ARTIKEL DAN ULASAN ALBUM

DATUK SHARIFAH AINI IN DOWN
MEMORY LANE
(2009)

(Zon Muzik oleh Zul Husni Abdul Hamid, HIP - Berita Minggu, Khamis, 13 Ogos 2009)

Permata seni yang meledak populariti dengan sentuhan Seniman Negara, Datuk Ahmad Nawab turut melalui perjalanan karier yang mencabar apabila ditawarkan merakamkan lagu berbahasa Inggeris.  Sebagai penyanyi versatil, cabaran itu disahut anak kelahiran Johor Bahru ini lalu melahirkan LP Inggeris pertama, Forever And Ever terbitan Reggie Verghese pada 1977.

Membanggakan apabila penyanyi itu berjaya mencipta kelompok pendengar baru, malah Forever And Ever dan Without You membolosi stesen radio elit ketika itu seperti FM Stereo dan Redifussion.  Usai merakamkan album terakhir bersama Ahmad Nawab dan projek khas bersama Allahyarham Hamzah Dolmat, dia kembali ke studio bersama Reggie menghasilkan pula, Woman In Love.  Single popular yang sinonim dengan dirinya seperti Woman In Love, I Know I'll Never Love This Way Again dan One Way Ticket masih diputarkan stesen radio popular berkonsepkan retro.  Sebagai bonus, sebuah lagu ciptaan komposer tempatan, Dream Of You turut dimuatkan.

Usahanya tidak terhenti setakat itu kerana Sharifah Aini terus mrakamkan empat lagi album Inggeris termasuk album kompilasi, Just For You.  Album itu memuatkan lagu seperti Reunited, Fire dan You Decorated My Life.  Dia turut melakukan eksperimen apabila mengangkat lagu rakyat yang dinyanyikan dalam bahasa Inggeris meneusi album, Rasa Sayang (Feelings Of Love).

Penghujung 1982, Sharifah Aini membawakan album kompilasi lagu Inggeris pertama miliknya, Collection Plus 2 bersama dua lagu baru, Endless Love (duet bersama Ali Ahmed Anwar) dan I Don't Want To Lose Your Love.  Selepas dua tahun, album Inggeris terakhirnya dirakamkan iaitu He Is Beautiful To Me, memuatklan lagu hits seperti Hello, Casablanca dan With You I'm Born Again.