|
Tarian Asyik penyeri majlis malam berinai |
Tahukah anda Tarian Asyik adalah sejenis tarian klasik (daerah) Kelantan yang pada asalnya dipersembahkan di istana (Raja-Raja Kelantan). Barisan penarinya ialah kalangan dayang istana. Tarian Asyik selalunya dipersembahkan pada hari perkahwinan, iaitu malam berinai dan malam berinai besar di istana. Kini, Tarian Asyik dipersembahkan juga pada hari temasya negeri dan negara. Dari segi sejarah (Hikayat Pattani), Raja Kuning iaitu Raja Perempuan, yang memerintah Pattani pada 1644, ada menyimpan 12 penari istana yang menyanyi dan menari dipanggil Asyik. Menurut maklumat daripada Wikipedia Bahasa Melayu, Asyik bererti kekasih, oleh itu tarian ini bersesuaian dengan gerak-geri bersifat lemah lembut dan penuh dengan ketertiban. Tarian ini dimulai dengan 10 penari masuk ke dewan tarian terlebih dulu, lalu duduk bersimpuh dengan tertibnya. Kemudian tampillah Puteri Asyik dan mereka pun mula menari. Tiga alat muzik penting yang digunakan ialah rebab, gambang dan gedombak. Asal usul tarian ini dihikayatkan daripada seorang raja yang memelihara seekor burung kesayangannya di istana. Suatu hari beliau mendapati burungnya terlepas dari sangkar, lalu diikut burung itu ke hutan belantara dengan harapan untuk mendapatkannya semula. Selepas bertahun-tahun burung kesayangannya masih tidak dapat diambil kembali, lalu raja berkenaan kembali ke istana dengan penuh kekecewaan. Bagi menghilangkan rindunya terhadap burung itu, raja terbabit memerintahkan supaya mencipta satu tarian yang meniru gerak-geri burung kesayangannya. Untuk tujuan berkenaan, maka kumpulan dayang istana terpaksa menari di depan baginda dan ternyata baginda begitu asyik dengan persembahan berkenaan meskipun ketika itu raja masih terkenangkan burungnya. Alat muzik yang mengiringi Tarian Asyik ialah gedombak asyik sebanyak 11 jenis, selain gambang dan rebab. Tiga alat muzik utama ini mesti ada untuk mengiringi tarian berkenaan. Di samping gerak-geri dan pakaian berseri, Tarian Asyik menarik minat masyarakat seluruhnya. Pakaiannya adalah serupa dengan Mak Yong iaitu berbaju pendek (warna merah), kain sarong dan satu kain panjang digantung pada bahu dan dilepaskan hingga ke pinggang. Pada bahagian pinggang penari memakai pending (sejenis tali pinggang) dan Puteri Asyik pula dimestikan memakai canggar di sanggulnya. Sumber: Bintang Popular (Berita Minggu - 29 Jun 2008, oleh Suzan Ahmad) |