Jenis dram bergantung keperluan, genre muzik

Kembali Ke Menu Utama Info Muzik

Dram adalah termasuk dalam keluarga alat muzik perkusi dan secara teknikalnya ia dikenali sebagai membranophone.  Dram terdiri daripada sekurang-kurangnya satu membran dipanggil kepala dram (drumhead) atau kulit dram (drum skin) yang diregangkan pada kerangka dan perlu secara langsung diketuk atau dipalu menggunakan bahagian tubuh pemuzik atau alat seperti kayu untuk menghasilkan bunyi.

Teknik lain yang turut digunakan untuk menghasilkan bunyi adalah seperti thumb roll.

Dram boleh dianggap sebagai instrumen muzik tertua yang mana bentuk asal sesebuah dram itu masih kekal sejak beribu-ribu tahun sehingga kini.  Kebanyakan dram boleh dianggap sebagai alat muzik yang tidak boleh diselaraskan atau untuned instrumens.

Bagaimanapun ramai pemuzik moden mula-mula membuat tuning dram untuk lagu, Terry Bozzio misalnya menciptakan perkakasan khusus menggunakan pelarasan bunyi dram diatonic dan chromatic.

Beberapa jenis dram seperti Timpani sering ditiun ke nada tertentu.  Sering kali juga, beberapa dram disusun bersama untuk membentuk perkakasan dram yang boleh dimainkan oleh seorang pemuzik menggunakan kaki dan tangan.

Ada beberapa faktor yang menentukan bunyi yang dihasilkan dram termasuk jenis kerangka dram, jenis drumhead, dan tekanan ke atas drumheads.  Bunyi dram yang berbeza-beza juga punya kegunaan berbeza dalam muzik contohnya pemain dram jazz mungkin mahukan dram yang bunyinya agak rangup, bersih dan sedikit lembut pada ketika tertentu, manakala pemain dram rock n roll pula mahukan bunyi yang kedengaran kuat dan mendalam.

Kerana pemain dram ini mahukan bunyi yang berbeza, dram mereka perlu dibentuk mengikut keperluan tertentu juga.

Dram biasanya dimainkan dengan tangan atau menggunakan satu atau dua kayu.  Dalam budaya tradisional dram punya fungsi yang simbolik dan sering digunakan untuk upacara keagamaan.  Dram juga digunakan sebagai terapi muzik, terutama dram tangan kerana sifatnya yang memerlukan sentuhan dan mudah dimainkan oleh pelbagai golongan masyarakat.

Bagaimanapun dalam lingkungan muzik popular dan jazz masa kini, dram biasanya ditujukan atau dimaksudkan perkakasan dram atau set dram dan pemain dram pula biasanya anggota sebuah band atau seseorang yang memainkan instrument itu.  Pemain dram terkemuka yang memiliki skil tinggi dalam permainan dram adalah Michael Stephen Portnoy atau Mike Portnoy, anggota kumpulan Dream Theatre yang memperjuangkan muzik progresif metal. 

Sumber:  Bintang Popular (Berita Minggu - 1 March 2009, oleh Suzan Ahmad)

 

Lagu Latar: One Of These Days - Dream Theatre