadanya.  Kata Sharifah, menerusi album itu, dia menjalankan tanggungjawab untuk menyampaikan mesej berguna kepada masyarakat berbekalkan bakat yang ada dalam dirinya.  Malah dia menganggap album itu paling bermakna dan memuaskan kerana dapat memberikan sumbangan kepada masyarakat setelah 30 tahun dalam bidang nyanyian.

"Ini tanggungjawab saya sebagai penghibur untuk menyumbangkan suara bagi menyampaikan mesej kepada pendengar," katanya mengenai album yang telah seminggu dipasarkan itu.  Menurutnya, penglibatan di dalam menghasilkan album sedemikian sepatutnya dipandang positif oleh pelbagai pihak khususnya yang tidak pernah menilai kemampuan penyanyi menjadi penyampai mesej baik kepada masyarakat.  Sebagai penyanyi yang telah mengharungi pelbagai rintangan dalam karier, Sharifah Aini mahu turut memberikan sesuatu dalam lagu-lagu yang dipersembahkannya.

Dia juga menganggap kini adalah masa yang paling sesuai untuk tampil dengan album sedemikian di kala lagu-lagu nasyid semakin diterima oleh pendengar.  "Saya tergerak untuk bersama-sama kumpulan nasyid lain di dalam menyambung dan memanjangkan usaha tersebut," katanya semasa ditemui di majlis pelancaran album itu di Kuala Lumpur kelmarin.  Dia tidak mengelaskan album tersebut sebagai nasyid kerana ia memuatkan lagu dalam pelbagai rentak termasuk asli, zapin, masri, dangdut, ala padang pasir dan sebagainya.

Sharifah Aini sebenarnya bukan asing dalam menghasilkan lagu berunsur dakwah kerana dia pernah merakamkan beberapa buah lagu sebelum ini di dalam album popnya.  Walaupun dia tampil dengan album berlirik dakwah namun Sharifah Aini tidak menganggap dia mengikuti kumpulan nasyid yang sedia ada.  "Konsep album saya dan album mereka amat berlainan khususnya dari segi penggunaan muzik," katanya.  Namun dia yakin album tersebut mampu memberikan kesan yang sama kepada pendengar sebagaimana pendengar lagu-lagu kumpulan nasyid kontemporari yang menguasai pasaran masa ini.  Sementara itu Sharifah Aini juga menyatakan kesediaannya untuk muncul dengan album Arab untuk edaran negara timur tengah sebagaimana yang pernah diperkatakan sebelum ini.

 

 

 

ALBUM SHARIFAH ... PELAJAR DIJEMPUT BERI KOMEN

(Utusan Malaysia - Isnin, 29 Jun 1998)

Pelancaran album terbaru penyanyi evergreen Sharifah Aini, YAYADAN, menjadi lebih bermakna apabila mengundang para pelajar dari institusi pengajian tinggi bagi memperkatakan mengenai album tersebut.  Sebanyak enam pelajar yang mewakili Universiti Malaya (UM), Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Institut Teknologi MARA (ITM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Putra Malaysia (UPM) akan dipilih pada majlis pelancaran yang akan diadakan pada 2 Julai ini di Kuala Lumpur.  Enam pelajar tersebut merupakan tetamu istimewa Sharifah Aini diberi peluang memperkatakan mengenai album tersebut daripada sudut pandangan akademik.

Bagi para pelajar yang berminat untuk meluahkan pandangan mereka terhadap album penyanyi tersebut, bolehlah menghubungi Mashana di talian 03-9455033 mulai 30 Jun ini dan menunjukkan kad pelajar sebagai bukti.  Untuk memudahkan mereka melahirkan pandangan masing-masing, para pelajar ini akan diberikan lirik serta kaset terbaru Sharifah Aini. Mereka perlu membuat penilaian ke atas album tersebut daripada segi vokal, susunan muzik serta percubaan pertama penyanyi ini yang menampilkan lagu-lagu berunsurkan pop etnik yang bermesejkan agama dan kerohanian.

Sempena pelancaran album itu juga, Sharifah Aini akan turut mengadakan persembahan istimewanya dengan membawakan pelbagai lagu daripada album tersebut.  Pemasaran album tersebut terpaksa dipercepatkan daripada pertengahan Julai kepada awal Julai kerana mendapat sambutan yang menggalakkan.

Promosi album single dengan lagu Yayadan dan Kepulangan Dalam Iman, telah pun dimainkan di stesen-stesen radio tempatan.  Populariti lagu-lagu ini di radio memperlihatkan Sharifah Aini berjaya mempertahankan namanya yang dicipta pada akhir tahun 60-an dulu.  Tidak banyak penyanyi veteran yang boleh memecah semula ruang pasaran yang dimonopoli oleh penyanyi remaja.  Album YAYADAN memperlihatkan kesinambungan menarik Sharifah Aini sebagai penyanyi yang setia dengan konsep pop Melayu dan etnik.

 

 

 

PASARAN TENTUKAN KONSEP ALBUM

(Utusan Malaysia - Rabu, 23 Mei 1998)

Berdasarkan pegangan itu, Sharifah Aini akan muncul dengan sebuah album pop etnik yang mengetengahkan lirik yang bermesej ketuhanan berjudul DOA DALAM LAGU.  Sharifah Aini yang telah lebih dua dekad menjadi penyanyi berkata, lagu-lagu nasyid dan tradisional kini mendapat tempat di kalangan peminat, kelangsungan yang dilakukan oleh penyanyi-penyanyi berikutnya patut dipuji.  Penerimaan peminat terhadap album tradisional nyanyian Siti Nurhaliza dan Noraniza Idris sepatutnya dijadikan contoh oleh penyanyi lain untuk memperbanyakkan lagu sedemikian.  "Inilah masa yang sesuai untuk menghasilkan album berkonsep asli atau nasyid kerana peminat telah menerima album berkonsep itu dengan baik," katanya.

Dia percaya bahawa sesuatu jenis muzik tidak mampu bertahan dalam jangka masa yang panjang termasuk lagu nasyid sendiri, jadi inilah masa yang sesuai untuknya menghasilkan album berkonsep serupa itu.  "Sekarang album nasyid dan asli diterima dengan baik tetapi kita tidak boleh menjangka apa yang akan berlaku selepas ini," katanya semasa ditemui baru-baru ini.  Walaupun liriknya menekankan mesej ketuhanan dan keIslaman, namun Sharifah Aini tidak menganggap album tersebut sebagai album nasyid atau dakwah kerana muziknya bersulam irama etnik.  Album tersebut bercorak variasi dengan lagu-lagu yang mempunyai sentuhan dangdut, masri, zapin, rumba, Latin dan sebagainya.  Dia tidak mahu dikatakan beralih kepada lagu nasyid kerana konsep muzik yang dibawanya mengekalkan ciri-ciri muzik yang mempunyai sentuhan kemelayuan.

Sebagai percubaan, dia menyelitkan sebuah lagu berkonsep nasyid kontemporari yang menggunakan alat paluan sebagai latar iaitu Antara Dua Cinta.  Lagu tersebut pernah dirakam oleh kumpulan The Zikr (kini Raihan).  Sebuah lagi lagu The Zikr yang dirakam semula ialah Sketsa Kehidupan.

Nyanyian lagu sedemikian bukanlah sesuatu yang baru baginya kerana pernah merakamkannya sejak tahun 70-an lagi.  "Tetapi masa itu trend lagu popular ialah menekankan cinta sesama insan," ujar Sharifah Aini.  Lagu Selimut Putih dan Tiada Yang Kekal (Melainkan Allah) adalah antara dua lagu yang pernah dirakamkannya suatu masa dulu.  Menerusi album tersebut Sharifah merakamkan semula lagu itu dengan menampilkan gubahan muzik yang baru.  Lagu-lagu lain yang dimuatkan ialah, Sebuah Renungan, Yayadan, Keagungan Tuhan, Syukur, Permaidani, Kepulangan Dalam Iman dan Fitrah Insani.

Sementara itu Sharifah Aini juga mendapat tawaran daripada 'Yayasan Warisan Johor' untuk menghasilkan sebuah album tradisional sepenuhnya.  Pihak Yayasan akan bekerjasama dengan EMI untuk menerbitkan album tersebut.  Dia dijangka memulakan rakaman album itu selepas album DOA DALAM LAGU dipasarkan pertengahan Jun ini.

Sharifah Aini berterima kasih kepada Yayasan berkenaan kerana memberi kepercayaan kepadanya untuk menerbitkan album tersebut yang memerlukan belanja besar.  "Pembikinan album tradisional sepenuhnya memerlukan belanja yang besar kerana saya mahu jadikan album tersebut sangat berharga," katanya.  Album tersebut akan menampilkan lagu tradisional yang menarik antaranya Disebut Jangan Dikenang Jangan, Hiburkanlah Hatiku, Seri Mersing, Bentan Telani, Semenjak Kita Berpisah dan beberapa lagu lagi.

 

 

 

SHARIFAH AJAK PEMINAT KONGSI PENGALAMAN

(Utusan Malaysia - Isnin, 18 Mei 1998)

Penyanyi 'evergreen' Sharifah Aini, telah mencipta sejarahnya tersendiri dalam bidang seni suara.  Setelah lebih 30 tahun mengabdikan diri dalam bidang nyanyian, Sharifah Aini akan tampil dengan satu konsep album yang berbeza pada tahun ini.

Sharifah yang juga artis paling lama bernaung di bawah label syarikat rakaman EMI mahu peminatnya berkongsi pengalaman hidup, tanggungjawab sebagai insan dan pelbagai mesej berguna dalam sebuah album nasyid tidak lama lagi.  Album yang dijangka akan diedarkan pada sekitar bulan Jun ini tentunya dinantikan-nantikan oleh peminatnya kerana Sharifah Aini sudah agak lama tidak muncul dengan album baru.

Eksekutif Promosi EMI, Shima Nekmat, berkata, memandangkan Sharifah Aini sememangnya mampu menyampaikan lagu-lagu nasyid dengan baik, pihak syarikat yakin album tersebut akan mendapat tempat di hati peminat.  Ujarnya, EMI juga telah menerima banyak permintaan daripada peminat Sharifah yang mahukan penyanyi itu merakamkan sebuah album nasyid dalam bahasa Arab.

Sementara itu, Sharifah yang ditemui sewaktu rakaman rancangan 'Satu' terbitan RTM baru-baru ini berkata, album terbarunya bukan sahaja berbeza dari segi konsep, tetapi membawa makna yang tersendiri dalam kariernya.  "Album tersebut dikeluarkan seiring dengan tahun ke 30 saya di EMI.  Lantaran itu, saya amat berharap agar album ini akan membawa kejayaan dan para peminat akan dapat menerima lagu-lagu nasyid yang saya nyanyikan," ujarnya.

Kombinasi penerbit terkenal seperti Ramli MS, Pak Ngah dan S.Atan dalam penerbitan album Sharifah kali ini juga menjadi satu tarikan utama.  Sebanyak 10 buah lagu nasyid dimuatkan dalam album tersebut seperti Yayadan, Kepulangan Dalam Iman, Syukur, Keagungan Tuhan dan juga sebuah lagu yang pernah dipopularkan oleh Aris iaitu Permaidani.

Menurut Sharifah, sambutan yang baik terhadap lagu-lagu nasyid masa masa kini juga merupakan satu faktor yang menggerakkan hatinya untuk merakamkan sebuah album nasyid.  Walaupun Sharifah sering muncul dengan album berkonsep pop, tetapi dia sering menyanyikan lagu-lagu nasyid untuk program televisyen ataupun sebarang pertunjukan pentas.

Setelah beberapa tahun tidak muncul dengan album baru, Sharifah yakin para peminatnya masih setia menanti.  Sebagai artis terkenal, Sharifah sentiasa meletakkan dirinya setara dengan para peminat.  Meskipun, dikenali sebagai 'public figure', tetapi Sharifah memberitahu, para peminat adalah segala-galanya bagi dirinya.