|
Tarian Sumazau rai hari menuai |
Tahukah anda, Tarian Sumazau adalah sejenis tarian tradisional rakyat Sabah yang amat terkenal di Negeri Di Bawah Bayu itu, selain memang dikenali di seluruh Malaysia umumnya. Ia adalah tarian tradisi suku kaum Kadazan-dusun yang sering dipersembahkan pada acara Tadau Kaamatan yang bermaksud Hari Menuai yang dirayakan di negeri itu pada setiap Mei. Tarian Samazau seolah-olah menunjukkan petani sedang menghalau burung daripada memakan hasil tanaman padi mereka. Setiap penari yang menjayakan tarian ini hendaklah bergerak beberapa sentimeter saja daripada penari lain tanpa bersentuhan. Secara ritualnya, ia memenuhi pelbagai fungsi seperti tarian untuk mengucap kesyukuran berkaitan dengan kegiatan menanam dan menuai padi, selain juga untuk menolak bala, menyemai semangat dan mengubati penyakit. Tarian ini digerakkan kaum petani membabitkan lelaki dan perempuan dengan memakai pakaian tradisional etnik terbabit itu. Tarian ini dimainkan bersama iringan paluan gong, biasanya lapan gong yang pelbagai ukuran dan satu gendang berserta rentak khusus. Tempo dan rentak pukulan gong Sumazau adalah berbeza mengikut daerah dan desa. Tarian ini juga dijayakan dengan kedua-dua tangan diangkat ke paras bahu dan dikibarkan - umpama kipasan sayap burung, mengikut alunan rentak yang dimainkan secara perlahan-lahan dan lemah lembut. Pasangan penari lelaki dan wanita menari saling berhadapan dan mereka menggerakkan kaki dengan langkah kecil, sementara tumit kaki diangkat dan diturunkan mengikut irama lagu. Ketika menari, tangan dikepakkan keluar, gerakannya turun naik seperti burung terbang. Biasanya Sumazau ditarikan ketika menyambut hari keramaian dan jamuan, namun tujuan asal tarian ini ialah untuk menyambut kedatangan Bambaazon (semangat padi) yang biasa dilakukan selepas musim menuai padi. Penari Sumazau juga biasanya mengenakan pakaian serba hitam dihiasi corak menarik menggunakan benang berwarna emas. Penari perempuan dihiasi selendang serta tali pinggang (tangkong) yang diperbuat daripada duit syiling perak (trade dollars). Penari lelaki biasanya memakai tanjak di samping pakaian hitam serta menyendang daun silad kering. Kini, tarian Sumazau dipersembahkan di kebanyakan majlis keramaian seperti perkahwinan, keraian menyambut ketibaan orang kenamaan, di mana ia turut ditarikan semua hadirin dengan tidak mengira suku kaum dan peringkat umur bagi memeriahkan sesuatu majlis tanpa pakaian tradisional hitam. Sumber: Bintang Popular (Berita Minggu - 22 Jun 2008, oleh Suzan Ahmad) |