ARTIKEL DAN ULASAN ALBUM

MEMORI SENTIMENTAL HIT (2005)

LEGENDA SHARIFAH AINI: Seraut Wajah Semerdu Suara

(inlay album)

Di sebalik sinar matanya yang menawan dan bercahaya, serta suara emasnya yang lunak merdu dan bertenaga, tentu jutaan peminatnya tidak sesekali menduga, bahawa jauh di lubuk hatinya, penghibur terkenal yang disayangi ini menyimpan pelabagai khazanah pengalaman yang berharga.

Kini setelah 31 tahun biduanita ini mengabdikan dirinya dalam dunia seni yang serba mencabar, bagaikan lilin yang menerangi kegelapan tetapi membakar dirinya sendiri, pengalaman dan ribuan sarang peristiwa yang dilaluinya cukup untuk mematangkan dirinya.  Dia menerima semua yang terjadi dengan tenang dan penuh keredhaan dan pasrah.

Sharifah Aini yang berjiwa lembut dan sensitif, begitu merendah diri, tetapi berani, bersemangat kental yakin dan tegas ... seorang yang penyabar, bijak dan suka berjenaka, disenangi ... dikasihi dan dihormati oleh musuh dan kawan.  Berbekalkan semangat dan keyakinan berserta wang RM75, Sharifah Aini menjejakkan diri di kota yang penuh mencabar dan tidak mahu lagi menoleh ke belakang.  Di Kuala Lumpur beliau mengenali erti sebuah kehidupan yang sebenarnya sebagai insan seni.

Oleh kerana itulah, Sharifah Aini boleh bertahan mengekalkan versataliti beliau di persada seni dan berada di tahap yang tinggi dalam industri muzik Tanahair.

Sharifah Aini anak kedua dari tujuh orang adik-beradik, tidak pernah menyembunyilan kepada umum betapa susahnya kehidupan beliau dan menyanyi sejak umur beliau tujuh tahun.  Beliau dibesarkan oleh kedua orang yang paling dikasihinya di dunia ini ... Allahyarham Datuk dan Neneknya. 

Allahyarham Datuknya hanya seorang pemandu teksi dan Allahyarhamah nenek hanya seorang suri rumahtangga.  Sharifah Aini, memang sejak kecil lagi sudah terkenal di Johor.  Anak yang petah, 15 kali juara Al-Quran Nul Karim di peringkat sekolah agama ... dan peraduan syarahan agama, dan pertandingan bahas sekolah-sekolah ketika itu ...  Anak yang ringan tulang urat membantu Allahyarhamah neneknya menyimpan cita-cita ingin menjadi doktor pakar bedah.

Sharifah Aini, anak yang bermata cantik, peramah ... disenangi orang kampung, menjual nangka mengikut Arwah neneknya menjual wajik durian, kuih kepal, dodol, kuih maskat ...  Di umur semuda tujuh tahun, Sharifah mengambil upah menggiling lada untuk majlis-majlis kenduri.

Mengikut Arwah neneknya memasak di serata tempat ... dan bila beliau 9 tahun, Sharifah sudah pandai menjahit, beliau mengambil upah menjahit baju kurung Johor, menebuk leher baju dengan jahitan 'tulang belut', itulah keistimewaan beliau semata-mata membantu Arwah neneknya yang sangat beliau sayangi.

Segala-galanya bermula ketika beliau di zaman kanak-kanak.  Mencari rezeki dengan menyanyi, kerana membantu Allahyarham Datuknya Tuan Syed Sahil Ali membeli buku sekolah beliau, ketika itu, beliau hanya menerima RM7 dan 10 cucuk sate sebagai upah menyanyi.  "Saya bermula dari bawah" kata Sharifah Aini.

"Tetapi saya begitu bertuah dan amat beruntung menikmati segala kesusahan dan kepayahan, dan ini yang membuatkan saya tidak takut dengan onak duri dan pelbagai cabaran, kalau saya dilahirkan di zaman kesenangan dan semuanya mewah dan mudah buat saya, saya telah lama hilang dari dunia seni" diiringi senyuman manis yang menampilkan susunan giginya yang putih dan cantik.

Sharifah Aini menyanyi sejak kecil, kini menjadi wanita yang begitu matang dalam kariernya, begitu dikenali dan disegani telah berama syarikat rakaman EMI selama 31 tahun, satu ikatan perkahwinan yang dicemburui oleh banyak pihak dalam Industri Muzik negara ini, ini sudah cukup untuk kita membuat penilaian kerektornya, seorang yang setia dan tidak pernah lupa diri.

Setiap persembahannya penuh sesak, dan peminat dari jauh dan dekat, tidak mahu melepaskan peluang menyaksikan beliau, sesuatu yang tidak pernah berlaku dalam industri muzik tanahair.  Beliau anak seni yang tidak mengenal penat lelah dan tidak takut kepada bayang-bayang sendiri.

Penyanyi dan penghibur yang tetap memukau dan dikagumi dengan kejelitaan dan suara bagaikan buluh perindu masih teratas di singgahsana populariti setelah 31 tahun, ini bukan sesuatu yang mudah dilakukan oleh sesiapapun tetapi dapat dilakukan oleh seorang bintang ternama seperti Biduanita Sharifah Aini.

Sharifah Aini, penyanyi serba boleh, menyanyikan berbagai-bagai rentak lagu, Inggeris, Pop, Slow Rock, R&B, Ballad, Ghazal, Asli, Deli, Zapin, Joget, Inang, Dondang Sayang, Irama Padang Pasir, Irama HIndustan, Nasyid.

Di situ sebenarnya terletak keistimewaan Biduanita Sharifah Aini.  Beliau mempunyai jutaan peminat dari pelbagai golongan bangsa dan umur, di samping wajah yang cantik dan personaliti yang amat menarik, keramahan dan keikhlasan sikapnya begitu disanjungi oleh peminat-peminat beliau.

Kini Sharifah Aini, ibu tunggal kepada enam orang cahaya mata, seorang anak lelaki dari hasil perkahwinannya dengan bekas suami pertama dan 5 orang anak-anak angkat, 2 lelaki dan 3 perempuan, menjalani sebuah kehidupan yang terpelihara dari gossip dan seorang yang begitu pandai menjaga imejnya, sukar dilihat di mana-mana, begitu private tentang keluarganya.  Beliau seorang yang amat penyayang kepada kanak-kanak.  Kalau tidak ada aktiviti membuat persembahan, beliau senang menghabiskan masa berada di rumah bersama keluarganya.

Di kalangan sahabat karib, Sharifah Aini dikenali dengan skil masakan beliau yang begitu enak, masakan Melayu, Barat, Timur Tengah, masakan Thai juga masakan Cina, dan seorang yang suka membuat kerja rumahtangga, hiasan dalaman, berkebun.  Beliau suka menghabiskan masa dengan membaca bermacam-macam buku dan menonton DVD.  Koleksi kegemaran beliau ialah komedi, drama keluarga, siri penyiasatan, kisah cinta dan dokumentari menganai alam, kemiskinan dunia, bencana alam, kesihatan, haiwan, penemuan sains dan teknologi dan juga 'travelling' dan 'living'.

Sharifah Aini senantiasa memikirkan bagaimana cara untuk beliau memperkembangkan dan terus menaikkan mertabat Khazanah Budaya Seni Lagu Melayu Tradisional ke mata dunia untuk generasi semasa dan genarasi yang akan datang.

Selama bergelar penghibur, Sharifah Aini sudah menghiburkan masyarakat menerusi lebih 3,000 pertunjukan amal sejak beliau berumur 7 tahun lagi, untuk ratusan badan amal.  Kini Sharifah Aini, Bintang Evergreen satu nama besar dan cukup disegani kerana sikap penyayang yang dididik dalam dirinya sejak kecil, beliau senantiasa dikagumi masyarakat.

Gelaran ini juga seiring dengan kenyataan Sasterawan Negara A Samad Said "Biduanita Unggul ini seorang penyanyi yang memberi jiwa kepada setiap lagu yang beliau nyanyikan ... dan beliau adalah seorang penyanyi yang menyanyi dari dalam".

Seraut wajah jelita, semerdu suara Sharifah Aini, Penyanyi Legenda Kebanggaan Negara.

Sama-samalah kita mendoakan kesejahteraan serta kejayaan buat beliau, insya-Allah.

Syabas !!!.