ARTIKEL DAN ULASAN ALBUM
HIT SENTIMENTAL (2013)
MERDU SUARA KAK PAH Riadz Radzi (Harian Metro, Intermezzo - Selasa, 5 November 2013) |
"Suaranya ketika bercakap pun sedap didengar," ini komen seorang rakan mengenai Datuk Sharifah Aini. Secara peribadi, saya memang bersetuju dengan kenyataannya kerana biduanita itu memang terkenal dengan kelunakan suaranya. Sejak mula terbabit sebagai penyanyi di awal tahun 70-an hingga sekarang, kemampuan vokal Sharifah Aini tidak boleh dipertikaikan. Tidak hairanlah dia digelar Ratu Seni Suara, penyanyi 'evergreen' dan biduanita negara. Apa yang pasti, selain suara lemak merdu, setiap perkataan dalam lirik lagunya turut dilontar dengan begitu jelas dan berkesan. Itulah keistimewaan Sharifah Aini dari dulu. Album ini memuatkan lagu-lagu popularnya yang dirakam dari tahun 1972 hinggalah yang terbaru pada 2000 menerusi album Seribu Mawar. Menghayati 34 lagu yang dimuatkan dalam album ini sebenarnya cukup mengasyikkan. Bermula dengan lagu-lagu klasiknya seperti Yang Mula dan Akhir, Hapuslah Airmata, Tiada Maaf Bagimu, Airmata Seorang Insan hinggalah Sebuah Ilusi dan Seribu Mawar, album ini menjanjikan kepuasan buat anda peminat setia Sharifah Aini atau lebih mesra disapa Kak Pah ini. Selain itu, album ini turut memuatkan lagu-lagu 'cover' seperti Tak Mungkin Berpaling daripada Slam, Kenangan Lalu (Flybaits), Menaruh Harapan (Zaiton Sameon), Sampai Hati (Spring) dan Getaran Jiwa (Tan Sri P Ramlee). Dalam membawakan lagu-lagu 'cover', Sharifah Aini berjaya melakukannya dengan baik sekali. Dalam erti kata lain, beliau berjaya membawakannya dalam lenggoknya yang tersendiri. Malah, tidak keterlaluan dikatakan ada di antara lagu-lagu terbabit menjadi lebih sedap apabila dinyanyikan kembali oleh Sharifah Aini. Malang sekali album ini tidak memuatkan lagu Gerimis Mengundang (Slam) dan Rindu Serindu Rindunya (Spoon) yang dirakam semula oleh Sharifah Aini beberapa tahun lalu dan dibawa dengan begitu baik sekali. Antara lagu-lagu lain dalam album ini ialah Mengharap Cintamu, Malam, Hatiku Sudah Patah, Inilah Laguku, Kucurah Kasih Dalam Lagu dan Laguku Malam Ini. |