Kenali kaedah nyanyian Bel Canto

Kembali Ke Menu Utama Info Muzik

Bel Canto membawa maksud nyanyian yang indah.  Ia adalah terma khusus yang digunakan untuk menggambarkan cara nyanyian orang Itali.  Bagi maksud yang lebih dekat lagi, ia bererti kualiti yang ditekankan dan diberatkan di kalangan penyanyi opera Itali untuk menawan khalayak penontonnya.

Biarpun cara nyanyian Bel Canto cukup popular, kewujudannya masih kurang jelas.  Sejarah kewujudan seni ini juga agak rumit dan misteri.  Bel Canto wujud sekitar kurun ke 16 atau 17 masihi, bagaimanapun ia sudah mula berakar sejak zaman pertengahan lagi.  Ia bermula dalam kaedah arahan nyanyian yang digunakan guru dan tenaga pengajar kepada pelajarnya.

Memandangkan nyanyian perlu dikuasai secara dalaman, untuk mengajar menyanyi agak sulit dan mencabar.  Guru nyanyian Itali bergantung pada sistem pengajaran dan teknik mendengar kepada pelajarnya.  Setiap kali pelajar mengalunkan tone atau bunyi yang punya kualiti mengumpan, tenaga pengajar akan mengarahkan pelajar mengulang bunyi berkenaan berkali-kali sehingga ia sebati dan tersimpan kemas dalam memori. 

Cara nyanyian ini menjadi cukup sebati dan wujud dalam diri penyanyi Itali hinggakan nyanyian orang Itali diselubungi misteri.  Ramai menganggap Itali cuba untuk melindungi penguasaan dalam cara nyanyian itu daripada terlepas ke tangan negara asing padahal hakikatnya mereka begitu mendukung gaya pengajaran yang berkesan. 

Bel Canto pada mulanya dipraktikkan lelaki, dipercayai pada awal penemuannya oleh penyanyi lagu keagamaan (lelaki).  Ketika zaman Kebangkitan, sewaktu opera mula diperkenalkan di Itali, Bel Canto menjadi gaya nyanyian yang digunakan untuk bentuk cabang seni baru ini.  Kemudian, ia mula menular dan terkenal hingga sering digunakan penyanyi opera, lazimnya dalam genre vokal soprano.

Kini, hanya segelintir saja penyanyi soprano seperti Joan Sutherland dan Kathleen Battle yang masih mengamalkan tradisi ini.  Ada yang percaya, rahsia di sebalik penguasaan Bel Canto terletak pada tone yang berterusan.  Kebanyakan penyanyi diadili atas keupayaan untuk melepasi satu frasa muzikal ke frasa seterusnya dengan sedikit atau tanpa sebarang gangguan. 

Sumber:  Bintang Popular (Berita Minggu - 22 Februari 2009, oleh Suzan Ahmad)

 

Lagu Latar: Il Bacio - Joan Sutherland