ARTIKEL DAN ULASAN ALBUM

SYAHDU (2003)

SYAHDUNYA SHARIFAH AINI

(Pancaindera: Mingguan Malaysia, 4 Jun 2003)

Selepas 35 tahun 'berumahtangga' dengan EMI, akhirnya pendengar dijamu dengan variasi lagu pelbagai rentak dalam satu album yang padat.  SYAHDU boleh dikategorikan sebagai album yang dinantikan peminat setia penyanyi evergreen ini bagaikan satu kelainan.  Bayangkan apabila lagu Maafkanlah gubahan Ahmad Izham Omar di track kedua yang disadur dengan elemen R&B dibawakan oleh penyanyi bersuara lemak merdu ini.  Boleh terima atau tidak?

Sanubari seorang seniman tulen bukan mudah untuk ditelah meskipun pohon seninya berdiri di tengah jantung seribu kota dan desa.  Seorang seniman tulen juga tidak wujud ruang kosong.  Seluruh karyanya bernafas dalam rongga bangsanya.  Namun begitu, jiwa dan naluri seorang seniman tetap menjadi laut rahsia yang sukar diselami.  Marahnya sering disalahtafsirkan sebagai benci yang membakar.  Sabarnya acap kali menjadi perkakas manusia yang haloba.

"Segala halangan dan cabaran hidup sebagai anak seni yang saya lalui selama ini menjadikan saya kuat dan terus bertahan sebagai penghibur masyarakat," luah penyanyi Sharifah Aini dalam satu wawancara dengan Pancaindera baru-baru ini.  Dalam pertemuan itu, gejolak jiwa, impian dan akar rasa dalam diri beliau yang teguh jiwa kemelayuannya dapat diteroka.  Beliau mengakui, ada kalanya terpengaruh dengan karya-karya Barat namun, pendirian Sharifah Aini masih Timur di tengah-tengah Barat tidak pernah goyah.  "Lagu-lagu Melayu sudah sebati dengan jiwa saya.  Mana mungkin saya menolak mentah-mentah karya Melayu.  Karya Barat ada kalanya menjadi rujukan kerana tidak semua karya Barat yang boleh kita tolak bulat-bulat," Sharifah mendedahkan rahsia.

Bercerita mengenai karya, biduanita berdarah kacukan Melayu-Arab ini baru sahaja muncul dengan album ke 77, SYAHDU edaran syarikat rakaman EMI Music (M) Sdn. Bhd.  Banyak yang istimewa dan perlu diteroka oleh peminat-peminat setia biduanita ini.  Karya yang dimuatkan dalam album ini menggabungkan muzik kontemporari tetapi diadun dengan rencah rima kemelayuan.  Suara beliau masih memukau.  Biar sudah lebih tiga dekad menyanyi dan menghiburkan, namun merdu suaranya seakan-akan membawa pendengar menjelajah suatu perjalanan yang penuh abstrak.

Album SYAHDU yang menampilkan beliau sebagai penerbit eksekutif sebetulnya juga menunjukkan ketelitian beliau terhadap album berkenaan.  Bukan sekadar pemilihan lagu dalam album berkenaan bahkan Sharifah turut mengambil kira pelbagai aspek teknikal semasa proses rakaman dijalankan.  "Sudah lama saya menyanyi dan sewajarnya saya melibatkan diri secara total kerana saya mahu pendengar berkongsi kepuasan yang sama dengan saya," Sharifah Aini menyambung bicara.

SYAHDU menyaksikan gandingan mantap Sharifah dengan karyawan ternama dan masyhur.  Mereka ialah M. Nasir, Ajai, LY, Manan Ngah, Bong, Ramli M.S dan lain-lain.  Sharifah juga mengambil kesempatan merakamkan semula lagu Semua Pergi yang pernah dipopularkan oleh teman baiknya, mendiang Broery Marantika.  "Kekuatan lagu itu terletak pada melodi dan liriknya yang menyimpan seribu satu makna tersendiri," sambungnya ketika ditanya keistimewaan lagu Semua Pergi.  Lagu-lagu seperti Maafkanlah, Qasidah Di Jabal Rahmah, Malam Gelisah dan lagu-lagu lain antara yang mudah menarik perhatian pembeli album berkenaan.

Seperti diduga, belum pernah terpercik rasa puas di sanubari beliau.  Jauh sekali istilah bosan atau jelak berkarya meskipun pada kedudukannya hari ini, Sharifah sudah boleh mengucapkan selamat tinggal dunia seni.  Katanya, sebagai insan yang dianugerahkan bakat dan kefahaman dalam bidang seni, beliau berasa seolah-olah diberi tanggungjawab untuk terus berusaha memartabatkan khazanah seni bangsanya.  "Ini sahaja yang mampu saya sumbangkan kepada dunia seni tempatan," katanya sambil menyimpul senyuman penuh makna.

 

 

 

TERBAIK DARIPADA SHARIFAH AINI

(Bi Pop: Berita Minggu, 18 May 2003)

Selepas 35 tahun 'berumahtangga' dengan EMI, akhirnya pendengar dijamu dengan variasi lagu pelbagai rentak dalam satu album yang padat. SYAHDU boleh dikategorikan sebagai album yang dinantikan peminat setia penyanyi evergreen ini bagaikan satu kelainan.  Bayangkan apabila lagu Maafkanlah gubahan Ahmad Izham Omar di track kedua yang disadur dengan elemen R&B dibawakan oleh penyanyi bersuara lemak merdu ini. Boleh terima atau tidak?

Sentuhan Ramli MS sebagai penerbit lagu ini memang berbisa.  Biarpun lagu Semua Pergi gubahan dan lirik Boe Kent Malaiholo agak sederhana, namun susunan muzik yang brilliant membuka peluang untuk hit seperti lagu Kenapa Berjauhan ciptaan Ajai.  Rasa macam kurang lengkap kalau tidak dengar Kak Pah mendendangkan lagu berirama padang pasir.  Untuk itu Kalam Jauhari gubahan Bong yang bernada rancak dan Qasidah Di Jabal Rahmah sentuhan M Nasir turut dimuatkan sebagai pelengkap rasa.  Kalau rasa macam nak menari ala rutin waltz atau membayangkan seolah-olah sedang bersampan di terusan Venice, Itali lagu Malam Gelisah di track ke tujuh cukup sesuai.  Apapun, Segalanya Di Hati ciptaan Ajai sangat senang didengar dengan syarat tumpukan perhatian pada melodinya.  SYAHDU adalah album yang mesti dimiliki, jika tidak cacatlah koleksi 77 album Kak Pah anda.

 

 

 

SHARIFAH AINI PENERBIT EKSEKUTIF ALBUM SENDIRI

oleh Rosli Manah (Utusan Malaysia - Rabu, 19 Mac 2003)

Apabila penyanyi diberi tanggungjawab sebagai penerbit eksekutif album sendiri pasti mereka mempunyai hak untuk membuat keputusan.  Hak itu pula harus digunakan secara saksama bagi diseimbangkan dengan kehendak pasaran, bukan mengikut apa yang diinginkan semata-mata.  Tindakan sebegini tentu akan memberi ruang yang lebih besar terhadap album tersebut.

Ratu seni suara Sharifah Aini kini melalui proses ini.  Beliau diberi tanggungjawab besar apabila bertindak sebagai penerbit eksekutif album terbarunya berjudul SYAHDU.  Beliau menggunakan kuasa yang ada untuk menghasilkan album terbaik dengan mengambil kira kehendak dan selera peminatnya.  Ketelitiannya dalam menentukan kualiti album terserlah melalui album terbaru yang akan dipasarkan pertengahan bulan ini.  Penyanyi kesayangan ramai ini mengambil masa lebih setahun sebelum album tersebut siap sepenuhnya.  Tempoh itu adalah bagi mempastikan keinginannya tercapai setelah 35 tahun penglibatannya dalam bidang seni.

"Tentunya peminat ingin mendengar apakah hasil yang saya berikan setelah memiliki pengalaman yang panjang itu," katanya kepada Utusan Malaysia, di Kuala Lumpur, baru-baru ini.  Penyanyi kelahiran Johor ini begitu yakin bahawa itulah album terbaik yang pernah dihasilkannya.  Malah, beliau amat berpuas hati dengan komitmen yang diberikan oleh syarikat rakaman.

Menariknya, lagu Malam Gelisah dan Semua Pergi yang dirakam dengan iringan orkestra secara keseluruhannya menjadikan lagu itu mampu menyentuh jiwa.  Walaupun kos menghasilkan kedua-dua lagu itu mahal, namun beliau tetap ingin menghasilkannya untuk mencapai kepuasan sendiri.  Hasilnya, kedua-dua lagu tersebut begitu menonjol kerana gubahan muziknya yang senang meresap ke dalam diri pendengar.  Malam Gelisah adalah saduran sebuah lagu Sepanyol nyanyian Lois Miguel yang liriknya ditulis Sharifah Aini sendiri.  Penyanyi itu turut mengabadikan lagu Semua Pergi yang pernah dirakam oleh rakan baiknya, mendiang Broery Marantika sebelum meninggal dunia.  Melihat hasil kedua-dua lagu itu Sharifah Aini tidak menolak kemungkinan merakamkan lagi lagu bersama orkestra dalam album akan datang.

Dalam perkembangan yang sama sekarang lagu Maafkanlah ciptaan Ahmad Izham Omar menarik perhatian peminat sejak mula diperdengarkan di saluran radio beberapa minggu lalu.  Penyanyi itu begitu komited terhadap albumnya dan dia sendiri memperdengarkan lagu-lagu tersebut kepada pihak media untuk bertanyakan pandangan mereka.  Kali ini album itu mendapat sentuhan komposer antaranya Ajai, Ahmad Izham, LY, Bong serta M.Nasir.  Album tersebut sesuai untuk semua lapisan masyarakat kerana memuatkan lagu-lagu pop semasa yang dijangka dapat mencuri hati peminat muda.  Lagu-lagu ciptaan M.Nasir seperti Cinta Alaika dan Qasidah Di Jabal Rahmah pula mempunyai sentuhan bunyian muzik Arab. "Saya hasilkan lagu untuk semula orang mendengarnya, bukan untuk kelompok tertentu sahaja," kata penyanyi itu lagi.

 

 

 

SHARIFAH SERIUS DI STUDIO RAKAMAN

oleh Saharudin Musthafa (Pancaindera: Mingguan Malaysia, 27 Oktober 2002)

Jam sudah pun menunjukkan pukul 10.30 malan tetapi penghibur ini masih serius di studio rakaman 'Playtime' di Kelana Jaya, Selangor, baru-baru ini.  Ketika orang lain bersedia hendak memasuki bilik tidur, dia pula terpaksa memulakan kerja.  Tugasnya, menyiapkan proses rakaman album terbarunya yang bakal diedarkan seawal hujung Disember depan.  Dari jauh, suara gemersiknya berkumandang dan sesekali kedengaran gelak ketawanya, barangkali ada perkara lucu yang berlaku ketika proses rakaman berlangsung.

Ketika di studio juga, penghibur terkenal, Sharifah Aini tidak menjadikan kedudukannya sebagai artis termasyhur tanahair sebagai batasan untuk dia bekerja dengan komposer yang lebih muda daripadanya.  Sebaliknya, kemesraan dan sikap profesional penghibur bersuara emas itu jelas kelihatan ketika bersama Ahmad Izham Omar yang mengendalikan urusan penerbitan lagu Maafkanlah tempohari.  Inilah kali pertama kerjasama antara Sharifah dan Izham.  Izham mengakui, selama ini dia hanya melihat dari jauh penghibur evergreen itu mencipta sejarah dalam kerjaya seninya.

"Saya banyak mempelajari karakter dan vokal Sharifah sebelum mencipta melodi lagu Maafkanlah untuk beliau." kata Izham di awal perbualan.  Menyedari Sharifah punya pelbagai kelebihan tersendiri, Izham membuat keputusan menyelitkan gabungan elemen pop moden dan klasik untuk lagu yang liriknya ditulis oleh Lady D.  Izham mengakui dia mula mengenali lebih rapat dan 'jatuh cinta' kepada Sharifah ketika penghibur itu popular menerusi lagu Woman In Love dan Kudaku Lari.  "Saya dapat rasakan ada jiwa dalam setiap nyanyian Sharifah dan itu adalah ekspresi terbaik seorang penyanyi profesional seperti beliau," Izham menceritakan karakter Sharifah.

Bagi Sharifah pula, setiap kali menjalani rakaman lagu di studio, dia begitu berhati-hati.  Mengakui dirinya seorang yang sukakan kesempurnaan, Sharifah seboleh-bolehnya tidak mahu mana-mana penerbit berkecil hati andai dia tidak mampu memberi persembahan terbaik.  "Jika tidak disuruh oleh penerbit untuk mengadakan rakaman semula sekalipun, saya akan menawarkan diri jika saya dapati persembahan saya tidak baik.  Saya tidak mahu mengecewakan penerbit kerana seperti saya mereka juga mahukan karya mereka dinyanyikan dengan sempurna," kata Sharifah lagi.

Bekerja dengan Izham menurut Sharifah, menuntutnya mengikut rentak komposer berjiwa muda yang sarat dengan idea yang kreatif dan inovatif.  Bagi Sharifah, pengalaman bekerjasama dengan orang muda seperti Izham juga membuka dimensi baru dalam pemikirannya sebagai penyanyi yang sudah tiga dekad menghiburkan masyarakat.

Lagu Maafkanlah digubah oleh Izham bersesuaian dengan aliran muzik kontemporari.  Ditambah dengan dendangan penuh gemersik Sharifah, lagu ini turut diindahkan dengan nyanyian latar Reymee daripada kumpulan Innuendo.

Maafkanlah bakal dimuatkan dalam album ke 75 Sharifah bersama syarikat rakaman EMI Music (M) Sdn Bhd.  Selain Izham, beberapa komposer ternama seperti M Nasir, Ajai, LY dan Manan Ngah turut bekerjasama dengan Sharifah.  Kata Sharifah, album ini sesuatu yang cukup istimewa buatnya.  "Saya mahu berkongsi kegembiraan dengan semua peminat dan saya mengharapkan album ini akan memenuhi citarasa mereka (peminat)," ujar wanita yang kini turut dikenali sebagai ahli perniagaan.

Menjelang pukul 1 pagi, Sharifah yang ditemani pembantunya yang cukup setia meninggalkan studio rakaman, 'Playtime'.  Tugas Sharifah dan Izham di studio pada malam itu berakhir dengan 1,001 kepuasan.  Semuanya tergambar di wajah kedua-dua anak seni itu.  Itulah antara rutin dan gaya kehidupan mereka pada masa-masa tertentu.

 

 

 

SHARIFAH AINI & M NASIR BERGANDING BAHU

oleh Huzz (URTV, 1 Oktober 2002)

Masuk ke studio rakaman lagi!  Itulah yang diteruskan oleh penyanyi yang sudah 33 tahun mengikat kontrak dengan syarikat rakaman EMI Malaysia, siapa lagi kalau bukan biduanita Sharifah Aini.  Macam dirinya yang masih cantik, begitu juga suaranya masih merdu.  Sebagaimana kata M Nasir, "Bukan saja masih cantik ... tetapi masih bergetah!"

Secara eksklusif URTV berjaya menjenguk masuk ke studio Luncai Emas ketika Sharifah Aini merakamkan suara untuk album terbarunya yang ke 75 pada awal September lalu.  Rakaman dibuat di studio Luncai Emas, Sungai Buloh, Selangor pada sebelah malam.  Komposer M Nasir dipilih untuk turut menyumbangkan lagu di mana dua buah lagu berentak muzik kontemporari dengan sentuhan world beat ciptaannya berjudul Cinta Alaika (lirik Seth) dan Qasidah Di Jabal Rahmah (lirik S Amin Shahab) dimuatkan dalam album Sharifah Aini kali ini.

Malam itu Sharifah Aini merakamkan lagu Cinta Alaika.  Bahagian korus yang sedang dirakamkan malam itu kaya dengan gemersik dan lemak merdu si penyanyi menyebut "Alaika ... Di mana kucari, salju putih menerang wangi" kedengaran begitu hebat sekali.  Album ini dijangka berada di pasaran Oktober ini.  Kata Sharifah, "Sebenarnya selain Nasir lagu ciptaan LY dan Ajai juga 'best'.  Tak tahulah peminat ... tapi bila saya putar berkali-kali rakaman kali ini saya akui saya sangat gembira kerana kebanyakan lagu dalam album ini membuatkan saya berpuashati".

Dia Memiliki Faktor X

Seperti komen kebanyakan komposer terkenal termasuk Reggie Verghese (komposer album Inggeris) yang mengatakan Sharifah Aini penyanyi yang kreatif ketika merakamkan lagu ... begitulah juga dengan M Nasir.  Kata M Nasir, Sharifah Aini seorang penyanyi yang tahu apa yang dinyanyikan dan dilakukan.  Selain dilahirkan dengan bakat istimewa, beliau juga penyanyi yang rajin, kata M Nasir.  Untuk membawa lagu Cinta Alaika ini bukan mudah, irama dan patah lenggoknya dalam alunan 'world beat' yang saya gubah memerlukan seorang penyanyi yang ada karakter tertentu untuk menyanyikannya.  Sharifah Aini ini istimewa.  Dia ada karakter yang boleh memberi sesuatu pada lagu ini.  Dia mempunyai sensualiti dan bertenaga untuk membawa lagu ini.  Dia boleh memberikan kreativitinya untuk mencantikkan lagu itu.  Dia tidak datang ke studio dengan hanya berharap kepada penerbit atau komposer saja.  Dia boleh memberi idea untuk menjadikan lagu itu indah.  Terus terang saya katakan saya sendiri anggap dia memiliki factor X dalam menempa kejayaan sebagai penyanyi.  Itu kelebihan dan keistimewaan Sharifah Aini," kata M Nasir.

Rindu Nak Berduet Dengan Nasir

Kata Sharifah Aini, "Syukur alhamdulillah dipanjangkan usia, disejahterakan kesihatan saya dapat meneruskan hajat nak menghiburkan ribuan peminat saya.  Kredit yang diberikan kepada saya oleh Nasir seperti mengatakan saya ini kreatif, ada 'style' membawakan lagu tidak membuat saya merasakan diri ini yang terbaik.  Tidak saya nafikan persediaan nak masuk studio bukan sekadar cukup tidur 10 jam sehari, minum air mineral dan air masak lebih dua botol besar sehari atau buat senama di petang hari.  Tapi lebih dari itu saya buat persediaan mendengar melodi yang dah diberikan di rumah dan ketika memandu.  Bila masuk studio saya sudah ada persediaan.  Di studio saya mahu lakukan yang terbaik kerana inilah masanya untuk saya beri tumpuan supaya apa yang terhasil dalam album akan menghiburkan orang," kata Sharifah Aini.

Setelah lama tidak bersama M Nasir bagaimana rasanya bekerja dengannya sekarang?

"Lebih 13 tahun tak jumpa dalam studio ... dia masih macam dia.  Kali terakhir dia pernah bekerja untuk album saya pada tahun 1987 kalau tak salah saya.  Masa itu untuk album saya yang berjudul Kasih. Kalau ada orang kata dia serius atau menakutkan, pada saya dia okey.  Dulu dan sekarang masih 'maintain'.  Saya tak ada masalah.  Malah ada ketika saya lihat dia seorang komposer yang mesra dan ramah dan suka mengusik saya.  Terus terang saya katakan ... Nasir ini kadang-kadang nakal, serius dan ada kehebatannya yang tersendiri.  Nakal tu bila ada kala dia kata saya masih cantik ... seriusnya bila dia bekerja dan hebatnya bila saya rasa puas menyanyikan lagu-lagunya.  Dari nada rendah sampai tinggi, lepas habis.  Puas ... ! " kata Sharifah Aini. "Cuma saya ingin sangat kalau boleh pihak syarikat rakaman saya dan syarikat rakaman Nasir mengizinkan kami berduet dalam satu lagu," kata Sharifah Aini.

Dapat Anugerah Sultan

Ketika merakamkan album ini, Sharifah Aini juga mendapat berita gembira daripada pihak istana Anak Bukit Kedah apabila diberitahu ada rombongan istana akan datang menghantar surat mengesahkan anugerah daripada sultan untuknya sebagai biduanita negara.  "Saya gembira kerana selama ini gelaran itu hanya datang daripada mulut wartawan hiburan kini satu anugerah akan disampaikan.  Insya-Allah pada 6 Oktober ini saya akan ke Kedah untuk anugerah yang tertinggi itu," akui Sharifah Aini gembira.