ARTIKEL DAN ULASAN ALBUM

TAKKAN MELAYU HILANG DI DUNIA (1999)

VOKAL SHARIFAH HEBAT

oleh Roslen Fadzil (Harian Metro - Selasa, 30 November 1999)

Apalagi yang dapat saya katakan mengenai Sharifah Aini jika bukan vokal emasnya. Suara unggul dan 'versatile' daripada Seri Dewi Malam itu hingga kini nampaknya belum ada tandingan.  Seperti ramai tahu, Sharifah sedang meraikan ulangtahun ke-30nya bersama EMI serta dunia nyanyian.  Lantaran itu, EMI menerbitkan siri albumnya dengan tema berbeza-beza sebagai mengenang jasanya.  Buat masa ini baru dua album solo muncul di pasaran dan selebihnya bakal menyusul tidak lama lagi.

TAKKAN MELAYU HILANG DI DUNIA asasnya album tradisional atau kini lebih dikenali Irama Malaysia. Dengan genre muzik ini, maka terkumpullah lagu-lagu Sharifah yang berentak asli, zapin, keroncong, Melayu deli, sentimental dangdut dan ala Hindustan.  Sebanyak 19 lagu dimuatkan dalam album ini.  Boleh dikatakan, apa yang saya mahu daripada Sharifah Aini menerusi lagu tradisional ada dalam album ini seperti Burung Pungguk, Sri Mersing, Hiburkanlah Hatiku, Bunga Tanjung, Di Pinggir Kayangan, Jalak Lenteng dan Teratai (rakaman live dalam konsertnya di DBKL, 1995).

Lagu lain ialah Takkan Melayu Hilang Di Dunia (susunan muzik dibaiki semula Eddie Marzuki dan Firdaus), Patah Hati, Fatwa Pujangga, Seroja, Burung Putih, Tinggallah, Keresahan, Kisah Yang Lalu, Kenang Daku Dalam Doamu, Pujaan Hatiku, Airmata Kasih dan Seri Dewi Malam.  Walaupun Seri Dewi Malam diselitkan dalam album ini, saya sebenarnya lebih terpikat dengan versi asal yang Sharifah rakamkan pada awal 70-an kerana nostalgianya memang hebat.  Saya sedikit kecewa bila melihat lagu Kasihnya Ibu dan irama joget Pantun Kasih tiada dalam senarai.

Saya sedar sukar untuk Sharifah mahupun EMI menghimpun kesemua lagu hitnya dalam sebuah album kerana sebelum ini ada yang pernah ditonjolkan dalam album kompilasi lain.  Cuma saya kehairan, kenapa EMI tidak mengorak langkah menerbitkan CD berkembar (double CD) Sharifah Aini sekaligus kerana hasilnya akan nampak lebih eksklusif.  Apapun album TAKKAN MELAYU HILANG DI DUNIA adalah khazanah perjuangan Sharifah selama 30 tahun bersama muzik tradisi.  Bayangkanlah nilai album sebegini dalam tempoh 30 tahun akan datang.  (4/5)

Jika TAKKAN MELAYU HILANG DI DUNIA album irama tradisional, SERI DEWI - Sharifah Aini pula album kompilasi lagu pop dengan menyelitkan sebuah lagu bonus terbaru - Rindu Serindu Rindunya.  Sebagaimana saya menyukai lagu Seksa versi Sharifah, begitulah yang terjadi bila saya mendengar Rindu Serindu Rindunya.  Rasanya, gabungan vokal Sharifah bersama susunan muzik strings untuk lagu Spoon ini membuatkan ia kedengaran hebat dan tersendiri.  Sepanjang ingatan saya, Sharifah tidak pernah mencacatkan lagu popular artis lain dan bila menyanyikan semula, dia mampu memberikan penghayatan (feel) sepenuhnya.

Bagaimana pula lagu lain dalam album ini?

Menilai kandungan SERI DEWI, puas rasanya apabila lagu kegemaran saya seperti Dekatlah Padaku, Kau Racun Hidupku, Seksa, Terbang Helang, Surat Dari Seberang dan Kau Tinggi Di Awan Biru dimuatkan.  Jika diperhatikan dengan teliti, daripada 18 lagu dalam album ini, lapan lirik ditulis sendiri oleh Sharifah iaitu Dekatlah Padaku, Kau Tinggi Di Awan Biru, Surat Dari Seberang, Tiada Maaf Bagimu, Kau Datang, Kirimkan Kasihmu, Aku Dan Malam serta Jangan Tinggalkan Daku (Kesepian).  Pastinya setiap satu lagu itu mempunyai kisah suka duka di sebalik kehidupan Sharifah.

Bagi peminat setia yang sudah memilik album kompilasi Kenangan Manis Vol I dan II sebelum ini, album SERI DEWI boleh menambahkah lagi satu lagi koleksi apatah lagi terselitnya Rindu Serindu Rindunya. (4/5)

 

 

 

ALBUM LAGU KLASIK MELAYU SHARIFAH AINI HEBAT

oleh Huzz (Pancaindera: Mingguan Malaysia, 22 Oktober 1999)

Dah beli ke album Sharifah Aini?  Kalau belum jangan lambat.  Dapatkan album terbaru biduanita sepanjang zaman ini yang berjudul TAKKAN MELAYU HILANG DI DUNIA (rakaman semula dengan susunan muzik penggubah hebat Eddie Marzuki).  Ya Allah ... memang sedap-sedap lagu yang terdapat dalam album ini.  Bagi peminat Sharifah Aini, sepanjang 30 tahun dia menyanyi tentu gembira sebab antara lagu hits lain yang tersenarai dalam album ini ialah Seri Dewi Malam, Seri Mersing, Burung Pungguk, Burung Putih, Bunga Tanjung, Airmata Kasih, Keresahan, Hiburkanlah Hatiku, Seroja, Tinggallah, Teratai ... di mana lagu-lagu ini pernah menjadi pujaan dan pilihan peminat di album-albumnya dulu.

"Lagu-lagu di album ini pilihan saya dan seorang peminat di San Francisco (Mohd Khair Johari) yang turut menulis kajian dan pandangannya mengenai lagu-lagu yang dimuatkan semula di album ini.  Ini album lagu-lagu klasik yang istimewa buat saya.  EMI Malaysia akan menerbitkan album pop hits saya dan ada dua album istimewa daripada saya akan muncul lagi selepas ini (dipasarkan bulan ini).  Dua album itu akan menyusul November dan Disember depan.  Pada Disember depan satu majlis sempena 30 tahun saya sebagai penyanyi akan diadakan.  Konsert saya juga akan diusahakan akhir tahun ini," katanya yang telah membuktikan persembahan hebat di 'Majlis Makan Malam Majalah Wanita 30 Tahun'.  Kata salah seorang bos Huzz di bahagian majalah, Puan Rosminah Ahmad: "Bila dia menyanyi lagu 'Bunga Tanjung' berdiri bula roma kak Ros."

Begitulah Sharifah Aini terus hebat.  Malam itu Uji Rashid, Datin Rafeah Buang, Azlina Aziz dan Camelia turut menjayakan majlis.  Boleh dikatakan majlis hiburan anjuran majalah itu menghiburkan semua tetamu termasuk VIP istimewa - DYMM Permaisuri Agong.  Bagi peminat yang membeli album lagu klasik kak Pah ini akan dapat ikuti peraduan istimewa Sharifah Aini 30 Tahun untuk merebut hadiah yang disediakan oleh EMI Malaysia barang kemas bernilai RM3,000 dan naskhah buku cenderamata kenangan kalau berjaya dalam peraduan yang disediakan.

Hmm ... kalau beli CD dan kaset tak rugi juga ... harga tak berubah lagunya lebih bukan 10 tapi 19 buah lagu.  Huzz yakin album ini akan mendapat sambutan di kalangan juruhebah, wartawan dan peminat sebab lagu-lagunya sedap belaka.

 

 

 

ALBUM HARGAI SHARIFAH AINI

oleh Roslen Fadzil (Harian Metro - Sabtu, 21 Ogos 1999)

Sharifah Aini dan irama kemelayuannya yang pekat memang sukar diceraikan.  Mungkin hari ini kita lega dengar penyanyi seperti Aishah, Siti Nurhaliza dan Noraniza Idris mendendangkan lagu seumpama itu dengan baik tetapi perjuangan Sharifah dalam dunia Irama Malaysia sudah bercambah sejak 30 tahun lalu lagi.  Dengan erti kata lain, sejak menjadi artis rakaman EMI pada 1969, biduanita bertahi lalat dia terus setia memperjuangkan irama asli sehinggalah saat ini tanpa kenal perkataan jemu.

"Lagu asli ibarat makanan harian saya," kata Sharifah Aini, tidak lama dulu bila ditanya mengenai perkara itu.  Kini, bagi mengenang kesetiaannya terhadap lagu asli dan juga EMI, sebuah album khas TAKKAN MELAYU HILANG DI DUNIA muncul di pasaran.  Ia menampilkan wajah jelita penghibur pujaan ramai itu dengan rambut mayang mengurai dan bercucuk sanggul.

Album dengan 19 lagu itu menampilkan koleksi lagu-lagunya yang tidak lapuk dek hujan, dirakamkan sejak era 70-an, 80-an hinggalah 90-an.  Lagu-lagu itu ialah Hiburkanlah Hatiku, Di Pinggir Kayangan, Bunga Tanjung, Patah Hati, Fatwa Pujangga, Seroja, Burung Putih, Tinggallah, Keresahan, Burung Pungguk, Kisah Yang Lalu, Kenang Daku Dalam Doamu, Jalak Lenteng, Pujaan Hati, Seri Mersing, Airmata Kasih, Teratai (live), Seri Dewi Malam dan Takkan Melayu Hilang Di Dunia.  Lagu-lagu berkenaan ciptaan komposer veteran seperti Datuk Ahmad Nawab, S Atan, Raja Kobat, Ahmad Jaafar, S Effendy, Wan Norbakyah Wan Musa, Omar Baghseer, Ahmad Wan Yet, Lili Suheiry, Osman Ahmad dan trio muda KRU.  Namun agak terkilan juga kerana lagu merdu seperti Kasihnya Ibu dan Kini Hatiku Telah Tertawan tidak diselitkan sama.

Bagi EMI, album TAKKAN MELAYU HILANG DI DUNIA adalah hadiah awal bagi semua peminat Sharifah bersempena ulangtahun ke30nya bersama syarikat itu.  Selepas ini, beberapa lagi siri album kompilasi penghibur itu akan menyusul dengan menampilkan tema yang berbeza.  "Kami terus menerima pelbagai permintaan daripada peminat Sharifah supaya menerbitkan semula lagu-lagu hitsnya.  Mungkin agak sukar untuk memenuhi setiap permintaan itu tetapi kami akan cuba lakukan dengan sebaik mungkin," kata Nawar Anne Deris, Eksekuif Promosi EMI Malaysia.  Sebelum ini pada 1993, EMI pernah menebitkan album lagu-lagu asli sharifah berjudul Koleksi Klasik.  Ia mendapat sambutan hangat daripada peminat dan kekal sebagai salah sebuah album asli tempatan terbaik.

 

 

 

ALBUM KHAS SHARIFAH AINI

(Berita Harian)

Begitu pantasnya masa berlalu sehingga tanpa disedari biduanita Sharifah Aini sudah 30 tahun terbabit dalam bidang seni suara negara.  Sepanjang tempoh itu juga, dia menghasilkan 30 album yang memuatkan 400 lagu, di mana sebahagian besarnya masih digemari hingga kini.  Sempena ulangtahun ke 30 pembabitannya dalam nyanyian, Sharifah Aini menghasilkan sebuah album khas berjudul SHARIFAH AINI - TAKKAN MELAYU HILANG DI DUNIA yang mula dipasarkan awal bulan ini.

Ia memuatkan 19 lagu seperti Takkan Melayu Hilang Di Dunia, Hiburkanlah Hatiku, Di Pinggir Kayangan, Bunga Tanjung, Patah Hati, Fatwa Pujangga, Seroja, Burung Putih, Tinggallah dan Keresahan.  Turut dimuatkan lagu Burung Pungguk, Kisah Yang Lalu, Kenang Daku Dalam Doamu, Jalak Lenteng, Pujaan Hati, Seri Mersing, Airmata Kasih, Teratai dan Seri Dewi Malam.  Sharifah Aini dalam satu kenyataan berkata, sebahagian besar lagu dalam album itu berentak pop etnik dan tradisional Melayu.  "Ada lagu yang mempunyai unsur zapin, inang, masri, ghazal, dondang sayang, dangdut Melayu, Melayu Deli, keroncong, Melayu asli dan joget.  Semuanya pernah dirakamkan dalam album saya, lebih-lebih lagi sejak saya mula membabitkan diri dalam industri muzik negara sekitar awal 1970an," katanya.

Katanya, susunan muzik dan lirik bagi lagu yang dimuatkan dalam SHARIFAH AINI - TAKKAN MELAYU HILANG DI DUNIA adalah sumbangan KRU, Datuk Ahmad Nawab, M Habib, Raja Kobat, S Effendy, Johar Bahar, Wan Nurbakyah Wan Musa, Omar Baghseer, Ahmad Wan Yet, Osman Ahmad dan Lily Suheiry.  "Kecuali 'Takkan Melayu Hilang Di Dunia', lagu lain yang dimuatkan dalam album terbitan Eddie Marzuki ini tidak pernah melalui proses rakaman digital, seterusnya diterbitkan dalam bentuk cakera padat.  Malah, ini adalah kali pertama.  Saya rasa, ia juga menjadi daya penarik utama album SHARIFAH AINI - TAKKAN MELAYU HILANG DI DUNIA.  Album ini turut memuatkan maklumat mengenai setiap lagu sama ada tahun diterbitkan, sejarah dan latar belakang penggubah lagu dan penulis lirik," katanya.

Dalam perkembangan lain, Sharifah Aini menyatakan kesediannya untuk terus menyanyikan lagu berentak pop etnik dan pop tradisional.  "Ia sebegitu perlu dipulihara agar kekal sepanjang zaman.  Ini penting sebagai gambaran sejarah untuk generasi akan datang menghayatinya," kata Sharifah.