SHARIFAH AINI SEBAK KERANA ANUGERAH BULUH PERINDU

oleh Huzz  (Mingguan Malaysia: Pancaindera, 20 Ogos 2000)

Setelah menerima Anugerah Wirama (AIM 2000) awal tahun ini dan Anugerah Pencapaian Seni Tiga Dekad (Papita 2000) beberapa bulan lalu, penyanyi terkenal Sharifah Aini sekali lagi menerima anugerah khas yang diberi nama Anugerah Buluh Perindu kerana penglibatannya sebagai anak seni.  Anugerah ini disampaikan oleh Pengerusi Herba Nona Roguy, Tan Sri Syed Agil Barakbah pada majlis Anugerah Nona Roguy untuk wakil penjual kawasan Selangor dan Wilayah Persekutuan yang diadakan di Hotel Pan Pacific Kuala Lumpur dua minggu lalu.

Sharifah Aini yang datang memeriahkan majlis dengan menyampaikan lima buah lagu daripada album terbarunya (berjudul Seribu Mawar) terkejut bila diumumkan untuk menerima anugerah itu.  "Saya menyangkakan majlis petang ini untuk anugerah kepada ahli-ahli dan wakil penjual cemerlang saja, rupanya saya juga mendapat anugerah,'' katanya yang mengaku sangat sebak, sedih dan terharu kerana diberi penghormatan standing ovation oleh hadirin.  Dia menerima sebuah trofi kristal bersama sejambak bunga dan diiring ke pentas oleh Pengarah Urusan Nona Roguy Datin Sharifah Anisah.

Sebuah puisi tulisan Datin Sharifah Anisah yang ditujukan khas untuk Sharifah Aini turut dibacakan oleh pengacara majlis tersebut.  Puisi itu sangat bermakna bagi Sharifah Aini kerana ditulis mengikut huruf awal namanya.  "Ini merupakan anugerah ketiga yang saya terima pada tahun ini selepas dua anugerah lain iaitu di malam AIM 2000 awal tahun ini dan Papita dua bulan lalu.  Yang boleh saya katakan saya terlalu sebak dan berterima kasih setelah 31 tahun saya di sini, peminat terus menghargai saya sebagai penyanyi.  Bila mendapat tahu daripada Datin Sharifah Anisah seramai 100,000 ahli Nona Roguy memilih saya untuk mendapat anugerah ini, saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih pada mereka,'' akui Sharifah Aini ketika ditemui di bilik VIP selepas majlis petang itu.

Menurut Datin Sharifah Anisah: "Sebenarnya sejak dua bulan lalu kami di Nona Roguy telah membuat cadangan untuk memberikan satu penghargaan kepada insan seni bermula pada tahun ini. Saya sendiri telah menyenaraikan beberapa nama artis perempuan untuk diberikan penghargaan Anugerah Buluh Perindu.  Selain dia (Sharifah Aini) mendapat undian yang banyak, ahli-ahli kami di Malaysia, Singapura dan Brunei sebulat suara bersetuju bahawa dia memang layak menerima anugerah ini iaitu memiliki suara sedap dan lemak merdu di mana sudah lebih 70 buah albumnya terhasil dengan 800 buah lagu sudah didendangkan."

"Suaranya istimewa ... tidak ada penyanyi lain baik baru dan lama ada mirip suara sepertinya. Ini berbeza dengan penyanyi popular lain kita yang suara mereka boleh ditiru dan digayakan oleh penyanyi baru atau peminat.  Kerana itulah Anugerah Buluh Perindu yang kami adakan untuk artis ini layak jatuh ke tangan Sharifah Aini. Anugerah ini bukanlah anugerah tahunan, barangkali lima atau sepuluh tahun lagi baru kami akan memberikan Anugerah Buluh Perindu kepada penyanyi lain yang boleh bertahan atau memiliki suara merdu."

"Puisi yang saya tuliskan untuknya sebenarnya merakamkan penghargaan peribadi saya kepadanya. Puisi itu nanti akan dilukis cantik dan akan difrem untuk dihadiahkan kepadanya.''  Sharifah Aini mengakui: "Saya gembira dengan tulisan puisi yang diilhamkan oleh Datin mengikut huruf nama saya, bagi saya ia begitu indah. Terasa perjuangan sebagai penyanyi dihargai oleh mereka yang memahami.''

Datin Sharifah Anisah menafikan pemberian anugerah ini kerana penyanyi itu dari keturunan Syed dan Sharifah.  "Bukan sebab itu ... kami sebenarnya berbangga dengan penyanyi daripada golongan darah kacukan Arab sepertinya berjaya, tapi anugerah ini kami beri atas kecemerlangannya. Nona Roguy melihat Sharifah Aini bukan saja penyanyi contoh, tapi wanita contoh kerana bukan saja berjaya dalam karier tapi pandai menjaga penampilan diri dan kecantikan sehingga dikagumi peminat.''  Turut sama dalam majlis petang itu ialah seorang penjual cemerlang dan eksekutif Nona Roguy, penyanyi Syed Anaz.  "Dia adalah biduanita negara yang dikagumi, anugerah yang Allah berikan pada dirinya dengan suara dan bakat menjadikan dia diminati ramai, termasuklah saya sendiri.''

Bila bercakap bab kecantikan dan makanan herba Sharifah Aini tidak menafikan: "Memang saya juga biasa dengan pemakanan jamu, antaranya termasuk Nona Roguy dan saya terus mengamalkan pemakanan untuk penjagaan luar dan dalam badan untuk kesihatan. Saya tak mahu berlokek kerana kesihatan pada saya terlalu penting.  Dalam budget bulanan saya, tidak hanya barangan di dapur saya utamakan tetapi apa saja untuk penampilan dan kesihatan saya tidak kecualikan. Saya memakan herba yang sesuai untuk menjaga pelancaran darah dan jamu untuk menyingkir masalah dalaman badan yang tidak terkecuali daripada produk Nona Roguy.  Saya mengenali produk ini sejak dulu lagi, sebelum dia terkenal seperti hari ini,'' tambahnya.

Artikel lain yang berkaitan:

  Sharifah Aini Dapat Anugerah Buluh Perindu (URTV, 1 September 2000)