Muzik J-pop tampil identiti tersendiri Jepun

Kembali Ke Menu Utama Info Muzik

Tahukah anda mengenai muzik J-pop?  Ia merujuk kepada muzik popular Jepun - diilhamkan media Jepun, untuk mengiktiraf dan membezakan antara pemuzik Jepun dan asing.  Muzik J-pop boleh dikesan dalam muzik jazz yang mula popular ketika awal pemerintahan Showa (ketika pemerintahan Maharaja Hirohito).

Jazz memperkenalkan banyak instrumen muzik, yang sebelum ini hanya digunakan dalam persembahan klasikal dan perarakan ketenteraan, di bar dan juga kelab malam.  Ia secara tidak langsung menambah elemen keseronokan (fun) dalam industri muzik Jepun.  Kesan perkembangan itu, sebuah kafe muzik, Ongaku Kissa menjadi lokasi sangat popular untuk menikmati muzik jazz secara live.

Selepas mendapat tekanan daripada Tentera Maharaja ketika Perang Dunia Kedua, pertunjukan muzik jazz dihentikan.  Apabila perang tamat, askar Amerika Syarikat (AS) yang masih berada di Jepun ketika itu dan Rangkaian Timur Jauh memperkenalkan beberapa lagi gaya muzik baru ke Negara Matahari Terbit itu.

Boogie-woogie, Mambo, Blues dan muzik Country mula dipersembahkan pemuzik Jepun untuk hiburan tentera AS.  Lagu seperti ciptaan Shizuko Kasagi 'Tokyo Boogie-Woogie' (1948), Chiemi Eri 'Tennessee Waltz' (1951), Hibari Misora 'Omatsuri Mambo' dan Izumu Yukimura 'Omoide No Waltz' mula popular.

Pemuzik asing dan kumpulan termasuk JATP dan Louis Armstrong melawat Jepun untuk membuat persembahan.  Pada 1952, diisytiharkan sebagai Year of the Jazz Boom tetapi genre itu sendiri menuntut tahap kecekapan skil teknikal yang tinggi dan begitu sukar dimainkan.  Ramai pemuzik amatur Jepun mula beralih kepada muzik country, jauh lebih mudah untuk dipelajari dan dipersembahkan.

Pada 1956, kegilaan terhadap rock-and-roll mula menular - semuanya kerana kumpulan country Kosaka Kazuya and the Wagon Masters yang membawakan lagu Elvis Presley, Heartbreak Hotel.  Cubaan menggandingkan muzik pop tradisional Jepun dengan rock 'n' roll menunjukkan kejayaan menerusi lagu Ue wo Muite Aruko (Let's Look Up and Walk) atau cukup dikenali di benua lain sebagai Sukiyaki.  Ia adalah lagu Jepun pertama mendapat tempat dalam carta muzik AS.

Bermula awal 1970-an hingga pertengahan 1980-an, penekanan beralih daripada lagu yang mudah dengan iringan satu gitar kepada susunan muzik yang lebih kompleks dikenali sebagai New Music.  Kalau dulu ia membawa mesej berbau sosial, kini lagu lebih memfokus kepada mesej yang lebih peribadi seperti cinta.  Takuro Yoshida dan Yosui Inoue adalah dua artis New Music yang digeruni. 

Pada 1980-an, terma City Pop digunakan untuk menjelaskan jenis muzik popular yang membawa terma bandar besar.  Tokyo semestinya memberi insiprasi kepada banyak legu bentuk ini.  Agak sukar membezakan antara City Pop dan New MusicWasei Pao (Japan-made-pop) juga terma yang biasa digunakan untuk menterjemah City Pop dan New Music.

Bermula 1990-an, terma J-pop pula digunakan untuk menterjemah kebanyakan lagu popular.  Rockers seperti Eikichi Yazawa, penyanyi yang masih terkenal berdekad lamanya popular dalam genre ini.  Tidak ketinggalan kumpulan pop wanita, Yoko Oginome dan penyanyi serta komposer Chisato Moritaka.

Penyanyi bertaraf mega idol, Seiko Matsuda, melonjak popular sekitar 1980-an, malah popularitinya menjadi-jadi menerusi album Inggeris pada 1991 berjudul Eternal.  Dia juga diburu akhbar tabloid AS kerana menjalin hubungan dengan Donnie Wahlberg, anggota New Kids On The Block, yang membawakan lagu duet The Right Combination bersama Seiko Matsuda.  Seiko menjadi artis yang memegang takhta nombor satu carta hit Jepun sebanyak 25 kali.  Namun, rekod itu dipecahkan Ayumi Hamasaki sebanyak 29 kali.  Bersama Seiko, genre J-pop didominasi penyanyi seperti Miho Nakayama, Akina Nakamori, Chisato Moritaka dan Shizuka Kudo.

Sumber:  Bintang Popular (Berita Minggu - 30 Disember 2007, oleh Suzan Ahmad)

 

Lagu Latar: The Right Combination - Seiko Matsuda featuring Donnie Wahlberg