Wayang kulit wujud 300 tahun lalu

Kembali Ke Menu Utama Info Muzik

Tahukah anda, persembahan wayang kulit mula tersebar meluas di Jawa dan Bali Indonesia, manakala di Malaysia ia cukup meluas di Kelantan dan Terengganu dan kini menjadi salah satu seni persembahan warisan Malaysia.

Rupa bentuk patung sendiri berbeza mengikut tempat.  Di Jawa Tengah iaitu kota Surakata (Solo) biasanya cukup terkenal dengan gaya patung yang mengajuk.  Gaya patung yang mengikut wilayah ditemui di Jawa Barat, Banyumas, Cirebon, Semarang dan Jawa Timur.  Bali menghasilkan bentuk patung wayang kulit yang lebih padat dan semulajadi, manakala Lombok pula menampilkan bentuk objek dan manusia sebenar.

Antaranya basikal, kenderaan, kapal terbang dan kapal turut diselitkan untuk memberikan kesan humor, bagaimanapun secara keseluruhannya bentuk asas patung wayang kulit sebenarnya tidak banyak berubah sejak 300 tahun dulu.

Mengikut sejarah, persembahan wayang kulit membabitkan barisan pelakon yang diwakili bayang-bayang yang dipaparkan pada kain kapas yang direntangkan dengan disinari lampu minyak tanah.  Hari ini sumber cahaya yang digunakan dalam persembahan di Jawa kebanyakan menggunakan lampu elektrik halogen.  Beberapa bentuk wayang kulit yang lebih moden pula seperti Wayang Sandosa yang diperkenalkan di Akademi Seni Surakarta (STSI) menggunakan lampu limpah, lampu berwarna dan pelbagai inovasi lain. 

Kulit binatang digunakan sebagai binaan kulit pada patung yang dipahat dengan begitu halus dan teliti menggunakan peralatan khusus dan terbaik.  Patung ini disokong oleh pemegang berbentuk tanduk dan batang besi sebagai pengendali.

WARISAN SENI BUDAYA: Tok Dalang terkenal, Nik Mat Suara Emas membuat persembahan secara percuma sekitar Pengkalan Petah, KelantanCeritanya selalunya berdasarkan kisah Ramayana, Mahabharata atau Serat Menak.  Pulau Lombok misalnya, berjaya membentuk gaya dan identiti Serat Menak yang tersendiri di mana ia dipanggil Wayang Sasak.

Terdapat juga sekumpulan karakter yang punya pertalian dalam Wayang Jawa yang dipanggil Punakawan; kadangkala ia dipanggil 'badut - orang suruhan raja' memandangkan karakter ini sering dikaitkan dengan watak hero selain menjadi elemen lucu dan watak selingan yang bersifat falsafah.

Watak Semar pula adalah bapa kepada Gareng (anak lelaki sulung), Petruk dan Bagong (anak bongsu).  Semua karakter ini bukan berasal dari epik Hindu, sebaliknya wujud selepas itu, berkemungkinan bagi menyelitkan aspek mistikal Islam ke dalam cerita berunsur Hindu-Jawa.  Ia juga menceduk pergolakan politik dari segi bagaimana menghadapi khabar angin dan isu kontemporari.

Di Kelantan, antara Tok Dalang yang terkenal dan masih bergiat aktif ialah Tok Dalang Nik Mat Suara Emas.

Sumber:  Bintang Popular (Berita Minggu - 17 Februari 2008, oleh Suzan Ahmad)