ARTIKEL DAN ULASAN ALBUM

BUKAN CINTA BIASA (2005)

KAK PAH MENUSUK JIWA

Ekspresi Muzik Elly (Harian Metro, 14 Februari 2006)

Saya sendiri tidak tahu bagaimana untuk mengkategorikan album ini.  Sebab selain lagu, album ini juga turut memuatkan beberapa petikan surah yang dibacakan sendiri oleh biduanita negara ini.  Namun, tanpa membabitkan sama petikan surah itu, pop dakwah bagi saya lebih menepati genre muzik album ini kerana kebanyakan lagu yang dimuatkan lebih berteraskan muzik pop.  Apapun, 'kekuatan' album ini sebenarnya lebih terletak kepada bacaan setiap petikan surah yang dimuatkan iaitu Surah Al Mukminun (Ayat 1-5), Surah Al-Mulk (Ayat 1-2), Surah Al-Maidah (Ayat 7) serta Surah Ar-Rahman  (Ayat 25-30).

Ada sebab mengapa saya berkata begitu.  Bagi mereka yang tidak sempat menyaksikan kehandalan Datuk Sharifah Aini atau Kak Pah sebagai qariah pada zaman kanak-kanak dan remajanya (terutama mereka yang lahir pada 1975 hinggalah sekarang), inilah masanya.  Sememangnya Kak Pah seorang qariah yang tulen. Daripada bacaan petikan surah itu saja, anda sudah mampu menilai ketokohannya sebagai qariah.  Malah daripada cara penyampaian, intonasi, tajwid mahu pun adab serta tata tertibnya tatkala mengalunkan bacaan ayat al-Quran itu, memang nampak jelas sekali kesempurnaannya. Hingga terasa sekali ia menusuk ke jiwa.  Terutama apabila Kak Pah membacakan petikan Surah Al-Rahman.  Sayangnya, terlalu singkat petikan surah yang dimuatkan Kak Pah di dalam album ini.  Tak puas mendengarnya.  Harap-harap, selepas ini Kak Pah akan pertimbangkan pula permintaan ramai untuk mendengarnya membaca setiap surah secara penuh, mahupun secara juzuk.

Bagi lagu yang dimuatkan dalam album ini, kebanyakannya memang mempunyai mesej yang menepati konsep album ini.  Ada antaranya memang lagu yang dibawa Kak Pah sendiri seperti Keluhan Hatimu, Yayadan, Ku Pohon Keredhaanmu, Qasidah Di Jabal Rahmah serta Tiada Yang Kekal (Melainkan Allah).  Ada pula lagu orang lain yang didendangkan semula seperti Permaidani, Selimut Putih/Keagungan Tuhan serta puisi Datuk A Samad Said, Tetamu Senja yang dibawanya semula.  Malah, sebuah lagu baru ciptaan Yasin, Breaking The Silence turut dimuatkan.  Ia menceritakan luahan serta isi hati Kak Pah mengenai kontroversi yang menimpa dirinya.

 

 

 

MEMANG ALBUM LUAR BIASA

oleh Suzan Ahmad (Bi Pop: Berita Minggu, 27 November 2005)

Bagai lahir satu perasaan sayu jauh di sanubari tatkala mendengarkan album ini.  Saya membenarkan hati ini untuk menyelami setiap kalimah dan ayat yang dibacakan.  BUKAN CINTA BIASA nyata bukan sebuah album biasa.  Ia tambah luar biasa kerana menjadi antara hasilan terbaru Biduanita Negara Datuk Sharifah Aini yang diterbitkan khusus sempena Ramadan dan Syawal.

Kalau selalu mendengar alunan lunak merdu kak Pah dalam membawakan lagu yang berkonsep ketuhanan namun beliau tidak pernah tampil dengan sebuah album begini.  Tersentuh hati apabila mendengar vokal qariah kak Pah dalam menyempurnakan bacaan empat ayat suci yang ringkas dalam album ini iaitu Surah al-Mukminun (Ayat 1-5), Surah al-Mulk (Ayat 1-2), Surah al-Maidah (Ayat 7), dan Surah ar-Rahman (Ayat 25-30).  Unik lagi tersendiri.

Suka saya menyatakan bagaimana lagu Sketsa Kehidupan ciptaan The Zikr dan Nazri Johani mampu menyapa hati insani dengan kesimpulan tujuan arah hidup manusia yang sebenar-benarnya. Benarlah kata lagu itu "Bila selangkah kurapat padaMu, seribu langkah Kau rapat padaku."

BUKAN CINTA BIASA turut menawarkan dua lagu yang diberikan nafas baru iaitu Breaking The Silence dan Tetamu Senja.  Selainnya menceriakan lagi BUKAN CINTA BIASA ialah Yayadan, Permaidani, Kupohon KeredhaanMu, Selimut Putih & Keagungan Tuhan, Inikah Manusia, Kalam Jauhari, Fitrah Insani dan banyak lagi.  Jelas BUKAN CINTA BIASA album yang penuh unsur kerohanian yang mampu menjadi santapan jiwa.  Ia bisa membawa kita ke arah kesedaran dan keinsafan, insyaAllah.

 

 

 

ALBUM BARU KAK PAH MUNCUL 25 OKTOBER INI

oleh Raja Nurfatimah Mawar Mohamed (Bi Pop: Berita Minggu, 23 Oktober 2005)

Sudah banyak ranjau dan duri 'dipijak' Biduanita Negara, Datuk Sharifah Aini selama tempoh 38 tahun bergelar anak seni.  Namun langkahnya itu tidak pernah tersekat atau terhenti berkat keyakinan, ketabahan, usaha serta doa yang tulus.  Biarpun pernah terjebak dengan pelbagai kontroversi, Sharifah sentiasa gagah menghadapinya.  Sesudah melancarkan buku kontroversi Breaking The Silence, bulan lalu, penghibur evergreen itu muncul lagi bersama sebuah album istimewa buat peminatnya.  Bertepatan dengan judulnya BUKAN CINTA BIASA, album itu menampilkan barisan lagu berkonsepkan kerohanian dan ketuhanan naungan syarikatnya yang setia, EMI Malaysia. Mula berada di pasaran pada 25 Oktober ini, BUKAN CINTA BIASA padat dengan elemen kemanusiaan dan keinsafan.  Untuk memperkenalkan album itu, single pertama, Breaking The Silence karya Yasin, dipertaruhkan sebagai halwa telinga.  Ia memaparkan perjalanan pahit dan manis penyanyi lagu 'Bunga Tanjung' itu dalam mengharungi kehidupan.

Bagi Sharifah, Breaking The Silence adalah sebuah lagu motivasi yang menyemarakkan pendengarnya.  "Ia cukup bererti buat diri saya.  Liriknya ada kaitan dengan perjalanan hidup saya dan mungkin juga ada kena mengena dengan pendengar di luar sana.  Nyata Yasin seorang komposer dan penerbit muda yang kreatif.  Dia memahami situasi yang melanda diri saya selama ini dan kami banyak bekerjasama di studio rakaman," jelas Sharifah.  Beliau berkata, lagu Tetamu Senja pula dipetik daripada puisi karya sasterawan handalan, Datuk A Samad Said.  Susunan muziknya diperindahkan lagi dengan adanya iringan alat muzik tradisional seperti gambus.  "Sajak tulisan Datuk A Samad Said itu cukup bererti kerana ia terselit kata-kata yang mengingatkan kita mengenai kelalaian diri tatkala hari beransur senja," katanya.

Selain Breaking The Silence dan Tetamu Senja, lagu lain yang turut dimuatkan dalam album BUKAN CINTA BIASA ialah Permaidani, Ku Pohon Keredhaan Mu, Sketsa Kehidupan, Selimut Putih, Qasidah Di Jabal Rahmah, Yayadan, Kalam Jauhari, Keluhan Hatiku, Inikah Balasannya, Kisah Yang Lalu, Kepulangan Dalam Iman, Fitrah Insani dan Tiada Yang Kekal Melainkan Allah.

Apa yang menarik, buat julung kalinya, Sharifah menyelitkan petikan empat bacaan ayat suci al-Quran dalam album unik itu.  Empat surah itu adalah Surah Al Mukminun (Ayat 1-5), Surah Al-Mulk (Ayat 1-2), Surah Al Maidah (Ayat 7) dan Surah Ar-Rahman (Ayat 25-30).  Berselang-seli dengan pembacaannya, terjemahan untuk ayat terbabit juga diselitkan.  Sharifah benar-benar berharap, album berkenaan akan menjadi santapan rohani kepada mereka yang sudi menikmati dan menghayatinya.

"Album ini bukan khusus untuk dihayati ketika Ramadan saja malah sesuai didengar pada bila-bila masa.  Saya juga mendapatkan nasihat daripada Asri Rabbani dan rakannya, Ustaz Saiful, terlebih dulu sebelum memilih keempat-empat surah itu," kata Sharifah.  Sementara itu, beliau kini masih berada di Tanah Suci Makkah kerana menunaikan umrah.  Turut bersamanya sekumpulan peminat yang berangkat ke sana lebih awal dan mereka akan kembali menjelang Aidilfitri kelak.

 

 

 

BUKAN CINTA BIASA

oleh Zul Husni Abdul Hamid (Berita Harian, Jumaat, 21 Oktober 2005)

'Breaking The Silence' bukan sekadar judul autobiografi yang menceritakan laluan penuh berliku yang dilalui biduanita jelita, Datuk Sharifah Aini.  Tetapi ia turut diabadikan sebagai judul lagu dalam album terbaru penyanyi itu, BUKAN CINTA BIASA.  Breaking The Silence memaparkan segala perjalanan pahit dan manis penyanyi yang akrab disapa Kak Pah dalam mengharungi kehidupannya.  Malah, lagu itu juga sebagai motivasi yang bakal menyemarakkan semangat peminat setia Kak Pah.  Itu yang diharapkannya lewat album BUKAN CINTA BIASA yang berada di pasaran Oktober ini.

BUKAN CINTA BIASA cuba membawa pendengar lari daripada kebiasaan irama komersial yang kerap dinyanyikannya.  Ia menjurus kepada konsep kerohanian, ketuhanan dan nasyid - sesuai untuk dipasarkan pada bulan yang penuh keberkatan ini.  Dengan gabungan pelbagai genre muzik yang berbeza, BUKAN CINTA BIASA menguatkan lagi penyampaian isi yang tersirat menerusi lirik ke arah ketuhanan, kemanusiaan, keinsafan dan kesedaran.

"Dua lagu yang dimuatkan dirakamkan semula khas untuk pendengar iaitu Breaking The Silence ciptaan Yasin dan Tetamu Senja, ciptaan Siso (Kopratasa) yang diangkat daripada sajak karya Sasterawan Negara, Datuk A Samad Said," kata Pengurus Kanan Promosi Bahagian Domestik EMI Music Malaysia, Rosmanizawani Nadzir atau Jaja.  Breaking The Silence dipilih sebagai single pertama, disusuli Tetamu Senja yang diberi sentuhan menarik apabila diiringi alat muzik tradisional, gambus.

Buat julung kalinya, album ini diselitkan dengan bacaan ayat suci al-Quran daripada biduanita itu sendiri.  Ayat al-Quran itu dipetik daripada empat surah iaitu Al Mukminun (ayat 1-5), Al Mulk (ayat 1-2), Al Maidah (ayat 7) dan Ar-Rahman (ayat 25-30).  "Ayat ini turut diberi terjemahan supaya peminat dapat menghayati dengan lebih jelas lagi," katanya.  Unsur keagamaan dan kerohanian dimuatkan dalam album ini dijangka akan menjadi santapan jiwa serta rohani, di samping membawa pendengar ke arah kesedaran serta keinsafan.  Selain dua lagu baru itu, BUKAN CINTA BIASA juga memuatkan lagu yang pernah popular tidak lama dulu.  Antaranya Permaidani, Ku Pohon Keredhaanmu, Sketsa Kehidupan, Selimut Putih/Keagungan Tuhan, Qasidah Di Jabal Rahmah, Yayadan, Kalam Jauhari dan Keluhan Hatiku.

Kak Pah Abadikan Diri Di Makkah

Umum mengetahui, selama 38 tahun menjadi anak seni banyak ranjau yang terpaksa ditempuhi penyanyi bersuara lunak itu.  Rintihan hatinya tiada siapa yang tahu.  Lalu, kesempatan pada bulan penuh keberkatan ini, Kak Pah mengabdikan dirinya kepada Allah.  Penyanyi itu kini sudah seminggu berada di Makkah untuk mengerjakan umrah bersama peminatnya.  Ketibaan bulan yang paling dinanti lantaran tidak banyak aktiviti seni.  Selain itu, kesempatan di sana juga dapat melepaskan rindu terhadap anak bujangnya, Mohd Aliff Omar yang melanjutkan pelajaran di Tanah Haram itu.  Pemergian yang akan menghapus kesedihan, lantaran Ramadan tahun lalu ditempuhinya dengan penuh duka.  Tentu ramai masih ingat kejadian pahit yang berlaku kepadanya, tahun lalu menjelang permulaan puasa.  Justeru, Ramadan dan Syawal ini dinantinya dengan penuh warna indah bersama doa perjalanannya akan terus diberkati dan dirahmati Allah.

 

 

 

SHARIFAH AINI CURAH RASA HATI DALAM ALBUM

oleh Serimah Mohd Sallehuddin (Berita Harian - Selasa, 4 Oktober 2005)

Terlalu banyak ranjau yang dilalui biduanita negara ini selama 38 tahun bergelar anak seni.  Ingin saja dia melempar jauh segala musibah yang melanda dirinya lantaran tidak sanggup menanggung cercaan.  Namun, Datuk Sharifah Aini tidak mudah melatah sebaliknya dia semakin kuat melawan segala fitnah yang ditabur ke atas dirinya.  Kini, Sharifah Aini atau Kak Pah bersyukur ke hadrat Allah Yang Maha Esa berkat doa yang dipinta saban hari hidupnya kembali normal.

Kekecohan membelenggu hidupnya hampir setahun lalu kini diabadikan dalam lagu untuk album kompilasi yang akan menemui peminatnya tidak lagi.  Gelora sentuhan Yasin Sulaiman cukup bererti buat penyanyi ini tatkala melihat bait ayat yang seolah-olah bersangkutan dengan perjalanan hidupnya.  "Yasin seorang pencipta lagu yang bagus.  Dia seakan-akan memahami situasi yang melanda diri Kak Pah.  Lirik lagu ini seolah-olah berkaitan musibah yang melanda Kak Pah.  Memang Kak Pah sudah lama berhasrat hendak mendapatkan khidmat Yasin kerana dia sangat versatile."

"Lagu yang dihasilkannya mempunyai mesej cukup mendalam.  Album ini ibarat buah tangan Kak Pah untuk peminat.  Sebelum ini ramai peminat mencadangkan supaya Kak Pah merakam lagu berunsur ketuhanan.  Bagi Kak Pah ini adalah masa yang amat sesuai sempena Ramadan.  Tetapi album ini bukanlah khusus Ramadan kerana ia berkonsepkan kerohanian dan sesuai didengar bila-bila masa saja kerana ada 10 petikan ayat al-Quran daripada 10 surah turut dimuatkan.  Kak Pah mendapatkan nasihat Ustaz Saiful iaitu rakan Asri dari kumpulan Rabbani untuk memilih surah ini," katanya yang ditemui ketika rakaman lagu Gelora di King Studio.

Selain Gelora, satu lagi lagu berjudul Tetamu Senja akan turut termuat dalam album itu nanti.  Sajak yang ditulis Datuk A Samad Said itu cukup bererti buat diri biduanita ini kerana terselit kata-kata yang penuh makna kerana ia mengingatkannya mengenai kelalaian bahawa diri semakin menginjak senja.  "Kak Pah suka lagu berbentuk puisi, lagu untuk hiburan mesejnya terlalu ringan.  Kak Pah suka duduk dan menghayati lagu agama kerana ia adalah antara lagu kegemaran Kak Pah.  Kak Pah juga banyak mengumpul lagu sufi, rumi kerana ada petikan daripada bijak pandai, nabi, Rasul dan khalifah," katanya lagi. 

Selain Gelora, Tetamu Senja dan ayat suci al-Quran, album kompilasi yang dijangka berada di pasaran Ramadan nanti turut memuatkan beberapa lagu daripada album Yayadan antaranya Permaidani, Sebuah Renungan dan Syukur.  Biarpun hanya ada dua lagu baru namun album itu juga akan dipek dengan wajah baru yang lebih segar  Kehadiran album itu juga adalah salah satu hasrat Sharifah Aini untuk memenuhi permintaan peminat yang selalu bertanya kepadanya mengenai album berunsur kerohanian.

"Mungkin ini saja bekalan yang dapat Kak Pah tinggalkan buat peminat sebelum Kak Pah mengucapkan meninggalkan dunia seni ini dua tahun lagi," katanya.  Manakala Disember nanti, penyanyi bersuara lunak ini akan tampil dengan sebuah album solo terbaru yang berkonsepkan pop komersial.  Bagi Sharifah Aini dia ingin lari daripada konsep albumnya sebelum ini untuk memberi kelainan kepada pendengar.

Mengabadikan Diri Kepada Tuhan

Bagi Sharifah Aini, setiap kali tibanya Ramadan, ibadat kepada Allah akan cuba digandakan.  Bulan yang mulia ini adalah saat paling ditunggu kerana perjalanan seni agak terbatas dan dapat menumpukan perhatian pada ibadat semata-mata.  Tahun ini, Kak Pah akan meninggalkan tanah air tercinta selama sebulan untuk menyambut hari lebaran di Tanah Suci Makkah.  Selain dapat berjumpa anak bujangnya Aliff, Kak Pah juga ingin menghabiskan masa beribadat.  "Ya ... kadang kala apabila manusia itu dikurniakan kesenangan mereka akan mudah leka.  Kak Pah tidak mahu ini berlaku, disebabkan tahun lalu Kak Pah menyambut Ramadan dan Syawal dengan kesedihan.  Tahun ini Kak Pah ingin balas dendam dan habiskan masa selama sebulan di Makkah.  Kak Pah ingin berdoa supaya segala musibah dan fitnah yang menimpa diri Kak Pah akan berlalu.  Selain itu Kak Pah juga ingin berdoa untuk kesejahteraan keluarga Kak Pah.  Sebelum melangkah ke sana, Kak Pah akan pastikan kebajikan anak-anak di rumah terjamin.  Kak Pah akan membeli-belah untuk anak-anak terlebih dulu," katanya.