SHARIFAH AINI JADI KEBANGGAAN

(Utusan Malaysia: Selasa, 10 Jun 2003)

Pedih ditikam onak duri dan dihimpit ranjau sepanjang perjalanan dunia seni akhirnya terbayar.  Selepas lebih tiga dekad menabur bakti kepada dunia seni, biduanita negara, Sharifah Aini ditempatkan pada kedudukan yang selayaknya.  Pingat Panglima Jasa Negara (PJN) yang membawa kepada gelaran Datuk Sharifah Aini dianggap sebagai manifestasi rasa hormat kerajaan kepada seluruh penggiat seni di negara ini.

Justeru penganugerahan itu disambut dengan gembira dan terharu oleh seluruh karyawan seni lain.  Mereka menganggap biduanita kebanggaan negara itu diberi pengiktirafan pada waktu yang tepat kerana masih aktif konsisten dalam bidang seni hingga ke hari ini.  Sharifah Aini bersama pengarah filem, Datuk L. Krishnan adalah di antara beberapa tokoh dan penggiat seni yang turut dianugerahkan darjah kebesaran sempena hari keputeraan Yang Di Pertuan Agong Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalullail, Sabtu lalu.

Penyanyi dan pelakon, Erra Fazira menganggap penganugerahan itu sebagai sesuatu yang bermakna kepada seluruh penggiat seni.  "Ini adalah pengiktirafan buat anak seni lain juga.  Penganugerahan ini menghantar makna bahawa sumbangan orang seni kepada bangsa dan negara tidak dipandang sebelah mata atau diperlekehkan," jelas Erra.  Karyawan seni tempatan juga jelas Erra wajar berbangga kerana aliran tugas dan tanggungjawab seni mereka berada pada senarai yang diberikan taraf penghormatan.  Ini jelas menggambarkan bahawa bidang seni adalah satu bidang yang serius dan sumbangannya diperlukan untuk melahirkan bangsa dan negara yang cemerlang di masa depan," katanya lagi.

Pelakon Lelaki Terbaik Rosyam Nor pula berharap agar pingat dan gelaran yang diberikan kepada biduanita itu dapat membuka mata masyarakat supaya menghormati kerjaya seni dan seniman di dalamnya.  "Sudah sampai masanya kita meletakkan Sharifah Aini di tahap yang sepatutnya beliau berada.  Gelaran baik dan terhormat seperti ini akan memberi impak lebih besar di mana masyarakat akan lebih menghormati kerjaya dalam bidang seni," katanya.  Rosyam juga berharap agar di masa akan datang, penghormatan berterusan diberikan kepada karyawan seni yang berjasa.  Pengiktirafan kepada aktivis seni oleh pembesar negara telah membuktikan bahawa melalui seni boleh membawa mesej kesejahteraan dan keharmonian sejagat," katanya lagi.

Pengarah terkenal, Fauziah Datuk Ahmad Daud pula menegaskan bahawa Malaysia perlu berbangga kerana dapat melahirkan sebutir bintang yang sentiasa bersinar dan mekar di laman seni seperti Sharifah Aini.  "Lebih 30 tahun, dia masih bertahan.  Di tengah kebanjiran penyanyi baru dia tetap di tangga tersendiri.  Anugerah daripada Yang Dipertuan Agong ini memang selayaknya menjadi milik beliau," katanya dengan nada terharu.