MENYELAMI HATI DATUK SHARIFAH AINI SEBAGAI 'MUMMY'

Penyelaras - Zurilawati Ku Zaifah (Jelita, Mei 2004)

menjadi pilihan muka hadapan majalah JELITA, Mei 2004Datuk Sharifah Aini wajar dikagumi. Biduanita Negara ini ratu dunia seni, menjadi pujaan berjuta-juta peminat dan mampu mempertahankan kedudukan sebagai penyanyi sejak remaja hingga usia mencapai setengah abad. Kejelitaannya tetap utuh dan paling ketara kulitnya polos gebu dan halus mengalahkan wanita muda. Tatkala berbicara, suaranya selunak kala menyanyi. Namun, paling melekat di hati ialah kemesraan Datuk Sharifah Aini yang senang dipanggil kak Pah. Walaupun baru kali pertama bertemu, kak Pah mudah mesra dan bercerita. Tanyalah apa sahaja, dia menjawab tanpa berselindung.
Bercerita mengenai anak membuat kak Pah semakin ceria dan petang Ahad terasa begitu bermakna kerana hajat JELITA merakamkan kejelitaan Datuk Sharifah Aini dan menyingkap pengalamannya sebagai ibu kepada Aliff Omar Ali dan sembilan anak angkat tercapai jua. 'Selamat Hari Ibu' Jelita ucapkan kepada pembaca dan tataplah wajah diva kesayangan anda sepuas-puasnya.

 

JELITA

Masihkah kak Pah ingat pahit manis ketika mengandungkan Aliff?

Sharifah Aini

Kak Pah mengandung kira-kira sebulan setengah selepas bernikah. Ketika itu badan terasa lain macam sahaja, muntah-muntah, tak ada selera makan dan pening terutama ketika bangun tidur. Memang teruk keadaan kak Pah, sampai enam bulan muntah-muntah. Tetapi kak Pah masih rasa gembira sebab memang terlalu ingin menjadi ibu. Memang itu yang kak Pah impikan dan tidak pernah merancang kerana sudah benar-benar bersedia.
Mengidam? Kak Pah tak suka benda manis tetapi sewaktu mengandung tiga bulan kak Pah teringin makan kuih akok dan pusing keliling satu Bangsar mencari kuih akok. Tak sangka apabila besar Aliff belajar di Kelantan. Kulit Aliff cantik, putih. Mungkin sebab dulu sewaktu mengandung kak Pah suka minum susu dan air kacang soya.

JELITA

Boleh kak Pah ceritakan pengalaman melahirkan Aliff?

Sharifah Aini

Aliff dilahirkan di klinik Kampung Baru, pada hari Khamis malam Jumaat sewaktu azan Isyak. Sebenarnya kak Pah dah terlewat dua minggu dan doktor jangkakan kak Pah tidak dapat melahirkan anak secara biasa kerana 'baby' songsang dan terlalu besar (lebih 4.5 kg). Tetapi kak Pah tak putus asa, berdoa dan buat solat hajat minta gar Allah beri kak Pah peluang melahirkan anak secara biasa kerana teringin benar merasai sakit bersalin. Alhamdulillah. doa kak Pah dimakbulkan, 'baby turn' beberapa jam sebelum dilahirkan. Doktor pun terperanjat. Memang 'miracle'.

JELITA

Adakah kak Pah serik untuk mengandung dan bersalin lagi selepas melahirkan Aliff?

Sharifah Aini

Memang sakit sangat apabila hendak bersalin. Tetapi, memang sifat semulajadi kak Pah kuat menahan sakit. Lagipun kak Pah rasa sakit ini memang berbaloi kerana kita perlu melaluinya untuk melahirkan zuriat kita. Kak Pah percaya semua wanita sanggup melalui kesakitan ini berulang kali kerana ini adalah pengalaman berharga dan tidak boleh digantikan dengan harta benda.

JELITA

Bagaimana perasaan kak Pah tatkala kali pertama menatap wajah Aliff sebaik sahaja dilahirkan?

Sharifah Aini

Sebenarnya kegembiraan kak Pah sudah berganda-ganda sewaktu mengandung lagi dan apabila dapat melahirkan Aliff secara normal, rasa gembira sangat. Aliff keluar tidak menangis seperti kebanyakan 'baby' lain tetapi dia bersin dua kali. Doktor beritahu kak Pah "your baby is so beautiful, Sharifah". Kak Pah bersyukur dan jauh di sudut hati, tak putus-putus berdoa biarlah anak yang dilahirkan ini akan menjadi anak salih. Tak kiralah sama ada anak nak jadi peguam, doktor atau arkitek - yang penting mereka menjadi anak yang baik.

JELITA

Apakah kenangan paling manis sewaktu membesarkan Aliff?

Sharifah Aini

Jika boleh diputarkan masa, kak Pah teringin melalui sekali lagi pengalaman mengandung dan melahirkan Aliff. Bagi kak Pah ini saat terindah. Cuma seminggu selepas dilahirkan Aliff kena deman kuning dan pada usia setahun lebih dia mendapat lelah (ini penyakit keturunan). Walaupun payah, kak Pah tetap menghargai suka duka melawan penyakit lelah Aliff. Berkejar ke hospital pada waktu tengah malam perkara biasa bagi kak Pah dan kak Pah sanggup beli kelengkapan perubatan untuk Aliff gunakan di rumah. Kak Pah perlu menjaga makan minumnya kerana bimbang alahan dan pastikan rumah sentiasa bersih dan tidak berhabuk. Tetapi, alhamdulillah selepas mencecah usia 12, Aliff tidak lagi diserang lelah. Sihat walafiat sampai sekarang. Insyallah. Cuma satu sahaja yang kak Pah kesalkan - tidak berpeluang membawa Aliff ke padang permainan seperti ibu lain. Sewaktu Aliff kecil, kak Pah 'struggle' cari duit dan memang kak Pah teringin mengulangi saat itu jika berkesempatan.

JELITA

Apakah pendekatan kak Pah dalam mendidik anak?

Sharifah Aini

Kak Pah bersikap terbuka tetapi tegas terhadap anak-anak. Maklumlah, zaman sekarang bukan mudah mendidik anak. Ada macam-macam musibah - dadah, masalah moral. So, kak Pah selalu tekankan kepada anak agar berterus terang dengan kak Pah jika ada masalah. Tetapi, kak Pah bersyukur kerana sejak kecil Aliff tidak banyak ragam, mudah dibentuk dan pandai berdikari. Selain itu, kak Pah seperti ibu bapa lain juga suka tekankan pendidikan asas agama. Panggil ustaz ke rumah ajar fardu ain dan pastikan anak-anak bersolat. Jika kak Pah ada di rumah, pasti kak Pah 'monitor' sendiri. Setiap kali malam Jumaat, kak Pah tak keluar rumah, ajak anak berjemaah (termasuk pembantu rumah). Sekarang jika Aliff balik, dia menjadi imam. Dan satu lagi, semua anak, kak Pah ajar berpuasa sejak umur lima tahun. Tak boleh ponteng!

JELITA

Adakah sejak kecil Aliff memahami ibunya seorang penyanyi tersohor?

Sharifah Aini

Ya! Aliff tahu ibunya penyanyi. Kak Pah tidak perlu terangkan kepada Aliff atau anak angkat bahawa ibu mereka adalah penyanyi. Mereka lihat sendiri di televisyen. Waktu kecil dahulu mereka 'always get very excited to see me on television'. Tetapi, kak Pah sendiri didik mereka secara berbeza, tidak suka dedahkan mereka kepada media (terutamanya sewaktu kecil). Kak Pah tak mahu mereka didedahkan dengan kehidupan glamor seorang bintang. 'The Star is me not them.' Kak Pah mahu anak berdikari. Pergi ke sekolah naik bas seperti anak orang lain juga.

JELITA

Bagaimana Aliff boleh terdorong mendalami bidang agama?

Sharifah Aini

Sebenarnya kak Pah tidak pernah terfikir satu hari nanti Aliff berminat mendalami bidang agama dan akan belajar sampai ke Madinah. Kak Pah hantar dia ke sekolah menengah biasa (Sekolah Lelaki Bukit Bintang). Tetapi kak Pah beri kebebasan kepada Aliff menentukan jalan hidupnya selepas selesai menduduki peperiksaan SPM. Kak Pah rasa gembira kerana terbuka pintu hati Aliff hendak ke Madinah. Dia ambil pengkhususan bahasa Arab dan fakulti al-Quran. Bagi kak Pah tidak semestinya anak yang belajar di Amerika tidak boleh jadi orang baik. Kadang-kadang mereka lebih "religious' lagi. Cuma kak Pah rasa sangat bersyukur dengan keputusan Aliff itu dan kak Pah anggap ia satu rahmat daripada Allah. Aliff fasih berbahasa Arab. Kak Pah tidak sefasih Aliff tetapi masih memahaminya kerana sewaktu kecil dahulu kak Pah juga bersekolah agama/Arab.

JELITA

Adakah Aliff anak yang mudah didekati?

Sharifah Aini

Aliff anak pemalu, sensitif tetapi 'very thoughtful'. Misalnya, sekiranya dia bercuti di rumah dan kak Pah pergi menyanyi, dia tidak akan tidur selagi kak Pah belum balik, Aliff akan duduk di tingkat bawah (ruang tamu), tunggu kak Pah. Sebaik sahaja dengar bunyi kereta, dia keluar angkat beg kak Pah dan hantar kak Pah ke bilik, baru dia masuk ke biliknya tidur. Dia juga tak suka keluar rumah jika kak Pah 'outstation'. Jaga rumah dan adik-adik.

JELITA

Adakah selepas mendalami bidang agama Aliff gemar mengasingkan diri?

Sharifah Aini

'No! Not at all.' Kak Pah tak mahu Aliff menjadi terlalu 'extreme' walaupun dia belajar agama. Jika dia balik bercuti, kak Pah suruh dia pakai jean atau kemeja-T (tak semestinya lengan panjang) dan lakukan apa saja perkara yang disukainya. Kak Pah mahu Aliff menjadi anak yang normal dan tidak mahu dia rasa kesal kerana tidak berpeluang menikmati masa remaja seperti yang disukainya. Aliff ini seorang yang cerdik, suka mendengar muzik, cergas dan suka bersukan. Dia gemar bermain bolasepak, ragbi dan berenang. So, kalau Aliff balik cuti, nak jumpa dia pergi ke padang ragbi, padang bola atau kolam renang.

JELITA

Adakah kak Pah mendapatkan persetujuan atau pandangan Aliff sebelum memutuskan untuk mengambil anak angkat?

Sharifah Aini

Aliff Omar dan dua adik angkat perempuan, Siti Naquiah Saleh (kiri) dan Nina Freda SalehKak Pah ada dua anak angkat perempuan, diambil sebaik sahaja mereka dilahirkan. Kak Pah sendiri pilih nama yang cantik untuk mereka - seorang Nina Freda Saleh, 18, dan seorang lagi Siti Naquih Saleh, 16. Aliff, gembira sebab dapat menjadi abang.  Selain itu, kak Pah ada tujuh anak angkat lelaki, berasal dari Cambodia dan Korea. Semua dah besar dan kawan Aliff sewaktu di Kelantan. Sekarang mereka semua di Madinah dan kak Pah gembira kerana Aliff tidak kisah berkongsi kasih sayang dengan mereka. Jika kak Pah bagi wang saku kepada anak angkat di depan Aliff dia tidak pernah buat muka tidak suka. Tak menjadi soal langsung hal berkongsi kasih atau wang ringgit. Kini setiap kali buat umrah, kak Pah akan ke Makkah dahulu selepas itu baru Madinah. Kak Pah akan luangkan masa 10-15 hari dengan Aliff dan anak angkat. Mereka sangat mesra dan langsung tidak kekok dengan kak Pah. Jika balik Malaysia, mereka pasti bercuti di rumah kak Pah.

JELITA

Bagaimana cara kak Pah mendidik Nina dan Siti?

Sharifah Aini

Macam anak sendiri. Tidak ada perbezaan. Jika buat silap, kak Pah tegur macam mana kak Pah marah Aliff. 'They are very good girls and clever.' Nina akan pergi universiti tidak lama lagi. Sejak kecil kak Pah sudah jelaskan keadaan sebenar kepada mereka dan kak Pah beritahu mereka walaupun 'mummy' tak lahirkan Nina dan Siti tetapi 'mummy' sangat sayangkan 'both of you' macam anak sendiri.

JELITA

Sukarkah mendidik anak perempuan?

Sharifah Aini

Memang kak Pah sentiasa risaukan keselamatan anak perempuan sebab dugaannya sangat besar. Tetapi, baik Nina, Siti atau Aliff - mereka sangat memahami keadaan ibu mereka yang sentiasa menjadi perhatian masyarakat. Kak Pah sering ingatkan anak jika mereka buat silap, masyarakat bukan kata mereka tetapi ibu mereka - Sharifah Aini!

JELITA

Bagaimana reaksi kak Pah jika anak ada teman lelaki / perempuan?

Sharifah Aini

Ya! Kak Pah terima sesiapa sahaja pilihan anak. Tetapi, setakat ini kak Pah agak tegas terutama pada Nina dan Siti. Kak Pah mahu mereka belajar dahulu, 'no boyfriends.' Dah berjaya baru cari 'boyfriend' dan kalau dah berkenan sangat, bagi tahu 'mummy'. Jangan bercinta lama-lama. 'Mummy' akan nikahkan elok-elok. Aliff pula tidak pernah berahsia dan setakat ini kak Pah tahu benar dia tak ada 'girlfriend'. Kalau nanti dia ingin berkahwin dan tinggal di luar negara kak Pah tak kisah. Jika dah tak menyanyi nanti saya boleh melawat semua anak dan boleh bawa cucu bercuti. Mungkin ke Disneyland.

JELITA

Reaksi Aliff apabila kak Pah ditohmah masyarakat / media?

Sharifah Aini

Bukan Aliff sahaja, semua anak angkat sedih apabila baca berita yang tak betul mengenai 'mummy' mereka. Macam kejadian baru-baru ini, orang cerca kak Pah dalam Internet. Aliff sedih benar. Jadi kak Pah kena 'call' Aliff dan terangkan kepadanya sebab tak mahu sedih Aliff berpanjangan. Kami sering bercakap melalui telefon, seminggu empat lima kali. Sebagai artis kak Pah dah lali dicerca, tetapi apabila anak-anak terkena tempiasnya, kak Pah rasa perlu 'fight for justice'. Mulut orang kita tak boleh tutup. Hati kak Pah sakit seorang tidak mengapa, tetapi apabila perasaan anak tergores kak Pah jadi tidak tentu hala. Jika kak Pah rasa teraniaya dan tahu siapa yang melakukannya, kak Pah sanggup bawa ke mahkamah. Kak Pah mahu jiwa anak kembali tenang. Mereka tidak patut dilayan seperti itu. Cuma kak Pah bersyukur kerana anak kak Pah tahu macam mana nak tangani tekanan. Mereka doakan kesejahteraan kak Pah. Aliff dah dua kali merngerjakan haji dan kak Pah tahu mereka sering mendoakan ibunya di depan Kaabah. So, kak Pah rasa reda dihina orang sebab ada anak yang begitu memahami dan melindungi ibunya.

JELITA

Bagaimana kak Pah jelaskan keadaan kepada anak?

Sharifah Aini

Jangan marah jika kita mendapat musibah kerana mungkin itu dugaan Allah dan satu cara untuk membersihkan dosa kita. Biarlah kita hadapinya dengan tenang. Kita buat saja amalan kita seperti dikehendaki Allah. Bagi kak Pah, Sharifah Aini sebagai penyanyi dan Sharifah Aini di rumah sebagai ibu dan rakan adalah berbeza. Kalau orang nak kata kak Pah hipokrit, katalah. Anak tahu siapa kak Pah sebenarnya dan pembantu kak Pah tahu siapa majikan mereka. Mus (pembantu Indonesia yang menamani kak Pah pada fotografi petang itu di studio Jelita) dah kerja 15 tahun dengan kak Pah. Mana kak Pah pergi, dia mesti ikut. Kalau kak Pah tidur di hotel / Presidential suite, merasalah dia tidur di katil empuk dengan kak Pah. Pergi Makkah? Dah nak masuk lima kali pergi Makkah [Mus yang duduk di sebelah kak Pah mengangguk sambil menunjukkan rantai yang dihadiahkan majikan kesayangan itu. Kata Mus dia sayang 'mummy' (kak Pah) dan sedih 'mummy' dicerca]. Jadi, jika orang di luar nak tohmah kak Pah, suka hati mereka asal keluarga faham keadaan kak Pah sebenarnya.

JELITA

Sukarkah menjadi ibu tunggal?

Sharifah Aini

Alhamdulillah kak Pah antara wanita beruntung kerana masih bersahabat baik dengan bekas suami walaupun sudah tujuh tahun bercerai. Dia masih ambil berat hal anak dan pasti menjadi orang yang pertama melawat kak Pah jika kak Pah jatuh sakit. Kak Pah sangat sanjungi dia. Anak juga baik dan tidak memberi banyak masalah kepada kak Pah. Allah memang Maha Pemurah dan Maha Penyayang.

JELITA

Apakah pegangan kak Pah untuk menjadi ibu yang baik?

Sharifah Aini

Beri kasih sayang sama rata kepada semua anak. Ibu juga mesti sanggup menerima kritikan anak. Tidak semesti ibu semua betul dan tiada istilah anak derhaka. Ingat! Ibu juga mungkin boleh menderhaka kepada anak dengan memalukan mereka. Misalnya, ibu tidak menjaga maruah anak dan maruah ibu sendiri. Selamat Hari Ibu.

Kembali Ke Artikel-Artikel 2004