Lagu iklan jual produk

Kembali Ke Menu Utama Info Muzik

Tahukah anda, dendang iklan atau dalam bahasa Inggerisnya, Jingle adalah slogan yang dilagukan berlatarkan melodi yang menarik dan catchy biasanya diputarkan di radio dan kadangkala iklan menerusi televisyen.

Mengikut sejarah, tidak dapat dipastikan bila sebenarnya jingle yang pertama digunakan.  Penyerapannya ke radio lebih bersifat satu proses evolusi mendadak.  Pengiklanan produk yang condong ke arah muzik mula dikesan seawal 1923, tempoh masa yang hampir sama dengan kemunculan radio komersial di kalangan masyarakat.

Kalaupun ada satu entiti yang mempunyai alasan paling kukuh untuk mendakwa mereka pertama kali memperkenalkan jingle, ia semestinya General Mills.  Syarikat ini bertanggungjawab menyiarkan komersial pertama secara nyanyian.  Iklan radio yang cukup besar pengaruhnya itu berjudul Have You Tried Wheaties?, pertama kali diputarkan pada malam sebelum sambutan Hari Natal 1926. 

Iklan ini menampilkan empat penyanyi lelaki, yang dikenali sebagai The Wheaties Quartet menyanyikan bait lirik berikut: Have you tried Wheaties?  They're whole wheat with all of the bran.  Won't you try Wheaties?  For wheat is the best food of man. 

Mungkin liriknya kedengaran agak mudah dan ringkas bagi masyarakat moden kini, namun iklan berkenaan pada masyarakat ketika itu cukup sensasi di kalangan pengguna.  Memandangkan ia terlalu berjaya, pada masa sama, ia membantu meningkatkan permintaan terhadap jenama bijiran berkenaan yang hampir gagal di pasaran.

Pada 1929, General Mills mengambil keputusan untuk menghentikan pengeluaran Wheaties berdasarkan jualan yang terlalu rendah.  Bagaimanapun, pengurus pengiklanan Sam Gale mendapati sejumlah 30,000 daripada 53,000 unit bijiran yang dijual General Mills adalah di sekitar Minneapolis-St Paul, satu-satunya lokasi di mana lagu iklan Have You Tried Wheaties? diperdengarkan.

Terdorong dek keputusan cukup mengagumkan menerusi kaedah terbaru pengiklanan itu, General Mills mengubah taktik keseluruhan syarikatnya.  Rancangan untuk menghentikan pengeluaran Wheaties kini berubah kepada membeli waktu komersial di seluruh negara untuk tujuan pengiklanan.

Pencapaian meningkat dari segi jualan secara mendadak berjaya menyelamatkan satu jenama bijiran yang popular sehingga kini.

Dalam ruangan lingkup dunia pengiklanan tanahair, antara penyanyi lagu iklan yang cukup terkenal antaranya, Salamiah Hassan, Liza Aziz, Leonard Tan, Atilia dan Roy.

Sumber:  Bintang Popular (Berita Minggu - 10 Ogos 2008, oleh Suzan Ahmad)