ANAK SENI CATAT SEJARAH 'MBOR' (Utusan Malaysia: Jumaat, 5 Mac 2004) |
D Mereka bersama dengan pemegang-pemegang rekod lain yang turut mencatat nama dalam MBOR untuk bidang masing-masing dirai pada majlis Malam Anugerah Malaysia Book Of Records baru-baru ini. Menurut Sharifah Aini, dia merasa bangga dapat meraikan kejayaan dalam bidang seni bersama dengan Ella dan Siti Nurhaliza. "Kak Pah amat gembira menerima anugerah ini bersama-sama artis lain. Anugerah ini mampu memberi dorongan kepada rakan artis lain untuk terus berusaha," kata Sharifah Aini yang ditemui selepas majlis itu. Pada majlis yang sama, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi turut melancarkan buku edisi emas MBOR yang ditujukan khas untuk Tun Dr. Mahathir Mohamad yang telah banyak berjasa kepada negara. Sementara Ella pula berkata anugerah yang diterima membuktikan bahawa penyanyi tempatan juga mampu mengorak langkah seperti penyanyi antarabangsa. Ella menerusi album Ella – USA berjaya mencatat jualan melebihi 350,000 unit. "Ella gembira kerana sehingga kini rekod itu belum ada yang mengatasinya," katanya yang tidak pernah jemu melayan peminat-peminatnya. Bagi Siti pula yang merupakan penyanyi paling muda berjaya mengumpul anugerah paling banyak dalam sejarah muzik tanah air ini menganggap kejayaan yang diraih bukan untuk dibanggakan. Katanya, apa yang diperolehi adalah hasil sokongan peminat dan mereka yang bekerjasama dengannya. "Kejayaan tidak akan datang begitu sahaja kalau tidak ada usaha. Setiap anugerah yang diberi, Siti terima dengan hati yang ikhlas," katanya yang turut mendendangkan lagu 'Bukan Cinta Biasa' pada majlis tersebut. |