|
Irama rock muncul sejak era 1940-an |
Tahukah anda, muzik rock adalah satu bentuk muzik popular yang sering hadir dengan iringan melodi vokal cukup menonjol dan diiringi alat muzik seperti gitar, dram dan gitar bass. Banyak juga gaya muzik rock lain yang cenderung menggunakan instrumen lain seperti keyboard, organ piano dan synthesizer. Instument lain yang turut mengiringi muzik ini termasuk harmonika, violin, seruling, banjo dan instrument bertali yang kurang popular seperti mandolin dan sitar. Muzik rock biasanya punya rentak latar yang kuat, dan sering berlegar-legar di sekitar gitar elektik mahupun akustik. Rock mula menular menerusi genre rock and roll dan rockabilly sekitar 1940-an dan 1950-an. Muzik ini berevolusi dari blues, muzik country dan pelbagai lagi pengaruh. Mengikut buku All Music Guide: "Dalam bentuknya yang paling tulen, rock & roll meliputi tiga chord, kuat, rentak latar yang impak dan melodi yang catchy." Pada awal perkembangan rock & roll yang terbit dari pelbagai sumber terutama blues, R & B dan country tidak terkecuali gospel, pop tradisional, jazz dan folk. Semua pengaruh ini digabungkan dalam bentuk ringkas, berasaskan struktur lagu blues yang pantas, rancak dan catchy. Lewat 1960-an, muzik rock digarap dengan muzik folk untuk membentuk folk rock, garapan blues pula mewujudkan blues rock dan juga sedikit elemen jazz, membentuk fusion jazz-rock. Tanpa kita sedari peralihan itu membentuk psychedelic rock. Pada 1970-an, rock mula menerima pengaruh soul, funk dan muzik latin. Rock terus berkembang dan membentuk banyak lagi subgenre, seperti soft rock, heavy metal, hard rock, progressive rock dan punk rock. Subgenre rock dari era 1980-an termasuklah synth-rock. Pada 1990-an, subgenre rock termasuk grunge rock, britpop, indie rock, piano rock dan nu metal. Sejarah kumpulan rock di Malaysia bermula secara meluas pada awal tahun 1980-an menerusi kumpulan Search yang muncul dengan album pertama. Ini berikutan bahang daripada budaya muzik rock Barat yang mendorong kemunculan kumpulan rock tempatan. Kumpulan rock tempatan berkembang dengan wujudnya pertandingan di peringkat kebangsaan seperti Juara Rock, Festival Rock dan Battle Of The Bands 1 & 2. Pertandingan kumpulan rock kebangsaan yang pertama diadakan di Malaysia adalah pertandingan Juara Rock 1983. Dalam pertandingan ini, ia dimenangi D'Febians dan The Lefthanded. Berikutan sambutan hangat golongan pemuda, pada tahun berikutnya, ia diikuti pertandingan Juara Rock 1984. Pada pertandingan Juara Rock 1984, The Burnmarks menggondol tempat pertama, Hurricane dari Johor Bahru menggondol tempat kedua, manakala tempat ketiga, kumpulan Gersang. Satu-satunya ikon rock wanita terunggul negara ialah Nor Zila Aminudin atau lebih dikenali sebagai Ella. Pada awal pembabitannya, Ella bersama kumpulan rock Ella & The Boys memenangi pertandingan Battle of the Bands anjuran RTM. Ella yang juga digelar Ratu Rock Malaysia ialah artis Melayu pertama mengeluarkan album video berjudul Ella Mood pada 1991. Beliau adalah artis Malaysia pertama juga berjaya mencapai jumlah jualan album sehingga 350,000 unit menerusi Ella USA yang diterbitkan di Amerika Syarikat. Tidak ada artis solo lain yang berjaya mencatat jumlah jualan album sebanyak itu, kecuali Search (400,000), Wings (400,000) dan Raihan (600,000). Ella adalah satu-satunya artis rock wanita yang masih bertahan hingga kini dan menjadi artis rock wanita yang paling lama bertahan tanpa mengubah konsep muziknya walaupun usianya kini hampir mencecah 42 tahun, Ella tetap setia dengan muzik dan imej rock. Sumber: Bintang Popular (Berita Minggu - 25 November 2007, oleh Suzan Ahmad) |
|
|
Lagu Latar: PPP (Permata Pemotong Permata) - Ella |