ARTIKEL DAN ULASAN ALBUM
DEWI SUKMA (1998)
SHARIFAH AINI & UJI RASHID MASIH MEMUKAU DALAM 'DEWI SUKMA' oleh Saharudin Musthafa (Pancaindera: Mingguan Malaysia, 17 Januari 1999) |
Dua personaliti ini banyak menyumbang kepada kemajuan seni negara. Selain sudah melibatkan diri dalam bidang seni selama hampir tiga dekad, kedua-dua artis sensasi ini juga terus aktif menyumbangkan suara mereka. Kehadiran mereka sentiasa dinantikan oleh segenap lapisan peminat mereka baik yang melihat kejayaan mereka dari kampung-kampung mahupun di kota-kota besar. DEWI SUKMA menemukan kedua-dua mereka secara eksklusif. Buat kali pertama Sharifah Aini dan teman seperjuangan Uji Rashid digabungkan dalam sebuah album yang julung-julung kali menemui peminat seni tanah air. Sharifah Aini, suatu nama besar yang tidak perlu diperkenalkan lagi. Kehadirannya sentiasa dialu-alukan. Sumbangan artis senior sepertinya di persada seni tanah air terus dinanti oleh artis-artis junior. Kelunakan suara yang ada pada Sharifah Aini hingga kini masih tiada penggantinya. Malah dia juga salah seorang daripada bintang besar yang terus kekal 'jodohnya' dengan syarikat rakaman EMI. Mengenali Sharifah Aini bukan suatu perkara yang sukar. Biarpun pelbagai kejayaan dan populariti menggunung tinggi sudah diraihnya, namun dia punya seperkara yang begitu menarik perhatian pihak media dan peminat iaitu mesra melayan setiap pertanyaan yang diajukan kepadanya. Dalam satu pertemuan dengannya tidak lama dulu, Sharifah Aini sering memberitahu, sebagai artis dia sudah puas melalui jerit perih melayari bahtera seninya. Katanya, tidak ada guna baginya mendabik dada bercerita tentang kejayaan yang sudah dicapainya kerana baginya semua kejayaan yang diciptanya cukup untuk ingatannya pada masa hadapan kelak. Seperti mana Sharifah Aini, begitu juga dengan Uji Rashid. Dia seorang yang cukup sederhana orangnya. Kemerduan suara yang dimilikinya membuatkan ramai peminat yang tidak lena tidur mereka. Kala zaman kegemilangannya pula, sana sini peminat seni memperkatakan tentang keserasian yang ada pada Uji. Lebih meningkatkan popularitinya, bila dia berganding bahu dengan Hail Amir - kedua-dua mereka merupakan pasangan penyanyi yang cukup ideal. |
ALBUM 'DEWI SUKMA' DAPAT SAMBUTAN HANGAT (Utusan Malaysia - Rabu, 6 Januari 1999) |
DEWI SUKMA terbitan dan edaran EMI (Malaysia) Sdn. Bhd. sebenarnya sebuah koleksi yang cukup istimewa dan perlu dimiliki oleh mereka yang 'gilakan' Sharifah Aini dan Uji Rashid. Dia bukan sekadar album biasa. Sebaliknya, DEWI SUKMA merupakan satu rakaman penghargaan EMI kepada dua bintang itu yang selama ini begitu setia dengan syarikat rakaman ini. Menurut Eksekutif Promosi EMI, Nawar Deriss, penerbitan album kompilasi sebegini merupakan usaha paling berkesan bagi EMI untuk menyatakan rasa bangga mereka terhadap kemampuan artis mereka dalam menarik perhatian pembeli album Melayu. "Apatah lagi kedua-dua mereka mempunyai rekod penjualan album yang baik di samping punya pengaruh yang besar untuk menarik perhatian pembeli album. Selain itu, DEWI SUKMA juga hadir sebagai memberitahu peminat seni bahawa Sharifah Aini dan Uji Rashid terus unggul dan bersedia menyumbangkan sesuatu untuk kemajuan industri seni," jelasnya lagi. DEWI SUKMA kata Nawar, memuatkan 20 buah lagu yang cukup popular sekitar tahun 70-an, 10 buah lagu dendangan Sharifah Aini sementara 10 buah lagi nyanyian Uji Rashid. Antara lagu nyanyian Sharifah Aini yang dimuatkan dalam album ini ialah Surat Dari Seberang, Pengorbanan, Dekatlah Padaku, Hapuslah Airmatamu, Tiada Maaf Bagimu dan lain-lain. Sementara lagu-lagu Uji Rashid yang dimuatkan dalam album itu pula ialah Kau Milik Hatiku, Kali Terakhir Ku Lihat Wajahmu, Namamu Terukir Di Hatiku, Semakin Hari Semakin Sayang dan banyak lagi. |