ARTIKEL DAN ULASAN ALBUM

ALBUM HARI RAYA (1981)

REKOD

(Keluarga - Ogos, 1981)

Sesuai untuk hari Lebaran yang meriah ini, EMI menerbitkan ALBUM HARI RAYA' yang membariskan semua artis-artis terkenalnya untuk 10 buah lagu merdu yang penuh erti bagi perayaan seperti ini.

Saudara Warhap, pegawai perhubungan EMI memberitahu, album ini membawa konsep sebenar tentang hari raya, menceritakan perasaan individu tentang berbagai kisah ketika hari-hari begini.  Album ini yang rakamannya dibuat di Kuala Lumpur dan Singapura adalah hasil terbitan bersama penggubah-penggubah Omar Taib, S Atan dan Ooi Eow Jin.  Ia mengandungi lagu-lagu merdu untuk hiburan sepanjang perayaan yang meriah ini:

Sudirman membawakan 'Dari Jauh Ku Pohon Maaf', berentak dangdut, mengisahkan seorang anak yang tidak dapat pulang untuk berhari raya bersama keluarga kerana tugas yang tidak dapat dielakkan.

Aman Shah dengan 'Kepulangan Yang Di Nanti', lagu gubahan Omar Taib dengan senikata AS, menceritakan harapan keluarga untuk menemui akan-anak di hari bahagia ini.

Sharifah Aini membawakan sebuah lagu lamanya tetapi telah digubah secara yang lebih menarik dan sesuai untuk perayaan.  Lagu berjudul 'Hari Yang Mulia', tetap segar tetap merdu.

Noor Kumalasari pula meyumbangkan 'Pulang Di Hari Raya' lagu gubahan Syed Haron yang dijangka merupakan 'hit' untuk album ini.

Rosemaria menyatakan rasa sedihnya kerana tidak bersama orang yang dikasihi di saat-saat kegembiraan begini.  Lagunya 'Di Pagi Aidilfitri' adalah sesuatu yang sayu dan menusuk tetapi penuh erti.

Black Dog Bone membawakan 'Cahaya Aidilfitri' membawakan kisah anak-anak yatim menyambut hari yang berbahagia ini tanpa kaum keluarga dan memerlukan simpati dari masyarakat.

Gaya Zakry muncul dengan 'Ucap Selamat Hari Raya' sebuah lagu rancak yang membawakan perasaan keriangan kerana dapat bertemu teman dan memberi ucapan masing-masing.

DJ Dave pula menceritakan kesepian dan kesedihan seorang jejaka yang telah kematian kekasih dan menziarahi pusara dalam dingin pagi raya.  Lagunya berjudul 'Mekar Kasih Di Kuntum Melati'.

Tak ketinggalan juga sebuah lagu yang dinyanyikan beramai-ramai, berjudul 'Senandung Hari Raya' berentak joget gubahan Oooi Eow Jin.  Setiap yang memberi album ini akan menerima poster istimewa dari EMI.

 

Nota:  Bagaimanapun setelah album ini diedarkan lagu 'Hari Yang Mulia' nyanyian Sharifah Aini merupakan versi asal yang pernah diterbitkan untuk album SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI (1973)