ARTIKEL DAN ULASAN ALBUM

PILIHAN KLASIK AIDILFITRI (1996)

SHARIFAH AINI DI STUDIO RAKAMAN

oleh Huzz (URTV, 1 November 1996)

Jam 12 malam pada 16 Oktober lalu, saya dan jurufoto Utusan, Rashid Asri Mahfof menjenguk ke studio rakaman 'King' di Petaling Jaya.  Sudah kebiasaan di Kuala Lumpur, rakaman album artis tempatan seringkali diadakan sebelah malam saja.  Jadi kalau ingin mengintai mereka di studio, seringnya di waktu menjelang dinihari.  Malam itu giliran penyanyi bersuara lemak merdu yang sudah lama bertahan sebagai penghibur, Shariifah Aini untuk masuk studio lagi.  Di tengah kesibukannya mempromosikan album SELAMANYA yang menjadi kesukaan peminat, syarikat rakaman EMI meminta Sharifah Aini menyiapkan album terbarunya lagi.

Tetapi dia tidak menolak atau merasa penat.  Namapun penyanyi dan penghibur.  Setelah hampir 30 tahun jadi penyanyi, kerja keluar masuk rakaman itu tidak dirasakan bebanan.  Malah dia menganggap itu satu komitmen yang perlu diterima demi sama-sama terus menyemarakkan industri muzik kita.  Kali ini album khas sempena Hari Raya.  Album yang mengandungi lagu-lagu Hari Raya itu turut memuatkan dua lagu baru khas darinya untuk peminat kesayangannya.

Melangkah masuk ke studio kedengaran suaranya mengalunkan lagu irama joget Joget Hari Raya.  Komposer S Atan yang sedang sibuk mendengarkan nyanyiannya, menyambut kami dengan senyumannya dan menjemput duduk selepas kami bersalaman.  Sharifah Aini sempat mengucapkan salam dari dalam.  Sungguh sedap dan terhibur mendengarkan irama lagu barunya itu.  Lagu Joget Hari Raya nyanyiannya itu sungguh merdu.  Perasaan terbuai bagaikan esok menjelang raya.  Begitulah nyanyian Sharifah Aini mudah meresap sampai ke tulang hitam.

"Macamana lagu ini, ok tak?" katanya selepas selesai merakamkan lagu ciptaan S Atan itu tadi. "Sebetulnya ada dua lagu baru dalam album kak Aini ni.  Satu lagu joget, satu lagi lagu rentak zapin ciptaan Encik Suhaimi.  Sementara lagu-lagu lain yang terdapat dalam album ini ialah lagu hits raya yang pernah dinyanyi dan dipopularkan oleh kak Aini sebelum ini dan beberapa artis lain,' katanya.

S Atan kemudian memasang semula rakaman lagu-lagu yang sudah disiapkan sebelum ini.  Mendengarkan lagu Musafir Di Aidilfitri (nyanyian asal S Jibeng), Selamat Hari Raya (nyanyian Saloma) dan Balik Kampung (nyanyian Sudirman) hati terasa semakin dekat dengan Hari Raya.  Antara lagu lain ialah Suara Takbir, Dendang Perantau, Selamat Hari Lebaran dan Aidilfitri.  Lagu-lagu ini pernah dipopularkan oleh Tan Sri P Ramlee, Ahmad Jais, Fazedah Joned dan Sanisah Huri.  Lagu Balik Kampung digubah dalam irama dangdut.  Begitu juga lagu-lagu lain yang dirakamkan semula, susunan muziknya disusun semula pada irama yang lebih bertenaga.  Gesekan biola seorang seniman berbakat bernama Pak Mat dari Perlis untuk lagu Musafir Di Aidilfitri cukup mengesankan.

"Sebenarnya pada saya, kalaulah Sharifah Aini yang merakamkan semula lagu-lagu lama dalam irama baru, sedikit pun tidak mencacatkan.  Saya pernah tegur album Hari Raya sebelum ini yang jadi rosak bila penyanyinya gagal membawa lagu-lagu penyanyi lama dengan baik.  Itu yang boleh dikatakan menghancurkan lagu orang.  Tapi tidak pada Sharifah yang kenal apa itu lagu dan seninya.  Saya anggap walaupun ada lagu cover version dalam album rayanya ini ... tapi ia tidak langsung mengecewakan.  Itu yang sebaik-baiknya." kata S Atan.  Bagi Sharifah Aini pula menyanyikan lagu-lagu lama begitu membuat hatinya terusik pada kenangan lalu dan penyanyi asal lagu itu.  Seperti lagu Balik Kampung, katanya sewaktu menyanyikannya dia turut terasa sedih mengenangkan arwah Sudirman tidak lagi bersama-sama kita sekarang.

Sharifah Aini Yang 'No Problem'

Bila diajak berbicara perihal Sharifah Aini di dalam studio. S Atan mengakui, "Dia masih hebat.  Malah dalam usia dan pengalamannya sebagai penyanyi dia berjaya membuktikan dia semakin mampu membawa diri dalam studio.  Di Malaysia ni kita boleh bilang dengan jari siapakah penyanyi yang boleh menyudahkan rakaman lagu dengan cepat.  Sharifah Aini boleh rakamkan beberapa buah lagu baru dalam masa beberapa jam saja.

Mungkin Sharifah Aini tahu apa yang perlu dia buat sebelum masuk studio.  Berlatih, menghayati irama dan lagu itu penting.  Selain itu saya percaya ini adalah bakat yang dimilikinya.  Mungkin Sharifah Aini dikurniakan bakat yang memang hebat sebagai penyanyi.  Sekejap saja dengar irama lagu baru yang diberikan ... dia sudah boleh memahami patah lenggoknya."

"Dia senang menjiwainya.  Lagu harus dijiwai.  Itu penting.  Kalau penyanyi tak boleh memahami lagu dan lirik, cara dia menyanyi pun tak kena.  Kita kadangkala pening dengan artis yang datang studio macam tak bersedia.  Kalau masuk studio baru nak hafal lagu ... itu yang susah.  Apapun tentang Sharifah, saya cukup senang bekerja dengannya.  No problem.  Dia faham apa yang perlu dirakamkan," katanya.

Resipi Sharifah Aini Sebelum Ke Studio

Bukannya hendak bercakap soal resepi makanan.  Tapi saya meminta resipi atau rahsia Sharifah Aini sebelum masuk studio.  Katanya, "Kalau nak ke studio untuk merakamkan lagu.  Kak Aini selalu bersedia dengan mood yang baik.  Menyanyi juga memerlukan mood.  Sebab itu sebarang masalah mesti diketepikan kalau mahu memberikan tumpuan di studio.  Satu lagi soal kesihatan, kenalah kita jaga agar kita sentiasa sihat.  Dalam studio pun kak Aini akan bawa air suam atau mineral untuk diminum.  Kesukaan kak Aini mengamalkan minum air begitu.  Sebelum malam kak Aini banyak makan buah-buahan." katanya.

Menghayati lagu, katanya ialah dengan menjiwa melodi dan lirik yang diserahkan.  Sharifah suka mendalami maksud lirik yang diserahkan kepadanya.  Kemudian dia amati betul-betul irama yang disediakan.  Di rumah, di dalam kereta ketika beberapa hari sebelum masuk studio, dia melakukan latihan.  "Kadangkala orang tengok kak Aini menyanyi seorang diri di dalam kereta.  Sebenarnya kita sedang melakukan 'homework' selain di rumah.  Hendak masuk studio bukan bererti kita mesti berlatih semuanya di studio.  Tak tahulah ... orang lain, tapi kak Aini begitulah caranya.  Ada orang kata kak Aini dah dilahirkan dengan bakat menyanyi ... rasanya selain bakat ialah usaha kita sama.  Kita yang mesti mewarnakan lagu-lagu kita, jadi kita kenalah tahu caranya," katanya.

Pagi itu jam 2 pagi kami berangkat pulang setelah Sharifah Aini selesai merakamkan dua buah lagu.  Dia memasuki studio jam 11 malam.