|
Muzik Ghazal berasal dari Parsi |
Tahukah anda, ghazal atau muzik ghazal adalah puisi yang berasal sekitar 670 Masihi dari Parsi. Ia biasanya bertemakan puisi kasih sayang yang mempunyai pola irama ringan dan diiringi muzik. Ghazal awalnya sangat popular di daerah Muar dan Batu Pahat, Johor. Dalam sastera (dan sebagai lirik lagu), ghazal adalah bentuk puisi (poetic form) yang mengandungi rangkap berkongsi rima dan refrain. Dalam bahasa Arab perkataan ghazal secara harfiahnya bererti berbicara dengan wanita. Ghazal dalam bentuk silam, bermula pada abad ke-10 iaitu dipetik dari ayat dalam bahasa Persia, yang sebelum itu diambil dari bentuk Arab yang boleh dikesan bermula seawal abad ke-8. Ghazal berkembang ke India pada abad ke-12 di bawah pengaruh Mughal. Walaupun ghazal adalah bentuk puisi Urdu yang terkemuka, pada masa kini ia mempengaruhi puisi dalam banyak bahasa. Ghazal ditulis oleh penyair dan ahli sufi Persia, Jalal al-Din Muhammad Rumi (abad ke-13) dan Hafez (abad ke-14), penyair Turki Fuzuli (abad ke-16) dan juga Mirza Ghalib (1797-1869) serta Muhammad Iqbal (1877-1938), yang menggunakan bahasa Parsi dan Urdu. Melalui pengaruh Johann Wolfgang von Goethe (1749-1832), ghazal menjadi popular di Jerman pada abad ke-19, dan bentuk ini digunakan secara meluas oleh Friedrich Rickert (1788-1866) dan August von Platen (1765-1835). Penyair Kashmir-Amerika Syarikat, Agha Shahid Ali juga adalah penyokong bentuk ini, dalam bahasa Inggeris dan bahasa lain, selain dia menyunting jilid real ghazals in English. Ghazal adalah kesenian tradisional yang popular dewasa ini. Pada permulaannya, ini disebut sebagai gamat yang bererti nyanyian dan beriuh-rendah yang berasal dari Tanah Arab. Pada abad ke-19, kerajaan Johor menjalin hubungan erat dengan kerajaan Riau-Lingga. Beberapa bangsawan Johor yang berulang-alik ke Riau mempelajari kesenian ini dan memperkenalkan kepada Sultan Johor pada ketika itu di Teluk Belanga, Singapura. Perkembangan ghazal di Johor dikaitkan dengan Allahyarham Datuk Bentara Luar, Mohd Salleh Perang. Semasa membuka daerah baru, beliau turut memperkenalkannya di rumah penghulu dan hari keramaian tertentu. Ghazal terdiri daripada alat muzik seperti Peti Harmonium, Biola, Gambus dan Tabla atau Do (Gendang). Kemudian, ditambah dengan beberapa alat yang sesuai seperti gitar, kecapi Jepun, keroncong dan marakas. Ia turut dicampurkan dengan alat muzik lain seperti ukeleli dan sebagainya. Oleh kerana terlampau mengganggu serta menghilangkan lemah lembut lagu Melayu, maka penggunaan alat itu dibatalkan. Pada 2003, irama ghazal moden dimartabatkan oleh biduanita kita, Datuk Sharifah Aini menerusi Konsert Simfoni Ghazal Bersama Datuk Sharifah Aini yang diiringi penari Warisan Johor. Beliau yang juga anak kelahiran Johor begitu kagum dengan keindahan dan keunikan muzik ghazal. Pemain gambus irama ghazal yang cukup terkenal di tanah air ialah Allayarham Fadzil Ahmad. Sumber: Bintang Popular (Berita Minggu - 11 November 2007, oleh Suzan Ahmad) |
|
|
Lagu Latar: Yaladan - Fadzil Ahmad featuring Sharifah Aini |