ARTIKEL DAN ULASAN ALBUM

KAU YANG BERNAMA (1986)

ALBUM TERBARU AINI MENCIPTA SEJARAH

(Jelita: Hiburan & Seni - Jun 1986)

ihsan Ramli Ahmad@https://www.facebook.com/ramli.ahmad.121398

 

Album Sharifah Aini berjudul Kau Yang Bernama, yang sekian lama dinantikan akhirnya berada di pasaran.  Pelbagai tindak balas diperolehi daripada peminat-peminat terhadap album terbarunya ini.

Suara Aini memang tidak perlu dipertikaikan lagi.  Kemerduannya saja membuat peminat terus membeli albumnya tanpa berfikir dua kali.  Tambahan pula tiga daripada lagu dalam albumnya ini adalah ciptaan penggubah terkenal dari Indonesia, A Ryanto iaitu Kau Racun Hidupku, Hatiku Melekat Di Hatimu dan Yang Sangat Ku Sayang.

Lagu-lagu itu paling lama disiapkan dan menjadi sejarah dalam keluaran album Aini.  Hal ini juga menyebabkan peminat tidak sabar menunggu dan membelinya.

Dalam keributan peminat memperkatakan mengenai album ini, saya cuba mendengar dan terus mendengar lagu-lagunya.  Tidak tahu di mana silapnya tetapi nyata sekali, cuma beberapa lagu saja yang menarik.

Memanglah, Aini berhati-hati menyebut setiap lirik lagunya - jelas dan berkesan tetapi masih gagal menjadikan kesemua lagu dalam albumnya itu sedap didengar.

Di mana silapnya?  Saya terus bertanya.  Mungkinkah muziknya tidak sesuai dengan senikata lagu yang berat dan panjang-panjang menyebabkan ia sukar didendangkan serta sesak nafas dibuatnya.  Contohnya, lagu Ku Berteduh Di Sebalik Cintamu, malah lagu Kau Racun Hidupku dan lagu Yang Sangat Ku Sayang juga tidak sebaik yang dijangkakan.