|
Tanggungjawab berat pengarah muzik |
Tahukah anda, gelaran pengarah muzik atau pengarah muzikal digunakan oleh kebanyakan orkestra simfoni untuk menandakan atau menamakan pemimpin utama dan ketua artistik dalam sesebuah orkestra. Panggilan atau gelaran pemimpin prinsipal atau ketua pemimpin juga sering digunakan, terutama di Eropah. Dalam teater muzikal, pengarah muzik berperanan dan bertanggungjawab ke atas persembahan muzikal secara keseluruhan, termasuk memastikan semua pemuzik tahu dan faham muzik secara menyeluruh, mengawal selia interprestasi muzikal oleh penghibur dan orkestra pit, dan memimpin orkestra itu. Pada abad ke-20, gelaran dan kedudukan biasanya membawa maksud pengaruh tanpa batasan atau segala hal berkaitan orkestra. Seperti yang digambarkan oleh nama itu sendiri, pengarah muzik bukan hanya memimpin konsert, tetapi juga mengendalikan muzik apa yang akan dipersembahkan orkestra berkenaan atau untuk tujuan rakaman, malah kuasa pengarah muzik menular sehingga berhak untuk mengupah, memecat dan lain-lain hal berkaitan keputusan berkaitan tenaga kerja atau pemuzik yang bakal terbabit dalam orkestra tertentu. Terminologi pengarah muzik atau pengarah muzikal menjadi begitu lazim penggunaannya di Amerika Syarikat pertengahan abad ke-20, berikutan berlakunya evolusi berkaitan gelaran yang sesuai. Pemimpin orkestra awalnya hanya dipanggil sebagai pemimpin. Pada 1920-an dan 1930-an, terminologi pengarah muzikal mula digunakan, dalam usaha untuk menggambarkan hakikat bahawa individu yang memegang tanggungjawab ini melakukan lebih dari hanya memimpin, dan untuk membezakan mereka dari pemimpin jemputan yang hanya mengetuai hanya satu program atau konsert. George Szell, misalnya, pernah dilantik sebagai pengarah muzikal oleh Cleveland Orchestra pada 1946, dan jawatannya kekal sehingga kematiannya pada 1970. Penggantinya, Lorin Maazel, juga diberikan gelaran pengarah muzik. Orkestra Amerika utama yang lain sejak itu lebih menyesuaikan keadaan dengan peredaran masa dan mula menggunakan terminologi yang lebih mudah pada 1950-an dan 60-an. Secara alternatifnya, terma pengarah muzik sering muncul dalam kredit filem untuk menggambarkan pihak profesional yang diupah untuk mengawal selia dan mengarah muzik yang sudah dipilih untuk filem tertentu mahupun dokumentari muzik, namun kini panggilan atau jawatan yang lebih biasa digunakan ialah penyelia muzik. Pengarah Muzik bagi sesebuah produksi teater muzikal atau muzikal Boradway juga bertanggungjawan sebagai pemain piano raptai dan pemimpin. Sumber: Bintang Popular (Berita Minggu - 30 Mac 2008, oleh Suzan Ahmad) |