|
Muzik Reggae bangkit kembali |
Lagu-lagu reggae Melayu mula berkumandang di persada muzik tanahair pada awal 1984 apabila munculnya penyanyi seperti Poe dengan albumnya yang berjudul Satu Dunia Satu Harapan. Selain Poe yang tampil bersama kumpulan Rampa, penyanyi dR Sam pula meneruskan irama reggae dengan lagu-lagu popularnya seperti Abu Nawas dan Hutan Batu. Selepas 20 tahun era kegemilangan Rampa dan dR Sam, muzik tempatan seakan-akan ketandusan penyanyi atau kumpulan yang mempopularkan genre muzik ini. Irama reggae dikatakan kurang menyerlah berbanding muzik-muzik lain seperti pop, rock, dangdut, R&B dan nasyid yang lebih mudah mendapat perhatian para pendengar. Ini kerana, tidak banyak publisiti yang diberi kepada artis-artis reggae, selain sikap mereka yang low profile dan lebih banyak menumpukan persembahan di kelab-kelab malam. Antara kumpulan reggae tempatan yang sedang mencipta nama ialah Republic of Brickfields (ROB), Gerhana Ska Cinta, Sharp Shooter, Skudap-Skudip, River Nation dan Pure Vibracion. Kumpulan ROB yang menghasilkan album sulung berjudul Ganjaran pada 2007 mendapat perhatian apabila lagu mereka yang bertajuk Rahsia menjadi siulan ramai. Vokalis dan gitaris ROB, Aru, menyifatkan irama reggae masih belum pupus di negara ini biarpun banyak genre muzik lain yang lebih popular dan mendominasi persada muzik tempatan. "Muzik reggae bukannya tidak sedap atau kurang bagus. Cuma ia tidak dipopularkan seperti muzik-muzik yang lain. Kalau diberi perhatian luas, muzik reggae juga akan popular. Senario itu bukannya berlaku di Malaysia sahaja, tetapi juga di negara-negara lain. Irama reggae ada di mana-mana termasuklah di Malaysia," ujarnya ketika ditemui baru-baru ini. Tambahnya reggae bukan setakat lagu No Woman No Cry nyanyian Bob Marley, tetapi ia juga dipopularkan ribuan lagi penyanyi hebat seperti Shaggy mahupun the Maytals. Reggae yang dikatakan tercetus daripada evolusi muzik ska mula bertapak di Jamaica pada tahun 1960-an paling menyerlah selepas ia dipopularkan oleh Bob Marley tidak lama selepas itu. Tidak seperti irama lain, reggae mempunyai kelebihan daripada segi alunan melodi lagu-lagunya yang santai di mana ia mudah untuk dihayati oleh segenap lapisan pendengar. Rentak irama reggae yang perlahan dikuatkan dengan kombinasi alat-alat muzik seperti gitar, bass, perkusi, harmonika dan keyboards menambahkan lagi lontaran iramanya. Selain rentak lagunya yang mudah dikenal pasti, gaya imej penyanyi serta pemuzik reggae yang tampil dengan rambut dreadlock (bersimpul mati) seolah-olah menjadi pengenalan diri mereka. Banyak kumpulan reggae moden seperti Big Mountain dan UB40 yang berjaya mengetengahkan konsep sedemikian kerana pasarannya lebih meluas di seluruh dunia. Sebaliknya, konsep root reggae atau lebih asli penampilan elemen muzik reggae di dalamnya seperti yang diketengahkan oleh the Wailers yang tetap berpegang kepada imej tersebut. Namun, kata Aru, ada juga segelintir masyarakat yang memandang serong apabila sering mengaitkan muzik serta para pemuzik reggae dengan gejala menghisap ganja. "Ganja dan reggae tidak ada kaitan langsung," jelasnya yang berasal dari Alor Setar, Kedah. Kemunculan ROB dan lain-lain pemuzik reggae generasi baru itu sedikit sebanyak akan memperkayakan lagi khazanah lagu-lagu dalam industri muzik di negara ini. Sebabnya, walaupun berteraskan konsep muzik reggae, tetapi lirik lagu-lagu yang dipersembahkan oleh mereka kebanyakan dinyanyikan dalam bahasa Melayu. Tidak hairanlah Bob Marley pernah dianggap 'hero' apabila menerusi lagu-lagu bertemakan keamanan yang dinyanyikannya, beliau berjaya menyatukan pihak yang bertelagah di Jamaica pada 1970-an. Menyedari peri pentingnya untuk mempelbagaikan genre muzik dalam persada muzik tanahair, secara tidak lagsung banyak pihak kini mula memberi perhatian kepada muzik reggae. Banyak kumpulan reggae tempatan seperti Pure Vibracion yang diberi peluang mengadakan persembahan pentas selain klip video mereka, Mi Gal sering disiarkan menerusi kaca televisyen. Pure Vibracion yang muncul dengan album pertama berjudul Pure Vibracion pada awal tahun ini semakin diminati bukan sahaja oleh para peminat tempatan tetapi juga di luar negara. Sebagai contohnya, kumpulan yang ditubuhkan di Kuala Lumpur itu sering diundang mengadakan persembahan di negara-negara seperti Indonesia, Singapura, Thailand dan Laos. Kejayaan Pure Vibracion itu menunjukkan reggae merupakan genre muzik yang bersifat global dan ia mudah dihayati serta difahami oleh segenap lapisan masyarakat walau di mana-mana juga. Namun, reggae tidak seperti muzik-muzik lain yang boleh dipergunakan sewenang-wenangnya kerana ia bukan berasal daripada budaya popular yang 100 peratus berorientasikan komersial. Secara dasarnya, akar umbi asal muzik reggae banyak digunakan untuk menyampaikan mesej seperti perjuangan membela maruah bangsa di tanahair sendiri. Bob Marley misalnya, tampil dengan lagu Redemption Song yang antara lain memaparkan tentang semangat yang perlu ada bagi membina jati diri dalam diri seorang insan. Selain itu, isu-isu semasa seperti pencemaran alam sekitar, korupsi dan masalah-masalah sosial yang berlaku dalam masyarakat turut dipaparkan menerusi lagu-lagu reggae. Justeru, reggae dilihat bukan sekadar suatu genre muzik yang kosong atau sebarangan, tetapi ia membawa perjuangan yang cukup besar buat para karyawan serta peminatnya. Dengan adanya kepelbagaian genre-genre muzik termasuklah reggae, ia secara tidak langsung akan memeriahkan lagi dunia hiburan selain memberi banyak pilihan kepada para penggemar muzik di negara ini. Sumber: Pancaindera, Apresiasi (Mingguan Malaysia - 12 April 2009, oleh Abd Aziz Itar) |
|
|
Lagu Latar: Redemption Song - Bob Marley |