|
Tarian Dabus berkaitan Saidina Ali |
Tahukah anda, Tarian Dabus adalah sejenis tarian Melayu tradisional. Tarian ini berasal dari Perak dan mengandungi unsur keagamaan yang berkait rapat dengan kepahlawanan tokoh dalam sejarah Islam, Saidina Ali. Tarian ini dipercayai mula dipersembahkan di negeri ini sejak 300 tahun lalu. Ada beberapa pendapat yang mempertikaikan kemasukan seni tari dabus ke bumi Perak. Satu pendapat mengatakan dabus dipercayai dibawa masuk terus ke Perak oleh Ahmad Mahyuddin yang berasal dari Parsi (Baghdad) sekitar 1785. Mengikut sejarah, beliau adalah anak murid kepada guru bernama Muhammad Abil Hassan al-Rifai. Tarian ini berkembang di Pasir Panjang Laut, Sitiawan, Lumut dan Sungai Nipah Baroh serta Sungai Balai Baroh, Teluk Intan. Pendapat kedua mengatakan permainan dabus sudah mula dibawa ke Indonesia melalui Pasai di Aceh sebelum dikembangkan ke Pasir Panjang, Perak oleh Nakhoda Lembang yang berguru daripada saudagar Fakir Muhammad dari India, yang juga anak murid kepada tuan guru Muhammad Abil Hassan al-Rifai. Sementara itu, satu lagi pendapat mengatakan Ahmad Mahyuddin yang berguru dengan Muhammad Abil Hassan al-Rifai bertemu Nakhoda Lembang dari Batu Bara, Aceh yang berguru dengan Fakir Muhammad dari India pada tahun 1785, bersama-sama memperkembangkan kesenian dabus ke Perak di Pasir Panjang seawal 1700. Menyentuh soal identiti, setiap penari atau pemain dabus mesti menggunakan sejenis besi tajam yang dipanggil 'anak dabus'. Penggunaan anak dabus ialah untuk memperlihatkan keistimewaan tarian itu. Permainan dabus yang asli tidak hanya terhad kepada penggunaan anak dabus sebaliknya mereka akan menggunakan beberapa senjata tajam yang lain untuk mempamerkan kehebatan permainan dabus. Kumpulan dabus yang asal terdiri daripada lebih kurang 22 orang termasuk pemain alat muzik dan penari. Dalam kumpulan itu terdapat seorang ketua dipanggil khalifah. Khalifah inilah orang yang bertanggungjawab memelihara keselamatan pemain daripada sebarang gangguan yang boleh mencatatkan persembahan. Sebelum persembahan dimulakan, khalifah akan mengasap dan merenjis air yang dijampi keseluruh pentas, pemain, pemuzik dan anak dabus. Tujuannya adalah untuk mengelak daripada gangguan makhluk halus atau perbuatan orang nakal yang menguji kekebalan pemain. Dalam permainan dabus, terdapat beberapa pantang larang. Antaranya, tempat bermain hendaklah bersih, tubuh badan pemain juga hendaklah suci. Pemain sama ada pemuzik dan penari ditegah daripada mencarut, mengeluarkan kata-kata lucah mahupun bermusuhan. Sumber: Bintang Popular (Berita Minggu - 17 Ogos 2008, oleh Suzan Ahmad) |